Bekas penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo menceburi bidang sebagai ejen pemain selepas beliau bersara dari dunia bola sepak profesional pada tahun lalu.

Dalam perkembangan yang dikongsikan beliau di laman media sosial miliknya, Diogo banyak menghabiskan waktu di Thailand dan beliau membawa masuk pemain dari Brazil untuk beraksi bersama satu lagi bekas kelabnya iaitu Buriram United.

Baca Juga:

Beliau berkhidmat di DJB2 Sports dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dilihat memuatnaik gambar bersama para pemain dan pegawai Buriram dalam kunjungannya baru-baru ini.

“Berada di sini ibarat rumah, sering merasa istimewa apabila mampu untuk kembali. Saya harapkan kalian akan sentiasa berjaya dan harapnya anda akan gembira sama seperti saya,” ujar Diogo di laman Facebook miliknya.

Diogo membawa Chrigor Moraes yang beraksi sebagai penyerang dan Matheus Vargas yang beraksi di bahagian tengah bagi membantu Buriram United mengharungi musim 2024/25.

Di Buriram, Diogo Luis Santo dianggap penyerang terbaik yang pernah menyarung jersi kelab itu dimana beliau menjaringkan 101 gol dalam 105 penampilan.

Ketika bersama JDT, bekas pemain berusia 37 tahun itu membuat 51 penampilan dan menyumbang 25 gol selain 17 bantuan gol dalam dua tempoh beraksi bersama kelab dari Selatan tanah air itu.

Sepanjang karier, Diogo telah memenangi banyak kejuaraan seperti Liga Super Greece, Thai League 1, Piala FA Thailand, Liga Super Malaysia, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia dan beberapa anugerah peribadi seperti penjaring terbanyak Thai League 1 dan pemain import paling bernilai Liga Malaysia.

Tidak mustahil Diogo akan menjadi penyumbang bakat dari Brazil bagi kelab dalam saingan Liga Malaysia memandangkan beliau pernah menyinar ketika beraksi di negara ini.