Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan sebab mengapa mereka menolak untuk mendapatkan pemain Malaysia yang beraksi di luar negara bagi memperkuatkan pasukan.

Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Alistair Edwards dimana beliau menegaskan harga yang diminta untuk menandatangani pemain tersebut adalah tidak munasabah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“JDT mengesahkan bahawa kami telah ditawarkan seorang pemain Malaysia yang bermain di luar negara, dan Harimau Selatan telah menolak tawaran tersebut disebabkan harga yang disebutkan adalah tidak munasabah.

“Kami percaya terdapat percubaan untuk meningkatkan nilai pemain dengan mencipta perang bidaan, sesuatu yang JDT tidak akan terperangkap.

“Kami percaya skuad Harimau Selatan 2024/25 sudah mempunyai ‘squad depth’ yang baik berdasarkan beberapa pemain yang telah diumumkan setakat ini dan beberapa lagi akan menyusul dimana ia bukan sahaja memperkuatkan skuad tetapi juga menepati 40% pengurangan perbelanjaan berbanding musim sebelumnya,” kata Edwards.

Akan tetapi, Edwarda tidak menyebut pemain Malaysia mana yang ditawarkan kepada mereka sama ada pemain muda ataupun pemain dalam skuad senior.

Sebelum ini, pemilik kelab iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengesahkan seorang pemain naturalisasi bakal perkuat Harimau Selatan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

“Pemain tempatan satu sudah ditandatangani dan dipinjamkan untuk dapatkan minit permainan. Lagi satu, naturalisasi dalam skuad JDT,” kata TMJ.

Pemain naturalisasi dimaksudkan kemungkinan bekas penyerang KL City, Romel Morales berdasarkan khabar angin di media sosial.

Morales turut beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini dan berjaya menjaringkan gol penyamaan ke atas Korea Selatan ketika seri 3-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Kehadiran Morales bakal memberi banyak pilihan kepada pengendali JDT, Hector Bidoglio membentuk jentera serangan mantap bersama penyerang import baharu, Nicolao Dumitru, Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman.