Sudah lama saya memerhati Facebook pemuda ini dalam diam. Dari hari ke hari beliau rajin berkongsi info, tips dan tentang budaya masyarakat Jepun. Malahan ada di antara tips beliau telah saya kumpulkan dan jadikan satu artikel sebagai rujukan pembaca Vocket.

Baca 21 Tips Ke Jepun Daripada Kamal. Mungkin Berguna Jika Anda Mahu Travel Ke Jepun

Kini sudah tiba masanya saya perkenalkan anak muda ini. Meskipun kelihatan simple, tapi setelah diselidik rupanya beliau kini sedang gigih mengembangkan perniagaan di negara matahari terbit ini.

kamal-zharif-2
Pakaian formal sebegini adalah pemandangan biasa walaupun pada musim panas.

Mari saya kenalkan anda dengan Kamal Zharif bin Kamaludin. Graduan lulusan Ijazah sarjana muda Kejuruteraan Komputer (Fakulti Elektrik) di UTM Skudai pada tahun 2009 ini merupakan anak sulung daripada 2 adik-beradik, dilahirkan di Perlis tetapi membesar di Johor Bahru.

Bagaimana boleh ke Jepun dan sudah berapa lama menetap di sana?

Pada tahun 2004, saya diberikan peluang bagi menyertai program homestay di Nagoya, Jepun. Dari situ, sejarah bermula. Saya kembali semula ke Jepun pada tahun 2011 sebagai pelancong.

Ketika itu tujuan ke Jepun bagi bertemu dengan keluarga angkat di Nagoya. Di situ terdetik bahawa suatu hari nanti saya akan ada kerja, rumah dan juga keluarga sendiri di Jepun.

Dalam sela waktu tersebut, hampir tiap-tiap hari saya berusaha untuk membayangkan bahawa nanti saya mempunyai kerja, dan mempunyai rumah sendiri yang mempunyai taman serta dapat lihat isteri dan anak yang duduk bersama.

Dan sekarang saya sudahpun menetap di Jepun sejak tahun 2014. Kiranya sudah hampir 2 tahun saya menetap di sini.

kamal-zharif-3

Pintu gerbang ini dinamakan Torii. Apa fungsi dia? Ia melambangkan tempat kawasan suci bagi penganut agama Shinto di Jepun.

Faktor ingin menetap di Jepun

Berada di Jepun memberikan satu peluang bagi saya meneroka dan mengembangkan kerjaya yang ada. Lagi-lagi industri pelancongan semakin meningkat di Jepun serta galakan kerajaan Jepun bagi sektor ini bersempena kedatangan sukan Olimpik 2020.

Sebelum ini pernah juga saya cuba dapatkan kerja di Malaysia, tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Oleh itu, kenapa tida saya cuba sahaja nasib ke Jepun. Alhamdulillah dengan bantuan beberapa orang, saya berjaya dapatkan platform yang baik untuk membesarkan kerjaya yang ada.

Dengan adanya platform yang telah dibina, kami dapat memberikan peluang kepada orang lain bagi mendapatkan rezeki. Rezeki yang dimaksudkan juga adalah rezeki rangkaian kenalan, rezeki belajar bahasa Jepun dan pelbagai lagi yang boleh dicari.

Pada masa akan datang nanti, akan wujudnya komuniti bisnes-bisnes yang saling melengkapi antara satu sama lain di Jepun. Ia dijalankan secara bersama antara orang Jepun dan juga orang Malaysia. Banyak peluang kerja dapat dicipta.

Kami juga sangat berterima kasih kepada kenalan di Jepun dan juga di Malaysia. Kedua-dua pihak ini sangat membantu dalam membolehkan platform di Jepun dapat dimulakan. Seandainya ada peluang, saya ingin membalas jasa mereka dengan cara yang lebih baik.

kamal-zharif-5

Restoran mee Jepun yang ada cop halal dari pihak Malaysia. Ini di lapangan terbang Kansai, Osaka.

Penerimaan keluarga dengan penghijrahan ke Jepun

Alhamdulillah, ibu bapa saya memberikan lampu hijau dan sentiasa memberikan dorongan dengan kata-kata “berusaha bersungguh-sungguh ya.”

Jenis perniagaan yang dijalankan di Jepun

Terima kasih bertanya cikpuan editor yang baik hati. Tim-tim kami dalam syarikat sekarang menjalankan perkara ini:

1. Servis pelancongan ke Jepun (pengurusan tertinggi memberikan tanggungjawab kepada saya untuk menguruskannya). Ia mempunyai lesen pelancongan di Jepun. Kami juga mempunyai staf yang pakar dalam selok belok di Hokkaido (utara Jepun) dan turut menawarkan pakej Jalan-jalan Hokkaido.

2. Eksport barangan terpakai Jepun (bundle/ 2nd hand). Setakat ini kami mempunyai premis utama di Pulau Pinang dan Rawang.

3. Jual barangan online. Sehingga kini dalam 300,000 barang telah dijual. Antara laman web yang menjadi tempat saya berjualan adalah Rakuten, Yahoo Japan, Dena-En, dan AuMall Japan.

4. Menguruskan restoran masakan India. Paling mengembirakan restoran ini pernah memenangi anugerah restoran tersedap 2015 di daerah Minato-ku, (salah satu dari daerah utama Tokyo). Anda boleh lihat selanjutnya di laman web chandrama.jp

5. Projek akan datang – akan melaksanakan projek penangkapan ikan tuna secara berlesen. Laman web kami eagleeye.co.jp.

kamal-zharif-1

Melihat produk bundle untuk dihantar ke Malaysia. Game yang dibuat di sini adalah cara bidaan.

Bagaimana tercetusnya idea untuk menjalankan beberapa perniagaan

Pada tahun 2014, dengan berbekalkan sedikit pengalaman kerana pernah ke Jepun serta juga atas keinginan yang tinggi untuk menetap dan mencari peluang di Jepun, saya ke sana dan berjaya menemui beberapa orang penting yang dapat membantu saya.

Mereka membantu saya bagi mencari platform yang sesuai. Saya bermula dengan platform tour dan pelancongan memandangkan pernah beberapa kali menziarahi Jepun bagi tujuan pelancongan.

Dari situ, saya kembangkan ke beberapa projek iaitu projek eksport barangan terpakai dan juga projek penangkapan ikan tuna. Tim baru juga turut ditubuhkan bagi menguruskan hal ehwal 2 platform tersebut.

Dengan adanya aktiviti servis pelancongan yang dibuat, ia menjadi lebih senang bagi perunding kami meyakinkan para pelabur. Hasil daripada ini juga, beberapa cabang bisnes lain turut dalam usaha untuk ditubuhkan di Malaysia. Sebagai contoh, bisnes kantin baru saja dimulakan di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya.

Mengenai bisnes restoran dan jual barangan dalam talian, ia telah pun dibuat sejak sebelum platform servis pelancongan ditubuhkan. Dengan adanya tim perkhidmatan pelancongan, kedua-dua aktiviti tersebut berpotensi untuk saling melengkapkan antara satu sama lain. Ia juga diuruskan oleh tim khas yang pakar dalam bidang tersebut.

Mentor kami memberitahu bahawa aktiviti tour ini sebagai pembuka pintu bagi melahirkan bisnes-bisnes yang lain. Bisnes-bisnes yang lain juga silap-silap memberikan keuntungan yang lagi besar dari bisnes perkhidmatan pelancongan.

kamal-zharif-7

Bila naik tren di Jepun, biasanya akan banyak naik turun tangga. Lif ada disediakan cuma ada masanya penggunaan tangga lebih praktikal dari lif.

Cabaran awal sewaktu menjalankan bisnes

Banyak perkara perlu dipelajari bagi membolehkan platform menjadi lebih matang. Cabaran yang utama adalah bagaimana untuk memperbaiki kelemahan diri. Ia adalah kelemahan yang selalunya menghambat perjalanan bisnes sekarang.

Cabaran kedua adalah untuk memantapkan bisnes gaya korporat. Seperti yang diberitahu oleh Penasihat ABS (Ainon Business School), Puan Ainon Mohd, cara bisnes korporat memudahkan ia berkembang lebih maju.

Bisnes gaya korporat pada awalnya tidak menghasilkan keuntungan segera yang banyak, tetapi ia membuahkan hasil dalam masa beberapa tahun akan datang.

Seandainya dibuat dengan gaya tauke, hasil yang banyak akan diperolehi dalam masa yang singkat, tetapi bisnesnya kekal mengecil walaupun sudah bertahun-tahun menjalankannya.

Perbezaan ini yang perlu diketahui oleh para staf yang ada. Ia supaya keuntungan jangka masa panjang dapat dikecapi.

Cabaran yang ke-3: perlu dahulukan staf walaupun ada masanya diri ini tidak mempunyai duit langsung. Walau bagaimanapun, ia salah satu cara untuk mengembangkan perniagaan yang ada.

Cabaran ke-4: bagaimana untuk bersedia bagi menghadapi keadaan ekonomi yang suram. Ini memberikan tamparan hebat kepada tim yang ada. Satu persatu sumber pendapatan berkurangan secara mendadak. Oleh itu, sekali lagi perkara sebegitu perlu dipelajari dengan sangat cepat.

Cabaran ke-5: memungut hutang. Betullah apa yang diperkatakan oleh Puan Ainon Mohd. Memungut hutang lebih sukar dari membuat jualan.

Pengalaman lucu yang pernah dilalui sepanjang menjalankan bisnes

Kami terlupa untuk memberikan servis kepada klien yang sudah bersetuju 100%. Sebab yang lain berpunca daripada terlambat bangun tidur.

Termakan bekal makanan klien. Sebabnya berpunca dari perut yang terlalu lapar.

kamal-zharif-12

Pengalaman pahit

Sejak pertengahan tahun 2010, saya bekerja di Shanghai dalam bidang call center. Ia berterusan sehingga akhir tahun 2012 (2 tahun sebelum bertemu platform yang sesuai di Jepun). Dalam tempoh waktu bekerja, saya hampir lupa akan cita-cita asal iaitu mahu mencari kerjaya dan tinggal di Jepun.

Pada akhir tahun 2012, satu perubahan yang drastik berlaku. Ia kurang menyenangkan walaupun telah mempunyai visa kerja di China sehingga tahun 2013. Majikan meminta saya berhenti kerja. Saya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa meletak jawatan.

Ia satu tamparan yang membuatkan diri ini ingat sampai bila-bila. Ketika itu juga duit simpanan sudah tidak banyak. Walaupun gaji yang ditawarkan boleh dikatakan lebih tinggi dari gaji lepasan universiti, akibat pengurusan kewangan yang tidak baik, duit kecemasan tidak dapat dikumpulkan.

Selepas balik ke Malaysia saya menganggur selama lebih setahun tanpa ada sumber pendapatan yang tetap. Hendak dapatkan RM800 sebulan juga sangat payah. Sepanjang tempoh tersebut, saya masih tidak mampu mencapai tahap di mana orang lain telah capai.

Sebagai contoh, kawan-kawan lain telah mendirikan rumah tangga, mempunyai anak, memiliki sumber pendapatan yang tetap, juga terlibat dalam kerjaya yang ada. Tambahan lagi mereka juga sudah duduk di rumah yang ditanggung sendiri dan ada yang mempunyai kereta sendiri.

Ok, jadi itu pengalaman sebelum bertapak di Jepun.

Selepas menjejakkan kaki di Jepun, ada kes di mana staf menipu syarikat dengan mengambil sebahagian besar duit yang telah dibayar client. Ia jumlah yang terpaksa kami tanggung supaya trip client tersebut berjalan lancar.

Daripada kes ini, kami belajar untuk sentiasa berhati-hati ketika hendak mengambil staf yang baru. Begitu juga dengan SOP (Standard of Procedure) pengurusan duit juga akan diteliti lagi dari masa ke semasa.

kamal-zharif-11

Membantu tim bundle bagi memilih baju yang mempunyai potensi pasaran.

Pernah berhenti daripada teruskan perniagaan

Ya saya pernah berhenti daripada meneruskan beberapa perniagan.

1. Direct selling ketika zaman universiti. Ia diberhentikan atas faktor etika, dan juga jualan yang rendah.

2. Servis fotografi. Ia diberhentikan atas faktor yang kurang dipersetujui oleh orang tua. Juga jualan yang sangat rendah berbanding pembelian peralatan yang sangat mahal.

3. Di Shanghai, saya pernah menjalankan bisnes makanan Melayu di sebuah café. Ia terpaksa dihentikan atas faktor:

  • Pengurusan bisnes yang kurang baik.
  • Gaya bisnes yang dijalankan secara tauke.
  • Tidak tahu tendang-terajang dalam dunia bisnes makanan.

kamal-zharif-10

Perbezaan ketara bisnes di Jepun berbanding di Malaysia

Bagi kes saya sendiri, perkara ini diberitahu oleh seorang penulis skrip Shah Rizal Mashur. Menurut beliau inilah keadaan diri saya:

Apabila berada di Malaysia, sukar untuk saya sentiasa kelihatan gembira walaupun ketika itu bukannya masalah besar. Tetapi bila di Jepun, walaupun situasi boleh dikatakan sukar, muka dan hati masih mampu mencoret kegembiraan.

Selain itu, dengan mengembangkan platform di Jepun, kami merasakan ia lebih mudah dan mempunyai peluang yang lebih besar untuk berjumpa dengan beberapa orang utama di Malaysia, iaitu orang yang mempunyai pengaruh tinggi. Secara tidak langsung, rangkaian kenalan menjadi lebih besar.

Baca: 7 Perbezaan Gaya Orang Jepun Urus Syarikat Berbanding Orang Barat

Perancangan bagi mengembangkan perniagaan

  • Kami akan meningkatkan jualan pada tahun depan. Ia supaya lebih ramai staf yang memperolehi gaji yang lebih besar.
  • Merancang untuk melatih staf supaya mahir berkomunikasi dengan bakal klien.
  • Merancang untuk mewujudkan satu pasukan bagi melayan bakal pelanggan.
  • Berjumpa dan mengopi dengan lebih ramai orang. Ia supaya membantu mengembangkan bisnes yang ada. Aktiviti sebegini juga memberikan sudut pandang yang baru dalam bisnes. Pada masa sama mempengaruhi keputusan kritikal platform yang sedia ada.
  • Saya juga ingin mewujudkan bisnes yang tidak perlukan kebergantungan pada tubuh badan saya, tetapi dengan kehadiran saya ia memberikan bantuan pada bisnes. Oleh itu, SOP pengurusan akan diperkemas supaya mudah diturunkan pada staf.
  • Membawa masuk staf. Ia dapat mewujudkan kerja baru dalam platform yang ada. Sekaligus membesarkan bisnes yang ada.

Dan ya, saya juga merancang menulis buku. Insya allah buku berjudul I’m A Backpacker: Japan akan diterbikan tidak lama lagi.

Mengenai buku yang akan diterbitkan, saya bercadang untuk meletakkan nama TheVocket di dalam buku tersebut. Saya lihat TheVocket banyak memberikan info yang sangat baik mengenai Jepun. Ia juga membantu saya bagi mendapatkan idea-idea yang bagus ketika menulis.

Seandainya ok, ada satu lagi projek menulis buku dibawah syarikat penerbitan Karangkraf akan turut dijalankan nanti.

kamal-zharif-4

Bila orang Jepun mahu betul-betul minta maaf, posisi seperti sebegini adakalanya dibuat. Nama posisi minta maaf: dogeza. Ini lakonan sahaja.

Pesanan kepada mereka yang mungkin berminat nak cuba nasib berniaga di Jepun

Cuba untuk ‘berkuli’ terlebih dahulu sebelum diterima bekerja. Ini akan meningkatkan keyakinan majikan.  Berkuli membawa maksud seperti ‘internship’ ataupun ‘training’. Apabila syarikat melihat calon pekerjanya mampu memberikan pulangan baik, silap haribulan akan diangkat menjadi rakan kongsi bisnes.

Mungkin pada permulaan berkuli ataupun perniagaan, upah atau komisen yang diterima tidaklah banyak. Walau bagaimanapun, modal yang penting adalah meningkatkan jaringan kenalan bisnes.

Seterusnya, dengan adanya kekuatan rangkaian tersebut, seseorang mempunyai capaian bagaimana untuk mendapatkan sumber modal kewangan.

Catatan lain

Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang merestui kerjaya saya di Jepun. Selain itu, rakan-rakan seperjuangan yang terlibat secara langsung dalam platform-platform perniagaan yang dibina (anda tahu siapa anda), kakitangan dan warga kerja beberapa syarikat serta ajensi travel yang terlibat, ibubapa angkat saya di Jepun, serta mereka yang banyak membantu saya mendapatkan platform di Jepun. Jasa dan bantuan anda akan saya ingat sampai bila-bila.

Baca lagi: Bagaimana Mengembara Selama 2 Tahun Mengubah Pandangan Gadis Ini Tentang Hidup