Nike telah melancarkan semula bola ikonik Liga Perdana Inggeris (EPL), T90 Aerow I yang akan digunakan buat pertama kalinya pada pertemuan Aston Villa menentang pendahulu liga, Liverpool, awal pagi Khamis nanti.
Ia juga secara tidak langsung sebagai tanda mengenang kembali kerjasama Nike bersama EPL dalam tempoh 25 tahun.

Baca Juga:
- Mikel Arteta Salahkan Bola Arsenal Kalah Di Tangan Newcastle
- EFL Balas Kritikan Arteta Terhadap Bola Piala Carabao
- Selepas Bola Sepak, Trio Bekas Pemain Perak Ini Ceburi Perniagaan Makanan
Bagaimanapun, hubungan tersebut akan berakhir pada penghujung musim ini.
Hal ini kerana satu lagi jenama terkenal dunia, Puma akan menjadi pembekal bola rasmi bagi saingan liga paling popular di dunia itu bermula musim 2025/26.
Kehadiran Semula Nike T90 Aerow I
Sehubungan dengan itu, Nike telah melancarkan versi terkini T90 Aerow I, yang pernah digunakan ketika musim 2004/05 dan 2005/06.

Bola tersebut telah menggantikan bola musim sejuk Hi-Vis yang digunakan dalam baki aksi musim ini apabila kempen liga memasuki musim bunga.
Warna yang digunakan juga kembali kepada elemen klasik serta menampilkan asas serba putih, digandingkan dengan beberapa perincian kecil pada ‘bulatan’ biru T90 yang cukup ikonik dan penuh nostalgia.
Bola T90 Aerow I yang dipertingkatkan ini bukan sahaja membawa nostalgia kepada peminat bola sepak, tetapi turut menawarkan teknologi terbaru dalam reka bentuknya.

Dengan rekaan yang lebih moden, bola ini dilengkapi dengan teknologi terkini untuk meningkatkan prestasi permainan ketika beraksi dalam padang.
Struktur permukaannya yang lebih halus dan alur yang diperbaharui membolehkan pengaliran udara yang lebih lancar, memberikan kawalan yang lebih baik kepada pemain semasa menghantar atau melakukan rembatan.
Selain itu, Nike turut mengekalkan elemen klasik yang menjadi ciri khas T90 Aerow I dengan penambahan sedikit sentuhan moden, menjadikannya sesuai untuk permainan masa kini.
Kehadiran semula bola ini memberikan penghormatan kepada sejarah panjang Nike dalam dunia bola sepak EPL, di mana jenama ini telah menjadi simbol bagi kegemilangan liga tersebut sejak lebih dua dekad lalu.
Dengan peralihan kepada Puma sebagai pembekal bola rasmi bermula musim 2025/26, ramai peminat dan pemain yang akan merindui bola-bola ikonik yang pernah digunakan dalam saingan EPL sebelum ini.
Namun, pelancaran semula T90 Aerow I ini memberi kesempatan kepada peminat untuk merasai sekali lagi kehebatan bola yang pernah mengubah landskap permainan bola sepak di peringkat tertinggi.