Baru-baru ini tular luahan para guru mengenai pelajar-pelajar mereka menjawab kertas soalan dengan jawapan ‘Sebab boleh’ yang dikaitkan dengan satu slogan yang kemudian menjadi meme media sosial.

Susulan itu, pencetus slogan ‘Sebab boleh dik’, Azri Walter tampil memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.

Baca Juga:

Menurut Azri, beliau tidak percaya perkara itu berlaku 100% kerana berpendapat pada zaman sekarang orang ramai sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan perhatian.

“Saya ada prinsip bahawa di sebalik satu cerita, pasti ada satu lagi cerita yang lain,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengambil peluang ini untuk memberikan penjelasan kerana merasakan ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Sebab boleh dik — ini adalah satu slogan yang bertujuan untuk RESET minda kebanyakkan manusia yang telah diprogramkan bahawa mereka ‘tak boleh’ dan minda mereka telah disekat oleh kebolehan dan kemampuan diri mereka yang sebenar.

“Maksudnya, tujuan saya adalah untuk memberi impak positif kepada masyarakat,” terang beliau.

Dalam perkongsian asal, Azri menceritakan bagaimana dia mampu menjadi seorang yang luar biasa walaupun beliau berasal daripada keluarga yang bukan senang. Beliau mengaitkan kejayaannya itu hasil daripada berpegang pada slogan ‘Sebab boleh dik’.

Tambah beliau lagi, ibu bapalah sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk memantau penggunaan media sosial supaya tidak memberikan kesan negatif.

“Kepada adik-adik yang masih bersekolah dan sepatutnya tak tahu tentang media sosial ni, abang Azri Walter nak betulkan kesalahfahaman adik-adik bahawa, ‘Sebab Boleh Dik’ ini hanya terpakai kepada perkara-perkara positif sahaja.

“Oleh itu, saya nak adik-adik gunakan slogan ‘Sebab Boleh Dik’ supaya boleh menjari insan berjaya dunia dan akhirat,” kata Azri.

“Ada sesuatu yang perlu difikirkan; Bagaimana remaja di bawah usia 18 tahun boleh menggunakan media sosial? Sepatutnya ia sangat tidak wajar.

“Sebagai orang dewasa yang boleh berfikir, ibu bapa mestilah handal dalam mendidik ahli keluarga mereka terutamanya sebagai seorang LELAKI, SUAMI ataupun BAPA!

“Saya bertanggungjawab terhadap segala mesej yang saya sampaikan di semua platform media sosial Azri Walter dan saya percaya mesej yang saya sampaikan adalah positif bertujuan mendorong orang lain supaya berjaya setiap penjuru kehidupan.

“Saya mendorong lelaki khusunya, supaya FIT fizikal, FIT mental, FIT kerohanian dan FIT kewangan,” jelas beliau.

Azri juga berasa pelik mengapa tiada siapa mempertikai ramai influencer dan selebriti yang mempromosikan perkara negatif seperti mengajar orang lain cara menyediakan makanan dan minuman yang tidak sihat, hiburan yang melampau, kepalsuan hidup suami isteri yang sentiasa melakukan surprise dan nampak bahagia 24 jam, menggalakkan lelaki ikut emosi sehingga menjadi lemah dan sebagainya.

Beliau mengakhiri penjelasannya dengan menyatakan setiap invidiu bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri. Setiap pilihan kehidupan yang dibuat, sama ada baik atau sebaliknya, adalah tanggungjawab setiap individu.

“Semua orang kena ingat betul-betul bahawa kegagalan hidup diri sendiri, tiada kena mengena dengan kejayaan hidup orang lain,” tegas Azri.