Tular di media sosial semalam tentang sebuah pertandingan mencipta poster berasaskan kecerdasan buatan yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Hebahan mengenai pertandingan poster AI sempena Hari Kraf Kebangsaan mendapat kecaman sesetengah pihak dengan ada antara mereka mendakwa ia memalukan.

Baca Juga:

Sumber Gambar: X

Pada pandangan pengkritik pertandingan seumpama itu seolah-olah menghina bakat artis seni lukis negara.

Tambahan pula ia dianjurkan badan yang sepatutnya menaikkan martabat karya yang dihasilkan penggiat seni tempatan.

Mereka berpendapat langkah diambil Kraftangan Malaysia itu adalah suatu penghinaan kepada semua pereka grafik dan penggiat kraftangan, terutama apabila melihat kepada nilai hadiah yang ditawarkan.

“Pertandingan (janaan) poster AI untuk Hari Kraftangan bagi meraikan kreativiti manusia?

“(Ia) Penghinaan mutlak kepada penggiat seni di Malaysia. Hadiahnya juga hanya RM50 (kepada 30 pemenang). Ia sangat menghinakan jika begini caranya seni dilihat dan dinilai,” ciap seorang pengguna X.

Bukan itu sahaja, ada juga mempersoalkan cara pengadilan yang mana berpandukan pada jumlah likes dan kongsi pada poster tersebut.

Sumber Gambar: Maukerja

Sementara itu, seorang pelukis dan kartunis terkenal lewat 1990-an mempunyai pandangan berbeza.

Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon berkata semua pihak tidak perlu takut kepada teknologi moden seperti AI kerana ia sebenarnya menjadi pemudah cara dalam proses menyelesaikan sesuatu tugas atau kerja.

Tambahnya, Kraftangan Malaysia berhak untuk menganjurkan apa saja pertandingan yang dirasakan sesuai.

Ujang turut bersetuju dengan penggunaan AI dalam penghasilan karya seni termasuk animasi dan lukisan.

“Mengapa perlu takut? Kita tak boleh halang teknologi sebaliknya kena bersedia (terima perubahan) dan meraikan arus teknologi yang semakin pesat, jika tidak kita akan ketinggalan.” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, memang terdapat kegusaran dan salah faham dalam kalangan sesetengah pihak mengenai penggunaan teknologi AI dalam bidang seni.

Menurut Ujang, dia sendiri pernah menghadapi konflik pertembungan di antara kaedah tradisional dan teknologi moden ketika menjadi kartunis suatu ketika dulu.

“Sekarang, saya sendiri belajar teknologi baru seperti lukisan digital dan AI untuk sesuaikan diri dengan persekitaran teknologi baru,” katanya lagi.

Sumber