Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, mengesahkan bahawa pemandu kenderaan yang terjejas dan terpaksa membayar harga RON95 tidak bersubsidi di pam minyak akibat masalah teknikal (technical glitches) di stesen, kini boleh membuat tuntutan untuk mendapatkan kembali perbezaan harga tersebut.
Ini bermakna pengguna yang tersilap dikenakan caj penuh RM2.60 seliter dan bukannya harga bersubsidi yang sepatutnya mereka nikmati, boleh mengemukakan permohonan untuk bayaran balik.
Memetik The Star, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan bahawa program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (Budi95) secara amnya telah berjalan lancar di seluruh negara sejak diperkenalkan pada Selasa lalu.
Namun, pengecualian bagi beberapa masalah teknikal kecil (minor glitches) yang telah diselesaikan dengan pantas.
Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, “Memang ada beberapa aduan, seperti gangguan sistem (system outages), tetapi ia telah diuruskan dengan pantas.
Walau bagaimanapun, jika pemandu kenderaan terpaksa membayar harga RON95 tidak bersubsidi akibat daripada masalah ini, mereka boleh memfailkan tuntutan bagi mendapatkan bayaran balik.”
Siapa yang boleh tuntut?
Tuntutan bayaran balik ini terbuka kepada individu dan perniagaan yang terpaksa membayar harga RON95 tidak bersubsidi (RM2.60 seliter) akibat masalah sistem:
1. Individu dan perniagaan yang terpaksa membayar harga RON95 tidak bersubsidi (RM2.60 seliter) akibat daripada masalah sistem teknikal.
2. Pembelian yang dibuat hendaklah dalam tempoh antara 30 September hingga 31 Oktober 2025.
3. Tuntutan (bayaran balik) mesti disokong oleh bukti pembelian (iaitu, resit RON95).
Cara untuk tuntut
1. Anda boleh mula membuat tuntutan di laman sesawang mysubsidi.kpdn.gov.my bermula 9 Oktober 2025.
2. Kemukakan tuntutan anda bersama salinan resit yang menunjukkan pembelian RON95 tersebut.
Buat pemilik bisnes:-
1. Mendaftar di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), dan
2. Menunjukkan bukti bahawa mereka telah memohon kad fleet (kad armada) pada atau sebelum 31 Oktober 2025.
Untuk pembayaran balik kepada mereka yang terjejas, hanya setelah selesai proses pengesahan dan kelulusan, bayaran balik (refund) tersebut akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemohon dalam tempoh 15 hari bekerja.
Timbalan Menteri itu turut mendedahkan bahawa pendaftaran bagi petrol bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) setakat ini adalah kurang memberangsangkan.
Hanya kira-kira 25% daripada perniagaan yang layak telah mendaftar setakat ini.
Kementerian kini giat berinteraksi dengan pelbagai kumpulan seperti persatuan teksi untuk mempercepatkan proses pendaftaran.
Bagi mereka yang mendaftar lewat, mereka masih boleh menuntut subsidi ke belakang (backdated) bermula 1 Oktober 2025, dengan syarat mereka mengemukakan resit pembelian sebagai bukti.
Kenderaan asing tidak dibenarkan untuk mengisi petrol RON95 bersubsidi.
Orang ramai digesa untuk melaporkan sebarang pelanggaran peraturan ini kepada pihak kementerian.