Nota Editor: Kisah beliau berjaya mendaki Gunung Rinjani mungkin hanyalah kisah biasa-biasa bagi mereka yang sudah biasa sertai aktiviti hiking. Tapi bagi mereka yang tidak pernah, kisah ini mungkin boleh dijadikan inspirasi.

Iann Rachman bukanlah seorang pendaki gunung. Kerjaya beliau lebih dekat kepada industri fesyen selain hobinya mencuba berbagai makanan.  Namun ada sesuatu yang menarik telah berjaya beliau lakukan – mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia tanpa sebarang latihan dan persediaan fizikal.

Ikuti perkongsian menarik jejaka bertubuh kurus kerempeng ini di bawah.

daki-gunung-rinjani-5

Tidak pernah terlintas selama ini, bakal mengharungi pengalaman sehebat ini.

Selama ini, hamba hanya bekerja di butik-butik berjenama di ibu kota. Kemahiran hamba lebih kepada fesyen-fesyen semasa. Chiffon, silk, crepe dan kain cotton ibarat permainan harian.

Sut dan dresses selalu dijadikan percaturan untuk pelanggan yang bercitarasa mewah dalam penampilan. Pendek kata, sebutlah jenama apa, hamba bisa menyebutnya dengan perasaan bangga.

Perancangan kembara ke Gunung Rinjani bermula selepas plan asalnya untuk ke Eropah, bersama teman rapat terpaksa ditangguhkan atas faktor kewangan. Plan asal kami berdua adalah, inilah “Bestfriend Travelogue” selepas mengenali masing-masing selama 16 tahun.

daki-gunung-rinjani-11

Untuk itu, kami berdua memutuskan untuk pergi ke Lombok, Indonesia. Selepas selesai urusan tempat tinggal, transport dan perbincangan kami dengan ejen untuk trip ke Gunung Rinjani maka pengembaraan pun diteruskan.

Sebenarnya, hamba langsung tidak menyedari apakah sebenarnya yang bakal dilalui untuk naik ke puncak Rinjani itu nanti.

Yang hamba sempat lakukan, check internet, tengok gambar, check kasut hiking, check baju yang sesuai untuk dipakai bila diatas gunung, check tiket flight, check duit dan wala- dah sampai pun kat Lombok, Indonesia.

Paling banyak pun hamba ada bertanya dengan beberapa teman didalam Facebook Messenger bertanyakan tentang pengalaman di atas sana. Rata-rata mengakui pengalaman sedikit sukar, tetapi pemahaman itu tidak sampai kepada hamba yang tidak pernah mengenal apa maksud pendakian itu sebenarnya.

daki-gunung-rinjani-6

Bak kata malim gunung Rinjani, Lombok takkan sempurna kalau Gunung Rinjani tak bisa kamu jejaki.

Permulaan nya, hamba bersama teman ditempatkan di Trisno Homestay yang berada di lingkungan 5km dari tempat perjumpaan untuk pendakian. Pada malam itu, sempat lah berbual dengan satu rombongan dari Jakarta yang rata-rata berusia muda seawal 19 tahun ke 21 tahun.

Dari seramai 16 orang, hanya 8 orang yang berjaya menaiki puncak. Dengan deraian tawa dan airmata mereka bercerita, hati hamba sudah merasa akan debarannya.

Apakah hamba betul-betul bersedia atau sebaliknya? Tanpa melengah masa, hamba minta untuk mengundurkan diri untuk pulang ke bilik dan bersedia untuk merehatkan minda.

Keesokan paginya, seawal 7.30 pagi, hamba telah dijemput oleh ejen utk memulakan pengembaraan ke Gunung Rinjani. Ketika itu, cuaca memang agak sejuk maklumlah berada di kawasan pergunungan.

daki-gunung-rinjani-8

Gambar pertama hamba dengan teman bersama guide kami- Pak Ropi dan porter- Johnie.

daki-gunung-rinjani-26

Pos permulaan tempat pertemuan dengan porter dan guide.

Perjalanan menuju ke tempat permulaan pendakian menemukan hamba dengan porter yang bernama Johnie dan guide- Pak Ropi. Diringi mereka dan kumpulan lain yang juga berkumpul ditempat yang sama, maka bermulalah pengembaraan hamba.

Perjalanan kami pada 3 jam yang pertama agak mudah kerana hanya melewati tanah rata dan sedikit berbukit. Walaupun agak panas, tetapi cabarannya tidaklah seteruk mana. Kami berehat seketika di Pos Pelawangan 2 untuk jamuan tengah hari.

daki-gunung-rinjani-13

Makanan tengahari kami yang pertama- nasi dengan Maggi telur

daki-gunung-rinjani-12

Contoh makanan dan barang keperluan yang perlu dibawa oleh porter. Berat dalam linkungan 20-30kg. Bayangkan!!

daki-gunung-rinjani-27

Makanan yang disediakan hanyalah lauk maggi sayur beserta dengan nasi putih. Cuaca agak baik ketika itu bila panas diselelubungi mendung seketika. Sempatlah hamba melelapkan mata walaupun untuk beberapa minit saja.

Cabaran bermula sebaik saja kami meneruskan perjalanan untuk menuju ke Pos 5. Disinilah para pendaki akan mula berlawan dengan kekuatan emosi, mental dan kekuatan diri.

Disinilah bermulanya pengembaraan melewati Bukit Penyesalan. Kononnya dulu, salah satu mitos bagi masyarakat di Lombok, kalau betul mahu memperisterikan seorang wanita, panjatlah Gunung Rinjani di mana kamu akan dapat memetik bunga Edelweis.

Di mana kalau kamu mampu membawa bunga itu pulang dalam genggaman, itu membuktikan cinta kamu yang sangat utuh.

Salah satu mitos lain, dinamakan Bukit Penyesalan selepas seorang pendaki tidak mampu untuk mendaki bukit itu, dan menangis sambil menuruni bukit itu sambil diselubungi perasaan sesal yang amat sangat.

Lantas dikhabarkan kepada seluruh kampung bagaimana siksanya perjalanan untuk mendaki ke Gunung Rinjani.

daki-gunung-rinjani-15

Senja di Rinjani. Salah satu gambar yang paling hamba gemari.

daki-gunung-rinjani-14

Pemandangan pada kaki Bukit Pos 5. Tempat bermalam hamba sebelum bertolak esok pagi.

Mendengar 7 anak bukit itu seakan terbayang kesengsaraan. Masya Allah, seawal bukit yang pertama sudah terasa kepenatan. Matahari seakan terpacak diatas kepala walaupun pada masa itu melepasi jam 12 tengah hari. Perut yang telah diisi seakan meminta untuk diisi semula.

Di sini, hamba di satukan bersama 8 orang dari Malaysia untuk meneruskan hajat yang sama. Bersama mereka, hamba meneruskan perjuangan sambil mengalas perut dengan kepingan energy bar yang sememangnya menjadi santapan sepanjang pendakian.

Akhirnya selepas 4 jam setengah, kami semua berjaya menjejaki Pos 5 dengan selamatnya. Tanpa membuang masa, porter dan juga guide-guide yang lain bekerjasama mendirikan khemah untuk para pendaki bermalam sebelum meneruskan perjalanan awal pagi esoknya.

Sempatlah juga hamba mengambil gambar bersama pendaki-pendaki dari Malaysia, sambil melayani perasaan melihat keagungan Esa diatas pada senja pertama di Rinjani. Masya Allah.. cantiknya tak mampu dibayangi dengan kata-kata.

daki-gunung-rinjani-16

Dibelakang adalah Danau Segara Anak yang boleh dilihat setelah menjejaki kaki gunung Rinjani.

Seawal 2 pagi, hamba dikejutkan oleh Pak Ropi- guide kami. Permulaannya kami akan dihidangkan dengan sedikit juadah makanan untuk dijadikan alas perut kerana plan awal adalah bertolak pada pukul 3 pagi.

Tetapi terpaksa bergerak awal kerana cuaca pada awal pagi itu adalah masa terbaik katanya. Pada saat itulah, teman baik hamba terpaksa menarik diri kerana mengalami sakit perut tanpa henti.

Saat itu, hamba terpaksa meneruskan semangat kerana perjuangan ini ibarat perjuangan persahabatan kami berdua. Dengan lafaz Bismillah, pukul 2.30 pagi hamba meneruskan perjuangan dimulakan dengan langkah kanan.

Seawal perjalanan, hamba bersama grup dari Malaysia di uji beberapa kali. Dari 10 orang, tinggal 9. Selepas sejam yang pertama, 4 orang menarik diri kerana kekejangan otot.

Cuaca memang sangat sejuk jadi masalah kekejangan otot adalah masalah biasa bagi pendaki-pendaki gunung. Hamba meneruskan pendakian di depan sambil di iringi Pak Ropi.

Bersama energy bar yang tinggal beberapa keping, diteruskan perjalanan meredah kegelapan bersandarkan lampu di atas kepala. Untuk menuju ke gunung, kami semua terpaksa meredah 3 lagi anak bukit yang berbukit-bukau.

Pada masa ini, sudah terbayang bagaimanakah kesengsaraan yang bakal dihadapi di depan nanti. Pendakian ke 3 anak bukit ini sememangnya sangat memenatkan dari Bukit Penyesalan.

Bukan saja terpaksa meredah kegelapan, tetapi sepanjang perjalanan, bertembung dengan pendaki-pendaki yang seakan hilang punca dan menangis untuk pulang.

Bayangkan perasaan hamba ketika itu? Semangat memang sudah goyah tetapi tetap hamba kuatkan untuk merealisasikan impian.

Dalam pukul 8 lebih, kami bersama dengan Pak Ropi berjaya menjejaki kaki gunung. Disitu, sudah nampak puncak Gunung Rinjani yang hampir dijejaki.

Bayangkan grup dari Malaysia ini, sanggup training beberapa bulan sebelum datang ke sini. Untuk pendaki pertama seperti hamba, langsung tidak pernah mencuba apa-apa.

Hamba cuma bersandarkan impian, semangat dan doa. Pak Ropi sempat memberi semangat, jangan fikirkan sangat BILA nak sampai puncak. Hamba pun terpikir nasihat teman baik hamba dan juga rakan-rakan dalam Facebook yang memberi nasihat yang sama.

Takkan lari gunung dikejar. Ye, itulah yang benar bila kamu sudah berada di kaki gunung. Hamba cekalkan hati sambil beristigfar banyak-banyak dan just think to enjoy the moments.

Pendakian di atas gunung ini lagi mencabar mental khususnya. Dengan cuaca yang sangat dingin, tapi bahang matahari betul-betul di atas kepala, sambil ruang udara dipenuhi dengan pasir batu kerikil.

Betul-betul mental kena kuat menghadapi situasi begini. Hamba mengambil kesempatan bernafas sedikit demi sedikit kerana pada paras ketinggian melebihi 3000 meter, oksigen sudah berkurangan di atas sana.

Pada masa inilah kami di uji sekali lagi kerana bekalan makanan dan minuman semakin berkurangan. Bayangkan pada 1km terakhir sebelum ke puncak, kami berlima bersama Pak Ropi berkongsi sebiji oren demi kelangsungan tenaga!!!

daki-gunung-rinjani-3

Salah satu makanan ekspress untuk dimakan tatkala di puncak gunung untuk mengelak dari dehidrasi.

daki-gunung-rinjani-17

Inilah 500 meter terakhir yang terpaksa ditempuh untuk meneruskan ke puncak Rinjani. Di sinilah ramai yang menyerah kalah untuk meneruskan the LAST HIKE!!!

daki-gunung-rinjani-30

Cabaran paling sukar sememangnya di kaki 500 meter yang terakhir. Di sinilah akan terbitnya persoalan sama ada mampu diteruskan atau sebaliknya. Di sinilah segalanya bermula, bukan di Bukit Penyesalan, bukan jua di Pos 5.

Satu kaki melangkah, saat itulah kaki akan diselimuti pasir-pasir kerikil yang jerlus hingga menutupi atas buku lali. Hamba mengumpul kudrat mengambil 4 langkah, satu nafas.

Berhenti seketika selepas beberapa hentian. Dengan ketinggian hampir 90% menegak, hamba tidak henti-henti beristigfar memohon diberikan kekuatan menghadapi segala rintangan didepan.

Langsung tidak mau menoleh ke kiri atau kanan. Dengan tebingan yang agak curam, memang agak risau sekiranya tersalah langkah yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Dengan cuaca yang terik, tekak yang seakan kering kontang, penat lelah yang amat sangat, perjalanan ini mesti diteruskan.

Alhamdulilah, puncak Gunung Rinjani berjaya di jejaki jua selepas hampir 8 jam bertarung cuaca dan nyawa. Tiada lafaz kata yang mampu menggambarkan perasaan bila kaki jejak di permukaan sana.

Sebagai orang pertama dari grup kami dari Malaysia, hamba sangat-sangat bersyukur walaupun ini pendakian hamba yang pertama. Lafaz syukur dengan linangan airmata seakan tidak percaya yang hamba berada di atas gunung ke 3 tertinggi di Indonesia.

Selepas 30 minit seterusnya, barulah 4 orang teman dari Malaysia, sampai ke puncak Rinjani dan menyertai hamba dan Pak Ropi. Kegembiraan terserlah di wajah masing-masing walaupun ada di antara mereka yang almost give up to finish the climbing.

daki-gunung-rinjani-19

Alhamdulilah selepas 4 jam, Rinjani ku jejaki jua. I manage to make my dream comes true. Nothing is impossible and I believe nothing can stop me now from achieving what I want.

daki-gunung-rinjani-18

Satu lagi makanan segera yang penting untuk dijadikan alas perut di atas sana. Ini merupakan the last snack yang porter berikan selepas hampir 4 jam di puncak.

daki-gunung-rinjani-20

Sempat bergambar dengan ahli Bretala dari Indonesia.

daki-gunung-rinjani-21

Contoh plat yang ada di atas puncak. Tanpa plat, mungkin menandakan seseorang itu bukan berada di puncak. Inilah lambang kejayaan anda telah mendaki puncak Rinjani.

daki-gunung-rinjani-22

Senja terakhir di Rinjani. Terbaik!!!

Selepas lebih 40 minit di puncak, tibalah masa untuk kembali ke Pos 5. Saat ini, roh seakan tiada dalam jasad hamba. Saat menuruni batu-batu kerikil yang besar ibarat sedang menuruni Banjaran Alps di Switzerland.

Dalam otak cuma tersemat satu- Hamba mahu pulang!!! Kepayahan berjuang selama sejam setengah untuk ke puncak rasanya hanya mengambil separuh masa daripada itu.

Tetapi saat itu, badan sudah terasa melayang kerana bekalan air dan makanan telah kehabisan. Kami sempat berehat di celah batu-batu besar sepanjang gunung, untuk berehat seketika mengumpul tenaga. Tiada keperitan yang mampu dibayangkan bila perut dan badan telah kosong sekosongnya.

Baca: Anda Pasti Tak Sabar Mahu Ke Indonesia Selepas Melihat Perkara Menarik Ini

daki-gunung-rinjani-23

Bersama group dari Malaysia dalam perjalanan pulang.

daki-gunung-rinjani-24

Lihatlah tapak tangan yang penuh dengan tompok hitam walaupun memakai sarung tangan. Sepanjang perjalanan pergi dan balik, glove digunakan untuk mengelakkan tangan tercedera.

Tetapi kerana cahaya matahari yang sangat terik, tangan yang memakai glove pun boleh terkena sunburn walaupun menggunakan sunblock lotion.

Hampir pukul 4.30 petang, akhirnya sampai jua hamba di Pos 5. Tiada kata yang mampu dizahirkan selain bersyukur selamat pergi dan selamat pulang bersama teman yang lainnya.

Bayangkan selama lebih 12 jam bertarung nasib dan nyawa. Kepulangan hamba disambut pelukan dan ucapan tahniah dari pendaki-pendaki yang ada. Sememangnya saat itu, hamba cuma mau menjamah apa jua makanan yang ada.

Nasiblah porter sempat menyediakan nasi, ayam goreng dan telur goreng untuk dimakan. Tanpa membuang masa, juadah dinikmati seakan bertahun tidak menjamah nasi layaknya. Haha!

Memang benar, pengalaman mendaki dan menuruni gunung berbeza sekali cabarannya. Apapun, perjalanan menuruni gunung adalah lebih singkat masanya.

Alhamdulilah, bersama kembali grup Malaysia yang sama-sama menaiki Rinjani, kami habiskan pengembaraan ini pada hari berikutnya. Saat tiba di tempat pengakhiran atau tempat permulaan perjumpaan adalah detik-detik yang tidak dapat dilupakan.

Penat lelah selama 3 hari 2 malam, segala suka duka, ketawa dan derai air mata, ibarat pelengkap cerita drama telenovela.

daki-gunung-rinjani-28

Akhirnya selepas bergelumang 26 jam, hamba berjaya tiba di tempat permulaan. Muka habis sunburn, tapi tak mengapa sebab pengalaman sekali semua hidup.

daki-gunung-rinjani-2

Selamat petang. Sebulan berlalu, tetapi pemergian ke Rinjani seakan memberi pengalaman yang berbeza. Tika dulu, jarang dilihat teman yang mau atau cuba untuk melakukan OUTDOOR activiti.

Malah, mana yang tidak pernah hiking atau mendaki pun, telah mula turun padang, hanya KERANA gambar hamba yang bukannya luar biasa. Alhamdulilah, terima kasih atas ucapan tahniah dari teman-teman semua.

Tidak pernah terlintas, hamba mampu menjadi inspirasi untuk kalian semua. Ini semua kehendak Allah s.w.t. Dialah yang memberi peluang dan Dialah mengizinkan segalanya.

daki-gunung-rinjani-29

Living my life with beautiful moments, to be cherish, to be remembered – Iann Rachman.

daki-gunung-rinjani-4

Andai dapat diputar masa, hamba rasa hamba tidak tau dimana kekuatan hamba sebenarnya. Yang hamba sedar, doa dan semangat tidak pernah putus asa itulah sangat penting untuk sesiapa saja tidak kira usia.

Kekuatan kita untuk menghadapi segala kepayahan bermula dari diri kita sendiri. Apapun kesimpulannya, Gunung Rinjani bagaikan satu titik permulaan dalam hidup hamba.

Insyallah, langkah ini tidak akan terhenti di sini saja. Semoga kita bertemu di lembaran lainnya dengan cerita yang sedikit berbeza. Assalamualaikum.

Baca lagi: Pendaki Malaysia Berkongsi Pengalaman Ke Gunung Rinjani Indonesia

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram