Apple dijadualkan bakal mengadakan acara tahunan yang diberi nama ‘Awe Dropping’ pada 10 September jam 1 pagi dalam memperkenalkan sejumlah produk baharu seperti siri iPhone 17.
Pasti ramai peminat tempatan yang mahu mengetahui sebarang kemas kini yang dikongsikan oleh penganalisis Apple tersohor yang dipercayai mempunyai sumber tersendiri dalam mengetahui produk yang dilancarkan pada Rabu ini.
Pengenalan versi Air untuk barisan siri iPhone 17

Penganalisis Apple, Ming-Chi Kuo, dan beberapa sumber lain telah melaporkan bahawa Apple dijangka akan menghentikan barisan iPhone Plus untuk siri iPhone 17. Langkah ini dipercayai disebabkan oleh jualan model Plus yang kurang memberangsangkan.
Sebaliknya, Apple dirumorkan akan memperkenalkan model baharu yang dikenali sebagai iPhone 17 Air. Model ini dijangka akan menampilkan reka bentuk yang lebih nipis dan akan diletakkan di antara model iPhone 17 standard dan model iPhone 17 Pro dari segi harga dan kedudukan pasaran.
Menurut Bloomberg, iPhone 17 Air dijangka akan menjadi iPhone paling nipis yang pernah dihasilkan, dengan ketebalan sekitar 5.5mm. Ini menjadikannya kira-kira satu pertiga lebih nipis berbanding iPhone 16 Pro.
MacWorld melaporkan bahawa model Pro dan Air dijangka mempunyai “bar kamera” baharu. Reka bentuk ini akan merentangi bahagian belakang telefon secara melintang, memegang semua kamera belakang.
MacRumors telah melaporkan bahawa model iPhone 17 Pro dan Pro Max akan menampilkan beberapa peningkatan ketara seperti paparan yang lebih cerah, rekaan thermal penyejukan yang lebih efisien serta mempunyai kapasiti sebesar 5,000mAh.
Siri Apple Watch 11 dan Ultra 3 mendapat kemas kini

Laporan daripada MacWorld menunjukkan bahawa Apple akan melakukan perubahan besar pada barisan Apple Watch dengan melancarkan tiga model baharu, iaitu Series 11, SE, dan Ultra 3, yang dijangka akan diperkenalkan pada 9 September.
Menurut sumber dalaman, model Apple Watch SE mungkin akan mempunyai saiz kerangka yang lebih besar, dengan pilihan 41mm dan 45mm.
Satu laporan daripada MacRumors pada Ogos pula mencadangkan bahawa Apple Watch Ultra 3 akan menampilkan paparan yang lebih besar dengan bezel yang lebih nipis. Reka bentuk ini membolehkan skrin yang lebih luas tanpa perlu mengubah saiz jam secara fizikal.
Menurut MacRumors, barisan Apple Watch baharu akan dipasang siap dengan watchOS 26. Ini bermaksud ciri-ciri baharu yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) daripada Apple, termasuk program Workout Buddy, akan tersedia pada jam tangan baharu ini.
Program Workout Buddy, yang dikuasakan oleh Apple Intelligence, akan berfungsi sebagai pembantu kecergasan peribadi yang menganalisis data senaman anda untuk memberikan motivasi dan maklum balas yang diperibadikan secara masa nyata melalui suara.
Selain itu, sumber dalaman juga mencadangkan bahawa jam tangan baharu ini mungkin akan dilengkapi dengan ciri pemantauan tekanan darah.
Ciri ini dijangka akan memberi amaran kepada pengguna tentang trend hypertension (tekanan darah tinggi) dan bukannya memberikan bacaan yang tepat seperti peranti perubatan.
AirPods Pro 3 mungkin ada perubahan rekaan

Menurut laporan Bloomberg, AirPods Pro 3 mungkin akan diperkenalkan seawal bulan ini. MacRumors mencadangkan peranti ini mungkin akan menerima reka bentuk semula, walaupun tidak memberikan butiran khusus mengenai rupa model terbaharu ini.
Laporan MacRumors juga menyatakan bahawa bekas pengecas untuk AirPods Pro 3 mungkin akan mempunyai butang sentuh kapasitif tidak kelihatan yang menyerupai reka bentuk bekas pengecas pada AirPods 4. Ini akan menjadi perubahan ketara berbanding butang fizikal pada model-model sebelumnya.
AirPods Pro 3 dijangka akan menampilkan cip baharu yang akan meningkatkan kualiti audio, pembatalan hingar, dan keupayaan pemantauan kesihatan. MacRumors mencadangkan peranti ini akan dilengkapi dengan ciri pemantauan degupan jantung.
Selain itu, Bloomberg melaporkan bahawa satu lagi ciri baharu yang akan ditawarkan ialah keupayaan untuk menterjemah perbualan secara masa nyata. Ciri ini dijangka akan membolehkan pengguna berkomunikasi dengan lancar dengan individu yang bertutur dalam bahasa yang berbeza.