Piala Sudirman merupakan kejohanan berpasukan campuran dunia yang diadakan setiap dua tahun sekali.
Ia merupakan ujian kekuatan menyeluruh sesebuah pasukan, di mana kesemua sektor dalam badminton dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
China merupakan pasukan gergasi selaku juara 13 kali, manakala Korea Selatan memenanginya sebanyak empat kali. Sementara itu, Indonesia menjuarai edisi sulung kejohanan ini.
Mungkin ada dalam kalangan peminat badminton yang tertanya-tanya, mengapa kejohanan yang mula dianjurkan pada tahun 1989 ini dinamakan sebagai Piala Sudirman?
Mengapa Digelar Piala Sudirman?
Piala Sudirman adalah sebagai penghormatan buat Dick Sudirman yang merupakan salah seorang pengasas Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI) dan pernah menjawat jawatan Presiden selama 22 tahun.
Beliau dihormati di peringkat antarabangsa sebagai seorang pentadbir sukan yang berwibawa, bukan sahaja melalui PBSI tetapi juga menerusi peranannya dalam badan-badan induk lain seperti Persatuan Badminton Asia dan Persekutuan Badminton Antarabangsa (ketika itu digelar IBF).
Menurut sumber laman sesawang rasmi BWF, Dick Sudirman paling dikenang kerana peranannya yang penting dalam usaha penyatuan badan induk badminton dunia.
Sumbangan Besar Dick Sudirman
Pada Februari 1978, sebuah kumpulan pecahan daripada Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikenali sebagai World Badminton Federation (WBF) telah ditubuhkan dan selama beberapa ketika dua siri kejohanan antarabangsa dijalankan secara serentak.
Aspirasi sukan badminton untuk disenaraikan dalam temasya Olimpik ketika itu berada dalam keadaan genting, namun pelbagai usaha perdamaian yang dijalankan menemui jalan buntu.
Sudirman yang mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua badan tersebut telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pertemuan tidak rasmi di Bandung pada 28 Mei 1979 antara pemimpin kedua-dua persekutuan tersebut.
Dalam pertemuan itu, beliau mencadangkan pembentukan satu kumpulan kajian kerja yang melibatkan tokoh-tokoh utama dari kedua-dua badan bagi mencari jalan penyelesaian.
Beliau juga mencadangkan agar diadakan perlawanan persahabatan antara pemain dari kedua-dua persekutuan.
Sehubungan dengan itu, cadangan-cadangan beliau telah diterima dan menjadi asas kepada usaha perdamaian tersebut. Akhirnya, tepat dua tahun kemudian iaitu lebih tepat lagi pada 28 Mei 1981, kedua-dua badan dunia itu akhirnya bersatu semula.
Penghargaan buat Dick Sudirman
Selepas pemergian Dick Sudirman akibat serangan strok pada 10 Jun 1986, rakan karibnya yang juga Naib Presiden PBSI, Suharso Suhandinata telah menulis surat kepada Presiden IBF, Arthur Jones bagi mengenang jasa dan sumbangan besar Sudirman terhadap dunia badminton.
Dalam surat bertarikh Ogos 1986 itu, Suhandinata mencadangkan agar sesuatu yang bersifat nyata diwujudkan bagi memperingati Sudirman dan mengusulkan agar IBF mempertimbangkan cadangan Indonesia untuk menubuhkan sebuah kejohanan yang dinamakan sempena nama tokoh tersebut.
Cadangan tersebut telah dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis IBF oleh Arthur Jones pada tahun 1986.
Menjelang tahun 1988, IBF yakin dengan potensi untuk menganjurkan Kejohanan Berpasukan Campuran Dunia dan menerima tawaran Indonesia untuk menyumbangkan trofi kejohanan.
Memandangkan jadual pertandingan antarabangsa agak padat ketika itu, Majlis IBF memutuskan agar Piala Sudirman dianjurkan serentak dengan Kejohanan Dunia.
Edisi pertama Piala Sudirman telah berlangsung di Stadium Bung Karno, Indonesia dari 24 hingga 29 Mei 1989 dengan penyertaan 28 pasukan.
Kejohanan ini mendapat sambutan hangat daripada pemain dan peminat, dan menjelang edisi kelapan, ia telah berjaya membina reputasi serta momentum yang kukuh untuk dianjurkan sebagai sebuah acara berasingan.