Malaysia akan sekali lagi membuat perhitungan dengan Thailand pada jam 3.00 petang ini dalam usaha memburu kejuaraan bagi acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa itu pastinya menarik minat jutaan rakyat Malaysia terutamanya selepas kejayaan menundukkan Thailand dalam acara regu dan double tempoh hari.
Namun, ia bukan tugas mudah buat para pemain negara kerana Thailand dijangka akan tampil dengan lebih garang bagi mengubat duka mereka.
Tambahan pula skuad negara sudah lama tidak pernah menewaskan lawan tersebut dalam acara regu berpasukan dalam mana-mana kejohanan yang disertai.
Bila kali terakhir skuad berpasukan Malaysia tewaskan Thailand?
Menurut perkongsian daripada Abdul Hafiz Ahmad yang merupakan penulis sukan berpengalaman luas di Bebas news, kali terakhir Malaysia menewaskan Thailand dalam regu berpasukan adalah pada perlawanan akhir Sukan SEA 1991 di Manila, Filipina.
Lebih menarik, Ahmad Jais Baharun yang kini merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan turut menganggotai pasukan tersebut selaku pemain tekong simpanan.
Perlawanan yang berlangsung di Ateneo de Manila University itu menyaksikan Malaysia mendapatkan mata pertama menerusi gandingan Nordin Sabarudin (tekong), Rehan Mohamad Din (perejam) dan Abd. Malik Samsudin (pengumpan).
Mereka berjaya menundukkan trio Surat Na Chiangmai, Wirat Pomuang dan Wisut Boonsuya dengan kemenangan 15-12, 6-15, 15-9.
Harapan kemudiannya disandarkan kepada Noor Rani Adnan, Raziman Hassan dan Ku Halim Ku Musa untuk mengesahkan kejayaan skuad negara, bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian selepas mereka dikecewakan oleh Pakdee Dangwatanapaibul, Ittipol Komchaisak dan Kriengkrai Mutalai 9-15, 12-15.
Mohd. Noor Abdullah, Baharum Jahar dan Rosli Abdul Rahman muncul wira buat Malaysia selepas mereka menang 15-13, 15-11 ke atas Paisal Mainhula, Khamnuan Sonnanon dan Jakrit Kohchakul untuk pingat emas buat kontinjen negara.
Peluang terbaik tamatkan penantian panjang
Selepas 33 tahun, Syahir Rosdi dan rakan sepasukannya berpeluang menamatkan penantian tersebut dimana barisan pemain negara kini dilihat berada dalam mood terbaik untuk sekali lagi melakar kejayaan penuh bermakna.
Segalanya bakal terjawab pada petang nanti sama ada kita perlu menunggu lebih lama atau akan menikmati satu lagi pesta di Stadium Titiwangsa nanti.