Langkah meninggalkan Manchester United buat seketika jelas merupakan keputusan terbaik buat pemain sayap lincah dari Brazil, Antony.
Ketika United terus dirundung malang terjerumus ke tangga ke-15 saingan English Premier League (EPL) selepas tewas kepada Tottenham Hotspur, Antony pula cemerlang bersama Real Betis.

Baca Juga:
- Selepas Jaringkan 3 Gol Dan Berpusing Atas Padang, Antony Tinggalkan Manchester United
- Man United Cari Kelab Yang Mahu Pinjam Antony Januari Ini
- Antony Tolak Perpindahan Ke Real Betis
Disahkan menyertai kelab LaLiga itu pada 25 Januari lalu secara pinjaman, Antony telah membuat penampilan dalam tiga perlawanan liga dan satu aksi UEFA Conference League.
Pemain berusia 24 tahun itu nyata tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri bersama Real Betis.
Ia jelas dibuktikan dengan tiga gelaran ‘Pemain Terbaik Perlawanan’ yang dimenangi olehnya ketika bertemu Athletic Bilbao, Celta Vigo dan Real Sociedad.
Lebih menarik untuk diperkatakan, tiga gelaran berturut-turut tersebut diraih Antony pada tiga perlawanan awalnya bersama Real Betis dalam kempen liga.
Meskipun tidak menjaringkan gol pada aksi sulung ketika menentang Athletic Bilbao, beliau masih mampu beraksi dengan cemerlang dan diturunkan selama 72 minit.
Aksi kemudiannya ketika tewas 2-3 di tangan Celta Vigo, Antony menjaringkan gol sulung bersama pasukan pada minit ke-10.
Kecemerlangan itu diteruskan dalam Conference League dimana beliau menjaringkan satu gol ketika membantu Real Betis menang 3-0 ke atas wakil Belgium, KAA Gent.
Awal pagi tadi, beliau sekali lagi dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan susulan satu gol dan satu bantuan jaringan yang membantu Betis menundukkan Real Sociedad di laman sendiri.
Susulan dengan itu, Antony sudah menghasilkan tiga gol dan mencipta satu bantuan jaringan dalam empat aksinya bersama Real Betis (308 minit).
Prestasi baik yang pastinya akan menutup mulut pengkritik apabila sebelum ini beliau hanya menjadi mangsa kritikan sewaktu di Manchester United.
Beliau berpeluang untuk menambah koleksi jaringannya pada minggu ini apabila Real Betis akan menghadapi kunjungan KAA Gent pada Jumaat nanti.