Penyerang skuad kebangsaan, Fergus Tierney menjadi wira negara dimana beliau menjaringkan gol penyamaan ketika Malaysia mengikat seri Kemboja dalam aksi pembukaan kumpulan A saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 baru-baru ini.

Fergus yang dimasukkan pada separuh masa kedua menjaringkan gol menerusi rembatan dari luar kawasan penalti yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Vireak Dara sekaligus membolehkan Malaysia menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-2 dan membawa pulang satu mata.

Baca Juga:

Penyerang berusia 21 tahun itu dilepaskan oleh kelab Thailand, Chonburi FC dimana pasukan itu menamatkan kontrak pinjaman beliau dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Fergus Tierney
Sumber Gambar: FAM

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom, kontrak Fergus ditamatkan kerana pemain itu memilih untuk mewakili Malaysia pada ketika kejohanan Piala AFF berada di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Chonburi sedang bersaing dalam Thai League 2.

Wartawan sukan terkenal Thailand, Jay Waropat turut mempunyai pendapat yang sama mengenai situasi Fergus Tierney bersama Chonburi.

“Setakat yang kami tahu, pemain itu memilih untuk beraksi dalam Piala ASEAN 2024 bersama Malaysia. Ia bukan perlawanan pada hari FIFA, yang membolehkan untuk mencapai kesepakatan terbaik dengan membatalkan kontraknya.

“Anda perlu memahami pihak kelab juga. Mengapa mereka perlu berpisah? Ini kerana musim Thai League 2 masih berjalan,” katanya.

Ketika ini, fokus Fergus masih terarah kepada pasukan negara yang mahu bangkit selepas kecewa pada aksi pertama dimana skuad bimbingan Pau Marti mahu mencatat kemenangan pertama apabila berdepan Timor Leste pada 11 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.