Persatuan Bolasepak Perak (Perak FA) kini bersedia untuk mengubah nasib bola sepak di negeri tersebut susulan penarikan diri Perak FC dalam saingan Liga Super 2025/26.
Perkara paling utama adalah pengesahan penyertaan ‘Skuad Projek SUKMA 2026’ dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
Baca Juga:
- Luciano Guaycochea Kecewa Dengan Pengurusan Perak FC, Tuntut Bayaran Tunggakan Gaji
- Sokongan Swasta & Awam Tak Hadir, Langganan TBG Tersasar – Pengerusi Dedah Punca Perak FC ‘Gugur’
- ‘Perak FC Bila Nak Bayar Baki Gaji, Nak Beli Susu Dan Pampers Anak’

Keputusan ini disifatkan sebagai satu langkah strategik ke arah pemulihan jangka panjang sukan nombor satu negeri itu.
Perkembangan terbaharu itu disahkan oleh Presiden Perak FA, Dato’ Haji Mohd Azhar Jamaluddin dalam satu kenyataan rasmi di laman sosial persatuan tersebut susulan pertemuan bersama Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad di Ipoh, semalam.
Apa Perancangan Perak FA?
Mendapat sokongan penuh Saarani, antara perancangan Perak dalam memfokuskan kepada hala tuju dan pelan kebangkitan bola sepak negeri ialah pembentukan semula pasukan Piala Belia dan Piala Presiden pada 2026.
Selain itu penganjuran Liga Perak Sejahtera, Liga Kelab Amatur Negeri, Liga Antara Agensi Kerajaan, Liga Institut Pengajian Tinggi Perak, Liga Darul Ridzuan Integrity Champion (DRIC) dan Liga Integriti Daerah (Bawah 17 Tahun).

Langkah ini juga secara tidak langsung dapat membuka ruang kepada lebih banyak pemain muda dari seluruh negeri untuk menyinar menerusi pelbagai liga pembangunan yang bakal dianjurkan di bawah seliaan persatuan tersebut dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.
Dengan perancangan menyeluruh dan pendekatan berpandukan pembangunan jangka panjang, Perak FA kini berada di atas landasan baharu yang lebih segar dan tersusun dalam misi mengembalikan semula maruah dan kegemilangan bola sepak negeri Perak.