Legenda Barcelona, Andres Iniesta menyatakan keinginannya untuk kembali ke kelab tersebut menjelang persaraannya sebagai pemain profesional.
Iniesta yang kini berusia 40 tahun sudah menamatkan musim pertamanya bersama kelab Liga UAE Pro League, Emirates Club dimana beliau menjaringkan lima gol dan mencipta satu bantuan jaringan dalam 23 perlawanan dilalui.
Baca Juga:
- Messi Disarankan Ganti Tempat Xavi Sebagai Pengurus Barcelona
- Hansi Flick Terapkan Peraturan Pelik Ini Untuk Pemain Barcelona
- Xavi Nasihati Bakal Pengurus Barcelona, ‘Anda Akan Menderita’
Seperti diketahui selepas meninggalkan Barcelona pada 2018, pemain tengah kreatif itu memilih untuk bersama kelab Jepun, Vissel Kobe.
Walaupun kudratnya semakin dimamah usia, Iniesta dilihat masih belum berhasrat untuk mengumumkan persaraan dan menekankan komitmen beliau untuk terus beraksi.
“Saya ingin terus bermain sehingga saya rasa saatnya tiba untuk berhenti,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.
“Saya ingin kembali ke Barca pada suatu masa. Tetapi jelas, saya masih tidak tahu bila atau bagaimana. Ini sesuatu yang tidak diketahui oleh sesiapa. ”
“Kita akan lihat bagaimana segalanya berjalan [untuk kembali ke Barcelona],” tambah Andres Iniesta lagi.
Sepanjang beliau menyarung jersi keramat Barcelona, Iniesta yang membentuk gandingan mantap bersama Xavi Hernandez telah memenangi pelbagai kejuaraan buat The Blaugrana.
Antara trofi utama yang pernah dijulang ialah sembilan kejuaraan La Liga, Liga Juara-Juara Eropah sebanyak empat kali serta tiga Piala Dunia Kelab FIFA.
Impian untuk kembali ke Nou Camp menyerlahkan hubungan erat Iniesta dengan kelab yang telah membentuk karier gemilangnya.