Penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Donnarumma menerima nasib malang apabila mengalami kecederaan di bahagian muka pada perlawanan Ligue 1 2024/25 bertemu AS Monaco, awal pagi tadi.
Pertembungan dua pasukan kelompok atasan liga itu bukan sahaja menarik dengan enam jaringan terhasil yang memihak PSG, malah kekasaran dilakukan bek kanan Monaco, Wilfried Stephane Singo terhadap Donnarumma juga cukup mencuri tumpuan.
Baca Juga:
- Ultras PSG Melawan Arus, Laung Sokongan Terhadap Palestine
- PSG Tetap Enggan Bayar Tunggakan Gaji Mbappe, Mahu Bawa Kes Ke Mahkamah
- Mbappe Mengadu Gajinya Masih Belum Dibayar PSG
Insiden itu berlaku apabila Donnarumma meluru keluar sedikit daripada posisinya dalam usaha untuk menggagalkan larian Singo dalam kawasan penalti.
Ketika Singo melompat untuk mengelakkan penjaga gol utama PSG itu, kakinya terus singgah ke muka Donnarumma hingga menyebabkan aksi terpaksa dihentikan.
Dengan ‘stud’ kasut bola yang terkena muka, sudah pasti keadaan kelihatan agak parah buat Donnarumma dimana beliau terpaksa mendapatkan rawatan.
Dapat disaksikan apabila mukanya atau lebih tepat lagi kawasan berhampiran pipinya telah di’stapler’ untuk menutup kembali luka parah tersebut. Kawasan atas mata (kening) beliau juga kelihatan turut terdapat kesan luka itu.
Ekoran kecederaan tersebut, Gianluigi Donnarumma tidak dapat meneruskan aksinya dan telah dikeluarkan pada minit ke-22 apabila digantikan dengan penjaga gol gantian, Matvey Yevgenyevich Safonov.
Lebih menarik, tiada sebarang kad diberikan kepada Singo ekoran kekasaran dilakukan itu.
Penjaga gol berusia 25 tahun itu hampir pasti akan terlepas aksi seterusnya dalam saingan French Cup bertemu Racing Lens pada Ahad nanti.
Selepas mengharungi 16 perlawanan liga, PSG di tangga teratas dengan 40 mata, 10 mata meninggalkan Marseille dan AS Monaco.