Sewaktu pertama kali mengikuti Facebook pasangan ini sejak beberapa tahun lepas (waktu itu mereka sedang bertunang), memang jarang terlihat komen sweet atau ‘something over’  di antara 2 insan ini.

Jika baca komen Syafiq di wall Facebook Sakinah, komennya tetap biasa-biasa saja. Begitu juga komen Sakinah di wall Facebook Syafiq, meski pun pada hakikatnya mereka berdua ibarat ‘pinang dibelah 2, sama cantik, sama kacak’.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Hinggalah bila mereka hampir berkahwin. Barulah nampak ada sedikit diperlihatkan sisi romantis Syafiq sewaktu menyambut Sakinah di lapangan terbang, iaitu beberapa minggu sebelum mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun lepas.

Namun siapa sangka, rupanya ada kisah menarik yang tersimpan kemas oleh pasangan yang pernah bercinta jarak jauh selama lebih 5 tahun ini. Dalam diam Syafiq berkongsi perasaan dan perjalanan percintaan mereka di blog peribadi milik Syafiq. Sejujurnya pertama kali membaca coretan ringkas Syafiq, saya pula yang seperti di awangan. Cloud 9 di mana-mana.

Berikut coretan Syafiq yang telah saya tulis semula dan diringkaskan. Ia dimuat bila Syafiq ada mood. Kebanyakannya adalah throwback dan ditulis oleh Syafiq bermula dari tahun 2011 hingga 2016 (5 tahun).

Dan saya nak bagi amaran, artikel ini sangat panjang dan gula bersepah di mana-mana. Haha.

Bagaimana aku jatuh cinta dengan Sakinah

10 April 2011

Bagaimana aku jatuh cinta dengan Sakinah? Perkenalan kami bermula di Friendster kira-kira 3 tahun lalu. Sakinah add aku di laman sosial ini, dan sebagai seorang buak lelaki peramah, mestilah aku terima apatah lagi bila yang add aku adalah perempuan! Haha.

Tapi perkenalan kami hanya di situ saja. Hinggalah pada satu hari kira-kira setahun kemudian Sakinah tinggalkan komen di gambar profile aku – “Hi Aries (nickname aku Aries masa tu) you have been in my friend list for ages but we never really been contacted each other. I adore the photo of your background profile. The drawing is fantastic”.

Ye, kerana gambar latarbelakang profile aku adalah Naruto. Di situlah kami bermula. Friendster dan Naruto.

25 April 2011

Selepas Sakinah tegur aku buat kali pertama, aku tertanya-tanya siapalah minah ni. Lalu aku ke profile Sakinah dan perkara pertama yang menangkap mata aku adalah lukisan Sakinah. Susah nak percaya apa yang aku nampak – lukisan yang cantik dilukis oleh seorang gadis kecil molek. Aku jatuh hati pandang pertama dengan hasil seni Sakinah.

Sejak hari itu kami selalu berhubung di Friendster. Malahan setiap pagi aku tunggu komen Sakinah. Perkara pertama aku buat bila bangun tidur adalah buka email dan cari “Sakinah Omar has sent you a comment”. Setiap kali aku tengok email notification, hati aku berdebar kencang dan tak sabar nak baca apakah komen yang ditinggalkan oleh Sakinah.

Aku juga mula tersedar, setiap kali membelek profile Sakinah, merenung gambar gadis ini, aku tersenyum.

For the first time in my life after 4 years, I feel like I’m the loneliest man in the world.

16 Julai 2011

Sebelum bertemu Sakinah, aku pernah dikecewakan. Dan kini aku rasa bagaikan Sakinah adalah perkara terbaik pernah hadir dalam hidup aku. Aku dah pun add Sakinah di Friendster dan di YM. Tapi belum lagi di MySpace.

Sebagai stalker nombor 1 Sakinah, mestilah aku nak add Sakinah di MySpace juga. Tapi hati aku bagaikan kaca yang jatuh berkecai bila lihat profile Sakinah di MySpace – “Sakinah Omar is in a relationship.”

Pada detik itu, terasa bagaikan akulah insan paling sunyi di dunia. Teramat sunyi. Tapi aku tetap nak tahu siapa lelaki yang bertakhta di hati Sakinah. Aku baca semua komen antara mereka berdua. Semuanya sangat sweet macam kena kencing manis.

Impian dan harapan aku musnah. Sejak itu aku tak nak lagi ‘keep in touch’ dengan Sakinah.

29 Feb 2012

Beberapa bulan berlalu dan tak ada apa sangat yang berlaku antara kami. Hinggalah aku berkunjung ke rumah kakak saya di Nottingham pada 9 April 2009. Sebelum ke sana aku ada bertanya kepada Sakinah – sudi ke jadi ‘tour guide’ jika aku ke Glasgow? Sakinah memberikan jawapan positif.

Sewaktu di Nottingham sekali lagi aku menyelongkar Friendster Sakinah. Sakinah pun dah mula balik tinggalkan komen pada gambar-gambar yang aku muat naik sepanjang di UK.

Masih aku ingat bila Sakinah cakap dia sangat rindukan KFC, dan hampir lupa bagaimana  panasnya sinaran matahari di Malaysia. Dah 4 tahun Sakinah tak balik. Sekarang setiap pagi aku kembali buka laptop dan berharap Sakinah tengah online atau ada notifikasi “Sakinah Omar has sent you a comment” di email.

Perasaan aku masa itu bercampur baur antara gembira dan sedih. Jauh di sudut hati aku gembira sebab dapat chat semula dengan Sakinah di Friendster. Tapi di waktu yang sama terasa pedih bila teringatkan hakikat bahawa hati Sakinah sudah dimiliki. Perasaan suka kepada Sakinah aku simpan kemas di dalam hati. Inilah nasib aku. Selalu jatuh cinta pada orang yang salah.

Hinggalah satu hari aku ambil keputusan untuk ke Scotland, berjalan sambil berjumpa Sakinah. A perfect plan. Think its a suicide plan.

Love is like a butterfly, hold it too tight, it’ll crush. Hold it too loose, it’ll fly – Syafiq.

5 Julai 2012

28 Mei 2009 aku dihantar ke lapangan terbang oleh kakak dan abang ipar. Penerbangan aku ke Glasgow pada jam 5 petang. Hati aku berdebar-debar di sepanjang penerbangan.

Bayangkan aku sanggup terbang jauh beribu batu seorang diri semata-mata untuk bertemu seorang gadis yang dikenali hanya di Friendster. Ini kerja gila namanya! Tapi inilah kelebihan aku, suka buat kerja gila.

Aku teruja nak jumpa Sakinah buat pertama kali. Tapi di waktu yang sama hati aku berdebar teruk. Jam 6 petang aku tiba di Glasgow dan terus ‘on hp’. Ada mesej dari Sakinah, “Ashin, kita orang baru keluar rumah mungkin sampai lambat sikit”. Aku balas dan bertanya, datang dengan siapa? BOMMM! “Dengan ayah”.

Terasa berderau, darah mengalir laju, degupan jantung semakin laju dan perjalanan masa semakin perlahan. Perasaan berdebar menyelubungi, lebih teruk daripada sewaktu bermain di pusingan ke 3 pertandingan badminton, di kala duse 20-20. Tapi demi meluahkan perasaan ku tempuh jua. Phuihh! Ayat tak boleh blah.

Aku menunggu Sakinah dengan penuh debaran. Di waktu yang sama aku ingatkan diri, Sakinah dah ada someone special. Aku tak nak dituduh cuba merampas kebahagiaan orang lain. Tapi aku tetap nak dia tahu, ada seseorang di sini, jauh dari ceruk dunia sangat sukakan dia.

Inilah satu-satunya peluang yang aku ada. Aku tak nak kerana mensia-siakan peluang ini akhirnya aku akan menyesal satu hari nanti. Dalam beberapa minit lagi aku akan bertemu Sakinah Omar, gadis yang aku suka dalam diam di internet. Rasa macam mimpi jadi nyata.

Kali pertama lihat Sakinah, terus aku dapat cam. Muka Sakinah sama macam dalam gambar, cuma lebih rendah dan cute di alam nyata. Aku senyum kepada Sakinah dan adiknya Raihan tapi mulut terdiam seribu bahasa. Tak tau nak cakap apa. Aku cuba nak jadi peramah tapi ended up kelam kabut.

Perancangan awal sepatutnya aku terus ke rumah kawan Sakinah. Tapi mak Sakinah buat masak-masak sikit dan aku dijemput ke rumah mereka. Aku disambut dengan ramah oleh mak dan abang Anas. Sepanjang di rumah Sakinah aku tak berpeluang pun bercakap dengan Sakinah. Aku tengok Sakinah pun macam tak berapa endahkan aku. Sama ada dia sibuk di dapur atau kat bilik dia.

Sakinah langsung tak ramah macam di YM (Yahoo Messanger). Masa ni aku rasa macam nak balik saja. Dahlah aku dibiar duduk sorang-sorang di ruang tamu. Sakinah dan Raihan sibuk menolong di dapur. Sungguh tak sama macam yang aku angankan. Terasa malu aku dowh.

Di waktu makan mak Sakinah banyak bertanya. Raihan juga banyak bercakap dengan aku. Sakinah pula nampak macam sombong dan tak banyak cakap.

Lepas makan malam, Sakinah, Raihan dan Abang Anas (abang Sakinah) hantar aku ke rumah Aidil, rumah di mana aku akan tinggal sepanjang 7 hari di sini. Kami berjalan kaki ke rumah Aidil dan akhirnya aku ada peluang bercakap dengan Sakinah.

Inilah 10 minit paling best yang aku rasa. Kami bergurau dan ketawa bersama. Terasa hilang segala kesukaran, putus asa dan rasa malu yang aku tanggung tadi kerana gadis yang aku suka sekarang berada di sebelah aku. Walaupun hakikatnya Sakinah tak tahu perasaan aku pada dia, tetap aku rasa 7 hari mendatang adalah hari-hari indah yang bakal aku lalui.

“The way she’s painting, laughing, I wished to be her special one. But I was not. She did not even take a glance on me. How arrogant she was back then. But I knew, someday she’ll be mine – Syafiq.”

16 Januari 2015

30 Mei 2009 kami semua ke Malaysia Festival di Glasgow. Keluarga Sakinah turut buka gerai di festival ni, jual makanan Malaysia. Tugas aku tolong promote gerai mereka. Sakinah pun sibuk sebab dia buka gerai mencanting batik.

Jauh di sudut hati aku berharap Sakinah dapat duduk di gerai keluarga dia bersama aku, jadi bolehlah aku bersembang dengan dia. Tapi harapan tinggal harapan. Sakinah sibuk dan langsung tak pedulikan aku. Dan Sakinah langsung tak perasan aku asik perhatikan dia, cara dia melukis, senyum dan gelak tawa Sakinah. Jeling kat aku pun tidak.

11 Jun 2016 (phew Syafiq, cekal update blog. Makan masa bertahun)

31 Mei 2009 kami berempat (aku, Sakinah, Anas dan Zaim) sepakat sewa kereta untuk ke Scottish Highland, Isle of Skye. Aku dan Sakinah duduk di belakang, sementara Anas jadi pemandu dan Zaim jadi co-pilot.

Perjalanan sepatutnya ambil masa selama 6 jam tapi jadi lebih lama sebab kami banyak berhenti ambil gambar. Pemandangan pun sangat cantik. Duduk berdua di belakang buat pertama kali, aku cuba berlagak cool. Sesekali aku curi pandang bila Sakinah tak perasan.

Dan bila Sakinah tertidur, aku rasa akulah lelaki paling bertuah dapat lihat gadis yang aku suka tertidur di sebelah aku. Kau tahu apa rasanya bila orang yang selama ni kau suka senyap-senyap di media sosial sekarang berada di sebelah kau saja. Walaupun kami berempat, tapi aku rasa macam ada aku dan Sakinah saja.

Kalau boleh aku nak journey ni jadi lebih lama. Biar lambat sampai. Dan harapan aku nampaknya jadi kenyataan. Kami sampai lambat di Kyleakin. Kaunter reception di hotel yang kami tempah pula dah tutup. Nasib baik ada hostel berdekatan untuk kami menginap. Esoknya kami bangun awal dan sarapan bersama. Inilah sarapan paling best yang aku rasa, sebab dapat sarapan bersama Sakinah. I was so on the cloud 9.

2 hari di Isle of Skye adalah hari paling membahagiakan bagi aku. Tapi sewaktu dalam perjalanan balik selama 6 jam aku langsung tak dapat lelapkan mata. Aku belum dapat confess kepada Sakinah.

3 Jun 2009 – hari terakhir aku di Glasgow. Trip 7 hari aku ke Glasgow bakal berakhir esok. Dan aku masih belum mampu confess kepada Sakinah. Aku takut dikecewakan.

Malam tu ibubapa Sakinah benarkan aku tidur di rumah dia orang, di ruang tamu. Tapi ini pun dah cukup bagus bagi aku, sebab dapat sebumbung dengan Sakinah, macam yang aku pernah harapkan sebelum ni.

Aku ada idea macam mana nak bagitau perasaan aku kepada Sakinah. Korang pernah tengok movie macam mana seorang mamat ni tulis confession note banyak-banyak dan letakkan ke dalam beg tangan wanita idaman dia? Aku buat benda yang sama.

Malam tu aku kunci pintu ke ruang tamu dan tulis dalam 20 nota kecil. Aku pun tak ingat betul-betul apa aku tulis, tapi memang jiwang karatlah. Dan aku tulis dengan penuh perasaan bahawa aku memang jujur dan ikhlas suka kat Sakinah.

Esok flight aku berlepas jam 8.40 malam. Jadi sebelum tinggalkan Glasgow kami berempat ke Edinburgh sekejap. Aku, Sakinah, Anas dan Raihan. Aku rasa abang dan adik Sakinah dapat agak aku sukakan Sakinah sebab dia orang biarkan aku dan Sakinah berjalan berdua 50 meter di depan.

Kami kemudiannya duduk di satu tebing sementara tunggu Anas sibuk ambil gambar Raihan. Bagi aku inilah peluang yang tak patut aku lepaskan. Kalau aku tak bagi nota kecil yang aku tulis malam tadi, aku akan menyesal selamanya. Aku keluarkan nota kecil dari beg aku dan masukkan ke dalam beg Sakinah.

“Apa ni? Kalau duit saya tak nak.” Aku cakap ni bukan duit, benda lain. “Janji dengan saya awak takkan bukak sampai saya dah berangkat.” Sakinah nampak keliru sambil tersenyum.

Petang tu aku dihantar ke lapangan terbang. Bagi aku inilah trip paling best dalam hidup aku yang akan aku ingat sampai bila-bila. Tapi aku jadi risau sepanjang dalam penerbangan. Macam mana kalau Sakinah reject aku?  Macam mana kalau lepas baca nota-nota curahan perasaan aku, Sakinah jadi benci kat aku? Macam mana kalau apa yang aku buat ni sebenarnya merosakkan persahabatan aku dan Sakinah?

Sesampai di Nottingham aku on hp dan berharap Sakinah akan hantar mesej kepada aku. Tiba-tiba phone aku berdering. Sakinah call aku. Cuba berlagak cool, aku angkat call Sakinah lepas kiraan 5.

“Dah sampai Nottingham ke? Have your brother picked you up?” Aku jawab belum lagi. Ia hanyalah perbualan biasa, bukan macam yang aku harapkan. Kecewa jugaklah aku. Terlalu biasa seolah macam dia tak baca pun nota curahan hati yang aku dah bagi, atau Sakinah memang tak ambil pusing langsung.

Apa yang aku harapkan, Sakinah terus balik rumah lepas hantar aku di lapangan terbang. Kemudian lari masuk bilik dan kunci pintu, baca nota-nota aku dan terus jatuh cinta kat aku, kemudian call aku dan cakap I love you too. Tapi tak ada pun. Ini yang buat aku lagi berdebar ni.

Beberapa minit kemudian sementara masih tunggu abang datang ambil aku kat airport, ada mesej masuk ke inbox. Mesej dari Sakinah. Aku tahu inilah saatnya. Yes or no. Aku siap baca bismillah sebelum buka inbox tu. Dan ini yang aku dapat:

“Syafiq, kalau ada jodoh tak ke mana.” Ringkas saja tapi aku tahu ia bermaksud ye.

Honeymoon kami lepas kahwin, kami kembali ke Glasgow dan Isle of Kyle. Tempat di mana kami mula bertemu.
I extremely truly in loved with her. As if I had known her for long time. I was so young and in love with a 19 years old teenage girl.

Kisah dari sudut Sakinah pula

Setelah habis membaca perkongsian Syafiq, saya tertanya-tanya apakah perasaan Sakinah selepas menerima nota-nota kecil luahan hati Syafiq. Dan ini pengakuan Sakinah:

“Saya dah lama fikirkan apakah perasaan saya waktu baca nota-nota tu, tapi saya tak tau nak ungkapkan dalam bentuk penulisan. Mesej dalam nota-nota tu pendek-pendek saja tapi sangat mendalam, sangat jujur, dan sangat manis, cuma ianya terlalu private untuk saya kongsikan.

Saya cuma boleh katakan waktu baca nota-nota tu perasaan saya bercampur aduk. Ada perasaan berbunga-bunga bahagia dan ada juga rasa sedih, macam ada satu perasaan yang sangat susah saya nak gambarkan. Mungkin itulah perasaan jatuh cinta?”

Bercinta jarak jauh selama 5 tahun

Apa yang lebih menarik adalah bagaimana pasangan ini dapat mengekalkan hubungan cinta jarak jauh mereka. Menurut Sakinah, “Sepanjang 7-8 tahun perkenalan kami sebelum berkahwin, kami memang banyak berjauhan. Sewaktu saya tinggal di UK, Syafiq di Malaysia. Bila saya balik Malaysia, Syafiq pula ke UK selama 3 bulan. Dan tidak lama selepas Syafiq tamatkan pengajiannya, dia bekerja di New Zealand selama 7 bulan.

Pulang saja dari New Zealand, Syafiq bekerja offshore di Malaysia selama 2 tahun. Dalam masa 2 tahun ni Syafiq kerap bekerja di kapal minyak selama berbulan-bulan. Kemudian selepas saya tamatkan pengajian di UiTM, Syafiq berpindah offshore di Qatar. Saya pula menyambung pengajian Masters di Jeju Island selama 3 tahun.

Pada saya, when you truly love someone, distance is not an issue. Saya tidak menganggap jarak itu sebagai penghalang untuk saya sayangkan seseorang. Orang itu memang sedia ada dalam hati saya, saya tak memerlukan dia sentiasa berada dekat dengan saya untuk saya menyayangi dia.

Setiap kali akan berjauhan, saya akan tanam fikiran yang positif saja, contohnya “bila dah jauh ni, mesti rindu. Bila kita makin rindu kan hati makin sayang”, ataupun “bila makin jauh ni mesti kita akan lebih hargai dia.”

Dan setiap kali Syafiqmenyatakan hasrat untuk pergi mengembara jauh contohnya bekerja di New Zealand, atau ingin bekerja di Qatar, saya sangat memberi galakan sebab bagi saya kejarlah semua peluang itu. Sekurang-kurangnya dia boleh cari pengalaman baru sementara umur masih muda, dan sementara masih bujang.

Nanti dah kahwin mungkin susah nak cari peluang-peluang ni. Tapi walaupun kami berjauhan, kami sentiasa berhubung melalui whatsapp. Walaupun berada di zon masa yang berbeza atau masing-masing sibuk dengan kerja, setiap hari kami akan message, kalau tak dapat message banyak pun sekurang-kurangnya satu message pun jadi la. Jadi bila hari-hari message ni tak ada lah rasa jauh sangat.”

Bagi Syafiq pula, kunci utama yang dipegang adalah ‘kepercayaan’. “Kalau dah jodoh tak ke mana, itulah ayat yang keluar dari mulut bakal isteri saya setiap kali kami dipisahkan dengan jarak yang jauh.”

Kami travel kembali ke Isle of Kyle, kali ini sebagai suami isteri.

Bagaikan kisah novel kan? Siapa sangka pertemuan di Friendster 9 tahun lalu akhirnya membawa pasangan sama cantik sama padan ini ke jinjang pelamin pada bulan Julai 2016.

“Saya lihat Sakinah membesar. Daripada ketika dia berusia 19 tahun dan kami berkenalan di Friendster, kemudian Sakinah masuk kolej di Glasgow, kemudian di UiTM, dan kini telah menjadi isteri saya dan bakal menamatkan Master Degree di Pulau Jeju, Korea” – Syafiq

Siapa Sakinah di mata Syafiq

Personalitinya dan pemikirannya sangat berbeza dari kebanyakan orang. Sakinah adalah orang yang bila dimarah dia akan diam, bila dikritik diam, bila ditimpa masalah diam, bila tiada duit diam.

Dia bukanlah orang yang merungut dengan yang sedikit atau berbangga dengan yang banyak. Dia tak perlukan pakaian yang mahal, tas tangan yang mahal atau kasut yang mahal.

Dia cukup gembira untuk membeli pakaiannya hanya di kedai charity. Dia adalah wanita yang jika terjumpa pakaian yang masih elok di tong sampah dia akan kutip, basuh dan dipakai semula.

Percayalah, saya tak pernah jumpa manusia yang sangat positif fikirannya dan sangat berserah kepada Allah dalam apa jua tindakannya. Sangat yakin bahawa Allah sentiasa bersamanya dalam setiap keputusan. Kalau tidak pastinya dia tak akan ke Jeju berseorangan untuk belajar dengan duit yang sikit.

Sakinah datang ke Jeju tanpa tahu sepatah perkataan Korea. Dia datang ke Jeju seorang diri, mencari wang sendiri semata-mata untuk menanggung kos pengajiannya di sini, membina perniagaannya sendiri sehingga hari ini, saya juga bekerja di bawahnya.

When you truly love someone, distance is not an issue – Sakinah

Bina perniagaan bersama

Menurut Syafiq, sebelum Sakinah berangkat ke Jeju mereka pernah bergaduh besar kerana Syafiq tidak bersetuju dengan keputusan Sakinah untuk sambung belajar di negara Kimchi tersebut.

“Saya berkeras menentang atas alasan di Jeju-do tiada orang Malaysia langsung, tiada komuniti Malaysia dan dia menyambung pengajian tanpa biasiswa. Bila saya tanya siapa yang akan menanggung segala kos pengajiannya, dia jawab dia akan mencari kerja sebaik saja tiba di sana.”

Bagi Syafiq apa yang Sakinah ingin lakukan adalah sesuatu yang mustahil kerana Sakinah langsung tidak tahu berbahasa Korea. “Tapi akhirnya saya akur dengan takdir Allah dan relakan dia ke sana. Siapa sangka, beliau buktikan yang saya salah.”

Selepas 6 bulan di Pulau Jeju, Sakinah mula mengajar Bahasa Inggeris secara sambilan, menjual barangan Kosmetik Korea secara online dan di pos ke Malaysia, sehinggalah akhirnya Sakinah menubuhkan Jeju Muslim Travel.

Kesemua usaha yang dilakukan Sakinah ini pada awalnya adalah untuk menampung belanja makan, membayar penginapan dan membeli peralatan untuk belajar kerana Sakinah  hanya menerima biasiswa pengajian sahaja daripada pihak universiti di Jeju.

Oleh kerana tidak menang tangan, akhirnya Sakinah meminta bantuan Syafiq untuk menguruskan bahagian admin perniagaan beliau. “Saya terlalu sibuk dengan menjadi tour guide, cikgu Bahasa Inggeris, penjual kosmetik, dan belajar, semuanya dalam satu masa.

Setelah beberapa bulan, Syafiq nyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan. Saya bersetuju dan mengajaknya berniaga bersama saya secara full time. Dan sekarang sudah setahun kami berniaga bersama. Insya Allah kami akan teruskan perniagaan ini walaupun saya dah tamatkan pengajian.”

Bagi Syafiq pula, setelah dibuli sehingga melibatkan kecederaan fizikal sewaktu bekerja di offshore di Timur Tengah, beliau memilih untuk meletak jawatan dan bekerja sepenuh masa bersama Sakinah dan membangunkan perniagaan mereka.

“Sakinah sangat menggalakkan saya untuk berhenti kerja dan membantunya dalam perniagaan. Pada dia, biarlah saya tidak berpendapatan besar, bergaji besar asalkan selepas kahwin, kami dapat bersama. Tidak dipisahkan dengan laut dan jarak lagi. Oleh itu, pada penghujung 2015, saya memutuskan untuk berhijrah ke Jeju-do dan membantu perniagaannya”.

Dan yang lebih menarik, pada tahun ini Sakinah telah dilantik sebagai duta pelancongan oleh Jeju Tourism di atas usaha yang telah dilakukan oleh pasangan ini bagi mempromosikan Pulau Jeju kepada para pelancong dari Malaysia.

“Saya takkan pernah lupa momen pada tahun 2009 sewaktu pertama kali melihat seorang gadis comel melompat-lompat sambil melambai dan memanggil nama saya di  Glasgow International Airport. Di saat itulah saya tersedar, inilah gadis yang ingin saya nikahi. Sepertimana Sakinah pernah katakan kepada saya 9 tahun lepas, “kalau ada jodoh tak ke mana”. Begitulah bagaimana saya jatuh cinta kepada Sakinah” – Syafiq.

Buat Syafiq dan Sakinah, kami di Vocket mendoakan kalian berdua kekal bahagia selamanya. Juga, selamat maju jaya untuk pameran solo pertama Sakinah pada 18 Februari nanti yang akan menampilkan lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh beliau.

Baca lagi: Realiti Sebenar Di Sebalik Kisah ‘Viral’ Perkahwinan Pemuda Malaysia Dan Gadis Turki