Warren Buffett, nama yang tak asing dalam dunia kewangan global. Lelaki sederhana  dari Omaha, Nebraska ini bukan sekadar seorang bilionair, malah dianggap sebagai antara pelabur paling berjaya sepanjang zaman dan nasihat-nasihat yang diberikan sangat berguna untuk masa hadapan.

Bagi golongan B40 yang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin mencanak, nasihat kewangan daripada tokoh seperti Buffett sangat berharga.

Nasihatnya tak susah untuk difahami, dan sebenarnya sangat praktikal – walaupun anda bukan orang kaya.

Mulakan Dengan Diri Sendiri – Bayar Diri Anda Dulu

Buffett selalu nasihat, “Belanjakan apa yang tinggal selepas menabung, bukan menabung apa yang tinggal selepas berbelanja.”

Nasihat

Maksudnya mudah – setiap kali dapat gaji, asingkan duit simpanan dulu, kemudian baru guna selebihnya.

Kalau tunggu hujung bulan untuk menyimpan, selalunya tinggal habuk saja.

Jangan Terperangkap Dengan Gaya Hidup Mewah

Buffett hidup sederhana walaupun dia mampu beli hampir apa saja.

Dia percaya bahawa memotong perbelanjaan yang tak perlu adalah cara paling cepat untuk bina kekayaan.

Bagi kita yang dalam kategori B40, setiap ringgit yang digunakan dengan cermat sangat bermakna.

Tak perlu kereta baru jika yang lama masih boleh digunakan.

Tak perlu beli telefon RM5,000 jika yang RM800 pun boleh buat kerja sama.

Pelaburan Bukan Untuk Orang Kaya Sahaja

Buffett selalu sarankan orang ramai untuk melabur dalam indeks S&P 500 – satu jenis pelaburan yang ikut prestasi 500 syarikat besar di Amerika.

Tapi bagi kita di Malaysia, ada pilihan lain yang sama konsepnya seperti pelaburan dalam unit trust atau dana indeks kos rendah.

Nasihat

Prinsipnya mudah – melaburlah secara konsisten, walaupun jumlahnya kecil. Mula awal, jangan tunggu kaya baru nak melabur.

Jauhi Hutang Yang Tak Perlu

Buffett bukan anti-kredit, tapi dia bijak kawal penggunaannya.

Dia percaya hutang boleh jadi penghalang besar dalam perjalanan kewangan seseorang – terutama hutang yang tak bawa pulangan seperti hutang kad kredit, hutang beli barang mahal tidak berfaedah.

Kalau boleh, elakkan beli barang dengan bayaran ansuran yang membebankan.

Nasihat

Hidup bebas hutang lebih tenang daripada nampak bergaya tapi tidur tak lena fikir bil.

Pelaburan Paling Bernilai Adalah Diri Sendiri

Buffett pernah beritahu sekumpulan pelajar universiti bahawa dia sanggup bayar USD100,000 untuk 10% daripada pendapatan masa depan mereka.

Itu metafora tentang betapa bernilainya potensi manusia.

Pendidikan, kemahiran dan pengalaman – semua ini tak boleh dinilai dengan wang.

Tapi ia boleh jana wang sepanjang hayat kita.

Jadi kalau ada peluang untuk belajar, tambah kemahiran, ambil kursus – rebutlah.

Jangan tunggu bila ‘ada masa’ atau ‘cukup duit’.

Sikit-sikit pun tak apa, asalkan berkembang.

Berjimat Bukan Bererti Berkorban Kebahagiaan

Buffett juga percaya bahawa hidup bukan semata-mata tentang menyimpan dan melabur.

Nasihat

Hidup kena dinikmati juga.

Dia pesan – kalau berjimat sampai hidup rasa sengsara, itu bukan berjimat, itu menyeksa diri.

Kita boleh cari keseimbangan. Makan luar sekali-sekala tak salah. Belanja untuk kegembiraan keluarga itu penting juga. Asalkan semuanya dalam kawalan.