Menjuarai English Premier League (EPL) bukan tugas mudah, apatah lagi dalam musim pertama mengendalikan pasukan.
Arne Slot bagaimanapun tidak menghiraukan kesukaran tersebut untuk membawa Liverpool muncul juara pada musim pertamanya membimbing The Reds selepas membelasah Tottenham Hotspur 5-1 di Anfield, awal pagi tadi.
Baca Juga:
- Liverpool Juara EPL 2024/25
- Korea Utara Tayang EPL Percuma Untuk Rakyat, Namun Tertakluk Kepada Beberapa Peraturan Ketat
- Mikel Arteta ‘Koyak’ Selepas Ditanya Peluang Juara EPL
Kejayaan luar biasa ini meletakkan nama Arne Slot sebaris dengan beberapa pengurus hebat yang pernah mencipta keajaiban serupa dalam sejarah EPL.
Tidak ramai yang mampu menyesuaikan diri dengan tekanan tinggi dan ekspektasi besar di liga paling kompetitif di dunia ini.
Namun, Slot membuktikan bahawa dengan pendekatan taktikal yang tepat dan kepercayaan penuh daripada pemain, segala-galanya adalah mungkin.
Berikut adalah senarai pengurus lain yang turut berjaya menjuarai EPL pada musim pertama mereka bersama kelab masing-masing:
1) Jose Mourinho (Chelsea)
Jose Mourinho menjadi pengurus pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang memenangi kejuaraan pada musim pertamanya bersama kelab,iaitu pada kempen 2004/05.
‘The Special One’ membimbing Chelsea yang disokong kewangan padu bekas pemilik, Roman Abramovich untuk merangkul kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 50 tahun, hanya dalam masa 12 bulan selepas menggantikan Claudio Ranieri sebagai pengurus.
2) Carlo Ancelotti (Chelsea)
Carlo Ancelotti menjadi pengurus legenda kedua yang berjaya meraih pencapaian sama selepas membawa Chelsea muncul juara pada musim 2009/10.
Chelsea menewaskan Manchester United dalam perebutan kejuaraan dengan kelebihan hanya satu mata setelah memenangi 27 perlawanan.
Pengurus dari Itali itu turut membimbing The Blues untuk meraih kejuaraan berganda iaitu EPL dan Piala FA.
3) Antonio Conte (Chelsea)
Rakan senegara Ancelotti, Antonio Conte membawa gaya taktikal tersendiri ke kelab London Barat itu pada musim 2016/17 dan berjaya menjulang trofi EPL pada musim pertamanya di Stamford Bridge.
Conte terkenal dengan keputusan beraninya menukar formasi kepada tiga pertahanan di pertengahan musim, yang kemudian membantu skuad Chelsea yang berwajah baharu itu merangkul kejuaraan liga keenam dalam sejarah kelab.
4) Manuel Pellegrini (Manchester City)
Pengurus kelahiran Chile tersebut menyertai senarai ini selepas menjuarai EPL dalam musim pertamanya bersama Manchester City pada musim 2013/14.
Musim tersebut menyaksikan perseteruan antara Manchester City dan Liverpool yang hanya dipisahkan dengan dua mata.
Malah, kedua-dua pasukan juga cukup garang dalam merobek gawang lawan apabila City meledakkan 102 gol manakala Liverpool hanya kekurangan satu gol.
5) Claudio Ranieri (Leicester City)
Kisah Ranieri mungkin berbeza berbanding lima pengurus ini dimana mereka menjuarai EPL pada musim pertama bersama kelab dan tampil dalam saingan liga ini.
Kembalinya semula Ranieri dalam kancah EPL selepas meninggalkan Chelsea pada 2004 diibaratkan sebagai satu kisah dongeng.
Hal ini kerana beliau berjaya menghadiahkan Leicester City kejuaraan EPL pada musim pertamanya dalam membimbing kelab tersebut.
Tiada siapa menyangka sejarah tersebut dilakarkan oleh Ranieri buat Leicester.