Pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini menjatuhkan hukuman kepada Selangor selepas pasukan itu tidak hadir bagi menghadapi aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) awal musim lalu.
Skuas Gergasi Merah didenda sebanyak RM100 Ribu, bayaran pampasan atas kerugian yang ditanggung oleh MFL dan JDT, pemotongan tiga mata dan perlawanan menentang JDT di Stadium MBPJ akan dilangsungkan tanpa penonton.
Baca Juga:
- Selangor Didenda RM100 Ribu, Aksi Menentang JDT Tanpa Penonton
- Altimet Sedia Bantu Bayar Hukuman Denda Selangor FC
- Bintang Muda Selangor, Muhammad Abu Khalil Jalani Latihan Bersama Kelab Jepun
Bagi hukuman keempat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam memberi penjelasan mengapa denda tersebut dikenakan.
“Hukuman nombor 4 telah dibuat berdasarkan commercial revenue pasukan JDT. Perlawanan itu tidak dimainkan dan pampasan dibayar, namun tiada keuntungan yang diperoleh daripada perlawanan tersebut.
“Pandangan bagi Ahli Lembaga Pengarah MFL ialah reverse match kerana tidak seharusnya ada keuntungan bagi kedua-dua pasukan yang bertanding. Ini adalah melibatkan keadilan dari segi komersial,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah Pusat Latihan Kebangsaan di Presint 5, Putrajaya hari ini.
Datuk Stuart turut menjelaskan bahawa Selangor diberikan peluang untuk membuat rayuan kepada MFL.
“Daripada empat rayuan tersebut, badan rayuan akan meneliti proses keputusan dibuat, jikalau daripada empat perkara tersebut perlu kepada satu atau dua perkara dipertimbangkan semula, (maka) boleh diambil daripada badan rayuan.
“Pasukan Selangor mempunyai tiga atau empat hari untuk mengemukan surat rayuan dan selepas itu badan akan meneliti dokumen yang relevan dan akan bersidang mungkin dua hingga empat minggu,” tambahnya.