Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir Piala FA 2024-2025 selepas berpesta gol belasah kelab Liga A1 Semi Pro, Malaysian University dengan aggregat 13-0.

Malaysian University nampaknya bukan tandingan JDT apabila gagal memberi saingan sejak di awal perlawanan sehingga membuka ruang kepada JDT menjaringkan 4 gol di separuh masa pertama.

Baca Juga:

Malah, JDT juga meneruskan dominasi pada separuh masa kedua dengan menyumbat masuk 4 gol lagi sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan 8-0.

Sebelum ini, mereka menewaskan lawan yang sama pada aksi suku akhir pertama dengan jaringan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Keputusan itu menyaksikan mereka bakal bertemu Kedah Darul Aman (KDA FC) di peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos nanti.

Kedah yang dibimbing oleh Nafuzi Zain gagal manfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan Penang FC.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir selepas memenangi aksi suku akhir pertama dengan jaringan 1-0 di Stadium Bandaraya.

Dua lagi aksi suku akhir berlangsung esok melibatkan Sabah menentang Terengganu manakala Selangor menentang Kuching City.