Dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat yang baru sahaja dibentangkan, Kerajaan merancang akan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja.

Insentif ini bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia dan wanita serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Bagi insentif ini, ia akan tertumpu kepada 4 program iaitu #GraduanKerja, #WanitaKerja, #WatanKerja dan #PerantisKerja.

Apa yang menarik untuk #GraduanKerja adalah graduan yang menerima kerja selepas menganggur melebihi 12 bulan akan menerima insentif gaji sebanyak RM500 sebulan selama setahun sebagai tambahan gaji yang diterima. Manakala, majikan akan menerima insentif pengambila pekerja sebanyak RM300 sebulan dalam tempoh yang sama.

EGlhkS9UYAAxBdd

Bagi #WanitaKerja pula untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih. Insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan akan diberikan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama.

Selain itu, #WatanKerja adalah program dimana jika warganegara bekerja menggantikan pekerja asing berkemahiran rendah diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama.

Akhir sekali, #PerantisKerja adalah satu program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET) dimana akan memberikan elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET.

Inisiatif tersebut akan disediakan oleh kerajaan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Insentif gaji tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja.

Rakyat Malaysia 18 tahun ke atas juga bakal mendapat RM30 dalam e-wallet. Klik pautan di bawah untuk ketahui lebih lanjut.

Rakyat Malaysia 18 Tahun Ke Atas Bakal Dikreditkan RM30 Dalam ‘E-Wallet’

75 Juta Pekerjaan Bakal Hilang Menjelang 2022