Sebut sahaja tentang Thiago Silva pastinya kemampuan beliau beraksi dalam saingan yang cukup kompetitif pada usia 39 tahun menjadi tajuk utama perbualan para peminat bola sepak seluruh dunia.

Ia jelas dibuktikan apabila Silva masih menjadi sandaran utama buat Chelsea pada musim ini untuk bergandingan bersama Axel Disasi atau Levi Colwill di posisi pertahanan tengah.

Baca Juga:

Malah, beliau turut beraksi 90 minit bagi kesemua 12 perlawanan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Untuk mencapai tahap seperti sedang dinikmatinya di pentas bola sepak tertinggi, Thiago Silva jelas begitu disiplin dalam menyiapkan fizikal dan mentalnya untuk bersaing dengan pemain yang lebih muda.

Dalam satu wawancara khas bersama The Guardian, pemain kelahiran Rio de Janeiro itu mendedahkan rutin hariannya untuk mengekalkan kecergasan di tahap terbaik.

’24 jam sehari nampaknya tidak mencukupi buat saya. Inilah hari saya dari pagi hingga ke malam. Saya bangun kira-kira pukul lapan pagi dan saya perlu berada di sini [Pusat Latihan Cobham] pada pukul 8.45 pagi.”

“Saya tiba dan kemudiannya minum kopi, saya juga melakukan apa yang perlu saya lakukan sebelum latihan. Saya berlatih.”

“Saya melakukan proses pemulihan selepas latihan di sini, kemudiannya saya pulang ke rumah dan berehat di bilil ‘Hyperbaric’ selama dua jam.”

Kredit Foto: Facebook Thiago Silva

“Saya bangun dan kemudian pasukan profesional saya bersedia untuk meneruskan pemulihan saya. Ada makanan, snek petang, makan malam dan makanan tambahan [supplement].”

“Di rumah, saya cuba untuk bersama keluarga. Kadang-kadang saya membawa anak-anak ke Akademi Chelsea dan saya menonton sesi latihan.”

“Apa-apapun, keesokan harinya masih sama. Dan seterusnya. Jadi, ia lebih banyak kepada sesi pemulihan daripada kerja sebenar pada hari tersebut. Sedikit tetapi lebih daripada cukup.”

Selain itu, Silva turut mengakui beliau mempunyai satu pasukan profesional yang terdiri daripada doktor, pakar pemakanan, fisioterapi, ejen, peguam, pegawai akhbar dan jurulatih peribadi.

Beliau menganggap apa yang dilakukannya dalam membina pasukan tersebut bagi menguruskan kehidupan peribadinya adalah satu pelaburan.

“Tetapi pada masa kini, orang muda, ramai dalam kalangan mereka melihat perkara ini sebagai perbelanjaan, pembaziran wang untuk mempunyai seseorang wakil di pihak mereka.”

“Mereka fikir mereka membuang wang dengan meminta profesional membantu mereka. Saya fikir ia adalah sebaliknya, ia adalah satu pelaburan,” tambah Silva lagi.

Melihatkan kepada inisiatif serta disiplin tinggi dipamerkannya, tidak hairanlah Thiago Silva mampu bersaing hebat dengan pemain-pemain muda dalam saingan EPL dan terus mendapat kepercayaan Mauricio Pochettino.

Sumber