Pada hari semalam tular satu rakaman video berdurasi 51 saat yang dimuat naik di TikTok @abechikkelantan di mana seorang pemandu treler mendakwa telah dipukul oleh seorang anggota polis trafik di Kompleks Sukan Abu Bakar.
Dalam satu kenyataan rasmi oleh Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, anggota polis trafik itu sudah tampil membuat laporan polis selepas insiden berkenaan.
Baca Juga:
- Rempuh Kenderaan Awam Seperti Permainan Video ‘GTA’, Polis Buru Suspek Cetus Perbuatan Khianat
- Polis Tunjuk ‘Thumbs Up’ Kepada Pemandu Lori Bantu Halang MPV Guna Lorong Kecemasan
- Lori Didakwa Alami Masalah Brek Cetus Kemalangan Dan Kesesakan Di Tambak Johor
Kejadian dipercayai berlaku ketika anggota polis trafik sedang menjalankan tugas pemantauan lalu lintas di KSAB sebelum mendapati treler dipandu seorang lelaki berada di lorong kanan yang sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.
@abechikkelantan beginila nasib pemandu lori rakyak malaysia #pdrm #silaambiltindakan
“Pemandu treler itu enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan dilakukan, malah dia juga mengeluarkan kata-kata kesat, lalu bertindak membuka pintu dan terus menumbuk muka anggota trafik sebanyak dua kali sebelum menendang motosikalnya.
“Berlaku sedikit pergelutan antara mereka dan anggota trafik berkenaan cuba mempertahankan dirinya daripada pemandu terbabit,” katanya.
Susulan penularan video itu, pihaknya membuat semakan dan mendapati anggota polis trafik berkenaan ada membuat laporan polis, sebelum pihaknya bertindak menahan pemandu treler terbabit.
“Satu kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan pemandu treler berkenaan sudah ditahan, manakala kita akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya pada hari ini,” kata Asisten Komisioner Rahmat.