Pada usia bakal mencecah 39 tahun, pemain bek tengah kental, Sergio Ramos telah menandatangani kontrak bersama kelab Liga Mexico, Monterrey.
Beliau menyertai kelab tersebut selepas bergelar ejen bebas setelah meninggalkan Sevilla pada Julai 2024.
Baca Juga:
- Real Madrid Lelong Loker Yang Pernah Digunakan Ronaldo, Zidane, Figo, Beckham Dengan ‘Tapak’ RM56.5 Ribu Sahaja
- Real Madrid Cabar Pemain Teka Nama Rakan Sepasukan Dalam Kaligrafi Jawi
- Ini Pemain Yang Selalu Buat Mental Lionel Messi Koyak
Monterrey menjadi kelab ketiga diwakili Ramos selepas beliau meninggalkan Real Madrid pada 2021 dimana sebelum ini bersama Paris Saint-Germain dan Sevilla.
Pada majlis memperkenalkan Ramos secara rasmi tempoh hari, beliau dilihat memegang jersi Monterrey yang bernombor 93.
Pemilihan nombor jersi tersebut jelas mempunyai kesan yang cukup mendalam buat Sergio Ramos dalam karier penuh gemilang itu.

Nombor 93 yang dipilih oleh Ramos adalah berkait rapat dengan jaringan penyamaannya ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2013/14 ke atas Atletico Madrid.
Perlawanan yang berlangsung di Lisbon itu menyaksikan Diego Godin meletakkan Atletico dihadapan pada minit ke-36 dan ketika lawan semakin hampir untuk meraikan kejayaan, Ramos hadir untuk menanduk masuk bola bagi menyamakan kedudukan di minit ke-93.
Jaringan yang mengheret aksi ke masa tambahan 30 minit dan selepas itu Real Madrid jelas sukar digugat untuk mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 4-1.
Sehubungan dengan itu, Ramos mendedikasikan detik cukup bermakna dalam kariernya itu dengan menggunakan jersi bernombor 93.
“[Detik] pada minit ke-93 itu cukup epik. Ia merupakan satu penghormatan kepada Real Madrid dan kerjaya saya,” ujar Ramos menurut sumber laporan Goal.