Barcelona dengan masalah bagi mendaftarkan pemain untuk beraksi dalam saingan LaLiga bukanlah perkara baharu dihadapi kelab tersebut.

Awal musim tempoh hari menyaksikan Dani Olmo terpaksa menunggu hingga ke saat akhir untuk membolehkannya beraksi dimana beliau tidak dibenarkan beraksi pada dua aksi awal iaitu ketika menentang Valencia dan Athletic Bilbao.

Baca Juga:

Hal ini terjadi berikutan masalah  kewangan yang meruncing dihadapi Barcelona hingga menyebabkan pemenang Euro 2024 itu menjadi mangsa.

Olmo akhirnya dibenarkan untuk beraksi selepas kecederaan Achilles Tendon yang dialami pemain pertahanan, Andreas Christensen membolehkan pemain tengah itu menjadi penggantinya untuk didaftarkan.

Kini, dengan Christensen semakin hampir untuk kembali, kedudukan Olmo dalam skuad telah mula dipersoalkan.

Keadaan tersebut jelas membuatkan The Blaugrana dalam masalah kerana Hakim Ignacio Fernandez de Senespleda, ketua Mahkamah Komersial 10 Barcelona, menolak permohonan Barcelona untuk melanjutkan pendaftaran Olmo.

Dengan keputusan ini, pemain berusia 26 tahun itu berisiko diketepikan untuk baki musim ini melainkan kelab dapat mencari penyelesaian segera.

Barcelona pantas fikirkan jalan penyelesaian

Menurut sumber laporan Goal, Barcelona sedang bersiap sedia untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi.

Kelab yang berada di kedudukan ketiga liga setakat ini merancang untuk memfailkan saman baharu terhadap La Liga pada hari Isnin, 30 Disember bagi membatalkan keputusan tersebut.

Walau bagaimanapun dengan masa yang semakin suntuk, kelab itu juga telah memutuskan untuk mengaktifkan pelan kewangan kecemasan bagi memastikan Olmo dan rakan sepasukannya, Pau Victor dapat terus bermain.

Pelan terbaharu mereka tertumpu pada penjualan kotak VIP di Spotify Camp Nou, satu inisiatif yang telah dibincangkan sejak sekian lama.

Meskipun matlamat asal adalah untuk mendapatkan €200 juta daripada usaha ini, satu perjanjian telah dimeterai dengan sebuah syarikat Qatar sebanyak €120 juta. Perjanjian itu membenarkan syarikat tersebut hak eksklusif untuk memasarkan tempat duduk premium selama 20 tahun akan datang.

Pada mulanya, Barcelona berharap untuk menangguhkan pengaktifan lever (konsep menggunakan modal yang dipinjam sebagai sumber pembiayaan) kewangan ini sehingga bulan Jun bagi merundingkan perjanjian yang lebih menguntungkan.

Walau bagaimanapun kecemasan yang timbul akibat krisis pendaftaran Olmo telah memaksa kelab untuk mempercepatkan proses ini.

Dengan melaksanakan pelan ini sekarang, Barcelona bertujuan untuk memenuhi peraturan kewangan ketat La Liga dan mencapai pematuhan peraturan 1:1 yang diperlukan sekali gus membolehkan  Olmo dan Victor kekal dalam skuad.

Sumber