Secara peribadi Zack Zairul bukanlah seorang yang asing di dunia maya bagi saya yang sering mengikuti perkembangan beliau. Meski perkenalan kami hanya di Facebook, saya gemar melihat dan membaca update di wall Facebook beliau dalam diam. Apatah lagi saya tahu beliau sedang menyiapkan PhD di Belanda (Netherland).

Namun rupanya tidak semua yang dikongsikan oleh Zack menceritakan hakikat dan cabaran yang beliau lalui. Hinggalah saya membaca catatan perjalanan PhD yang telah Zack emailkan kepada saya.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Setelah membaca perkongsian beliau, tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju untuk siarkan di Vocket. Ikuti catatan yang telah ditulis oleh Zack di bawah:

Di Delft Centrum, Netherland.

Part 1 – 15 Oktober 2011

Petang tu aku terima 2 berita yang menggembirakan dan berita yang menyedihkan serentak. Kedua-duanya bakal merubah masa depan sama ada menjadi baik atau menjadi lebih buruk. Yang pertama aku mendapat tawaran melanjutkan ijazah kedoktoran falsafah di TU Delft di Belanda.

Yang keduanya Nauzubillah. Isteriku tercucuk jarum pesakit positif HIV semasa bertugas di hospital. Semasa memberitahu perkara itu, isteriku menangis teresak-esak, pandangan aku menjadi kabur seketika, tersa gelap alam ini untuk aku tempuh.

Badanku menjadi longlai, fikiran ku berkecamuk seketika. Apakah ujian ini dapat aku tempuhi? Dalam pada yang sama anak keduaku Azra masih berumur 6 bulan dan masih memerlukan susuan mamanya.

Allahu akbar. Setelah insiden itu terjadi, isteriku direhatkan seketika dan diberi cuti oleh pihak hospital. Rawatan anti-virus diberikan dan penyusuan tidak dibenarkan bagi mengambil langkah berjaga-jaga.

Rawatan anti-virus tersebut harus berjalan selama 6 bulan. Hasilnya badan dia menjadi lemah, kurang selera makan dan susut berat badan.

Part 2

Dugaan demi dugaan kami terima pada tahun itu, pada yang sama kami sedang bersedia untuk berpindah kerana rumah yang baru dibeli di Semenyih baru sahaja siap. Isteriku terus menerima rawatan pencegahan daripada pihak hospital.

Selama itu, anakku Azra yang tidak mengetahui apa-apa terpaksa dibantu dengan susu biasa. Siapa lah yang tidak sedih melihat anak kecil yang masih memerlukan susu ibunya tetapi terpaksa di tarik daripadanya.

Dalam masa yang sama, aku berada dalam dilema. Perlukah aku meneruskan pengajian di Belanda? Atau meneruskan sahaja di Malaysia? Memikirkan keadaan keluarga dan isteriku yang ditimpa musibah.

Aku meminta nasihat dari pihak atasan UPM. Pihak atasan UPM menasihatkan untuk aku mengambil peluang melanjutkan pelajaran ke Belanda. Walaubagaimanapun mereka memberi pilihan untuk aku menyambung pengajian di IPT tempatan sekiranya keadaan menjadi lebih teruk.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk menangguhkan pengajian selama setahun dahulu. Tawaran daripada pihak universiti diBelanda telah diterima. Setelah aku menerangkan alasan penangguhan di atas sebab peribadi, mereka menerima dan kemasukan seterusnya adalah pada September 2012.

Ketika itu aku hanya berserah kepada Allah rabbul jalil. Aku serahkan dan bertawakkal 100% keapadaNya untuk menentukan apa yang terbaik buat kami. Sebulan selepas itu, isteriku mendapat tawaran untuk menyambung master di HUKM bagi kemasukan 2012 pula.

Ini bermakna isteriku tidak dapat menemani aku ke Belanda untuk pengajian PhD ku. Sekiranya biasiswa latihan itu ditolak kemungkinan hadiah yang sama tidak akan diberikan semula. Allahuakabar.

Semua perkara berlaku hampir serentak dan ujian datang bertalu-talu. Ketika itu, aku teringat firman Allah yang mafhumnya; “Sesungguhnya Allah tidak akan memberatkan seseorang sesuai dengan kemampuannya.” Aku pasrah.

Bersama mama dan ibu mertua sewaktu majlis konvokesyen Master isteri saya.

Part 3 – 12 Februari 2012

Di suatu petang di Putrajaya, kami duduk bersama-sama di dapur 6 mata, aku, isteriku dan mamaku. Perkara ini memang kami rahsiakan kerana tidak mahu disalahertikan oleh orang lain.

Ketika diberitahu insiden yang terjadi mamaku mengucap panjang dan beristighfar. Lalu mamaku mencadangkan agar kami masing-masing menyambung pengajian secara bersendirian.

Aku di Belanda, isteriku di HUKM dan anak-anak dijaga beliau. Kata mama, biarlah kita semua berkorban, kejarlah cita-cita masing-masing dan habiskan secepat mungkin, kemudian balik bina hidup semula kemudian bersama-sama.

Kami tunduk akur. Mungkin ini yang terbaik. Tetapi, pada yang sama aku faham kesedihan yang ditanggung isteriku untuk berjauhan dariku selama 4 tahun.

4 bulan hampir berlalu, tibalah ujian akhir bagi mengetahui status darah samada terkena jangkitan HIV atau tidak. Perasaan aku berdebar-debar, risau bukan kepalang. Namun aku serahkan segalanya kepada RabbulJalil. Kami berjanji untuk kekal bersama walau apapun yang terjadi.

ALHAMDULILLAH keputusan didapati negatif. Aku memanjatkan kesyukuran kepadaNya. Pada akhir bulan Februari itu aku dan isteri mengambil keputusan untuk melupakan kisah hitam itu dan melancong ke Korea.

Kami seperti pergi bulan madu kali ke-2, kami menghabiskan masa hampir seminggu bersama-sama dan menyambut harijadi si isteri yang kebetulan jauh pada bulan yang sama di sana.

Sebulan kemudian, kami ditimpa satu lagi kejadian yang tidak diingini. Kereta Toyota Estima hilang di tempat letak kereta semasa melawat saudara kami di Bukit Jalil. Allahu Akbar. Walaubagaimanapun, aku tidak patah semangat, mungkin ada hikmahnya untuk ini.

Alhamdulillah seperti blessing in disguise. Kami berjaya mendapatkan tuntutan penuh daripada pihak insurans bagi kereta terbabit dan ini menguatkan lagi hasrat aku untuk keluar negara kerana bebanan ansuran kereta sudah berkurangan.

Part 4 – 14 June 2012

Kami berpindah ke Semenyih dari Putrajaya setelah berbulan-bulan memindahkan barang sedikit demi sedikit akibat kekangan masa. Ketika ini, isteriku sudah pun memulakan pengajian beliau di HUKM bag meneruskan pengajian siswazah untuk bergelar doktor pakar.

Aku pula sedang menyiapkan persiapan terakhir untuk ke Belanda berseorangan. Hati mana yang tidak sedih memikirkan berhadapan situasi berjauhan daripada keluarga dan anak-anak. Amra dan Azra akan dijaga oleh mamaku sementara si isteri akan berjuang berseorangan di tanahair.

Keputusan akhirnya dibuat. Aku dan isteri bertekad untuk meneruskan pengajian masing-masing dan menghabiskan pengajian kami secepat mungkin. Pada bulan Julai 2012 aku menerima satu lagi berita. Isteriku hamil anak ke-3.

Alhamdulillah tapi aku juga serba salah. Bagaimana isteriku hendak meneruskan pengajian sekiranya masih mengandung. Siapa pula hendak menguruskan ketika dia bersalin kelak? Allahu akbar. Sekali lagi aku harus mengambil keputusan yang tepat untuk menyelesaikan masalah ini.

Bulan Ogos 2012, surat tawaran dari Belanda sampai ke rumah. Aku dikehendaki melapor diri pada 3 September 2012. Ketika itu, masih musim raya di Malaysia. Allah Akbar. Aku masih lagi keberatan untuk pergi, namun pada masa yang sama aku merasakan peluang ini tidak wajar dilepaskan.

Rakan-rakan sekerja ada yang membantah, tidak kurang juga yang memberi respon negatif terhadap keputusan aku untuk tidak membawa keluarga bersama. Isteriku juga merasakan peluang menyambung pengajian master tidak boleh disia-siakan dan bersetuju untuk berkorban demi masa depan kami bersama.

Terdengar juga suara-suara sinis daripada orang-orang sekeliling mengatakan aku sanggup meninggalkan keluarga dan ‘selfish’ namun hanya kami sekeluarga sahaja yang tahu pengorbanan yang akan dilakukan ini. Dan berharap mendapat restu daripada Ilahi dengan segala keputusan bersama yang telah kami ambil.

Part 5 – 25 Januari 2013

Walaupun baru beberapa bulan memulakan pengajian di Belanda, aku mengambil keputusan untuk pulang bagi menyambut cahayamata kami yang ke-3. Namun sukar juga untuk aku membuat keputusan kerana aku sudah memasuki fasa untuk pembentangan research proposal atau dipanggil Go-no-Go proposal defense.

Kegagalan untuk memberi pembentangan yang meyakinkan akan menyebabkan aku akan diberhentikan oleh pihak universiti. Ketika itu, aku nekad untuk kembali insyAllah rezeki tuhan sentiasa luas kerana keluargalah segala-galanya.

Pada tepat jam 11.45 malam, 31 Januari 2013 lahirlah Akhiz Zuhd, putera pertama kami. Allahuakbar aku bersyukur, redha dan menadah tangan penuh kesyukuran. Ketika ini aku merasakan Allah telah memudahkan dan menganugerahkan sesuatu yang sangat bermakna ke dalam hidupku. Kata orang anak itu pembuka rezeki. Amin insyaAllah.

Aku mengambil keputusan untuk bercuti selama 4 bulan bagi menjaga isteriku di dalam pantang dan menjaga Akhiz Zuhd sementara isteriku bekerja (untuk makluman tiada cuti bersalin diberikan ketika mendapat hadiah HLP) jadi aku akur dan akulah yang bertanggungjawab menjaga isteriku, memasak lauk pantang dan memandi serta menjaga bayiku sehingga umurnya 4 bulan.

Pada bulan April itu juga, isteriku akan menduduki peperiksaan tahun pertama yang membolehkan beliau meneruskan pengajian atau tidak. Dengan situasi baru bersalin, beliau mengheret buku ke sana dan ke sini, membuat rujukan dan menelaah tanpa rasa penat, semuanya demi anak-anak dan masa depan kami sekeluarga.

Pada akhir bulan April itu, aku menerima satu lagi berita yang mengejutkan, email dari universiti telah mengarahkan aku menyiapkan pembentangan untuk Go-no-GO session yang akan berjalan pada June 2013.

Keputusan ini sungguh mengejutkan kerana kebiasaanya sesi Go-no-GO tersebut berjalan selepas bulan ke-12, 15 atau 18 pengajian. Dan aku merasa sungguh pelik kerana aku diarahkan untuk membuat pembentangan pada bulan ke-9 pengajian.

Namun aku akur, di dalam tempoh menjaga isteri dan bayiku, aku berusaha menyiapkan laporan untuk proposal aku dan juga presentation untuk mepersembahkan research proposalku.

American Real Estate Society meeting ARES 2015, Fort Myers.

Part 6 – 12 Jun 2013

Sekembalinya aku ke Belanda, aku dikehendaki menyediakan material tambahan untuk presentation Go-no-Go tersebut. Perasaan makin berdebar-debar, ditambah pula kegagalan dalam Go-no-GO berkemungkinan akan menyebabkan aku disuruh pulang.

Sampailah di hari penyampaian, aku mendapat sesi pertama. Pelbagai soalan diajukan oleh panel yang terdiri daripada Professor di jabatan aku dan juga panelis undangan.

Walaubagaimanapun, segalanya dapat aku jawab dengan tenang. Setelah usai persembahan, semua hadirin diminta keluar. Ketika itu, hanya aku dan panelis sahaja berada di dalam dewan tersebut.

Komen yang diterima ada yang keras dan selebihnya sangat konstruktif. Tambahan lagi, orang-orang Dutch ni memang terkenal dengan straight forward mereka. Kalau tak betul dia akan cakap tak betul terus supaya kita dapat meperbaikinya.

Akhirnya berdasarkan keputusan majoriti, aku berjaya mengharungi fasa pertama dan mendapat GO dalam masa 9 bulan setelah bertungkus lumus menjaga anak, isteri, turun naik JB-KL dan Amsterdam. Walaupun ada panel yang tidak bersetuju untuk memberikan aku GO pada bulan ke 9, namun mereka bersependapat bahawa ada potensi di dalam research proposal yang aku bentangkan itu.

Maka bermulalah perjalanan PhD aku secara serius. Pada tahun pertama pengajian, masaku banyak dihabiskan untuk memantapkan literature dan juga menulis chapter 2. Aku juga mengambil kesempatan untuk mengumpul seberapa banyak kertas rujukan daripada jurnal dan juga konferens dan menggunakan perisian seperti Mendeley dan Endnote. Perpustakaan aku ketika itu hampir mencecah 200-300 artikel.

Walaupun sibuk dengan ‘desk activities’, aku juga tidak melepaskan peluang untuk mengembara ke serata Eropah. Peluang untuk mengembara ke Eropah bukanlah datang selalu. Aku juga mengambil keputusan untuk tidak menyertai sebarang konferens kerana perlu membina asas yang kukuh sebelum pergi ke luar dan membentangkan kerjaku.

Part 7 – 15 September 2014

Ketika ini aku sudah sampai ke progress 24 bulan dan perlu mengemaskini ke dalam sistem untuk membolehkan visa resident permit disambung. Ketika ini, aku sudahpun menjalankan pengambilan data (collection data) di Jepun dan beberapa lokasi di Eropah.

Aku juga harus memberi pembentangan kepada pihak komiti bagi mendapat kelulusan untuk meneruskan pengajian. Ya memang lain caranya di Belanda ini. Segalanya perlu mengikut masa dan progress yang ditetapkan.

Seminggu sebelum pembentangan aku mengambil inisiatif utnuk membuat pembentangan bersama rakan-rakan sepejabat, tenaga-tenaga pengajar di sana dan mengambil peluang itu untuk menambahbaik persembahan aku sama ada dari segi lisan mahupun visual.

Alhamdulillah, reaksi yang diterima sangat baik dan memberangsangkan. Usai persembahan, Professor aku sangat berpuashati terhadap usaha yang telah dijalankan serta memberikan pujian terhadap persembahan visualku yang sangat menarik.

Aku memang menggunakan segala perisian untuk membantu aku dari segi persembahan visual. Tak cukup dengan power point, aku gunakan illustrator, photoshop, visio,video dsb bagi menjadikan persembahan aku menarik serta mudah difahami oleh semua orang.

Pada akhir tahun ke-2 pengajian, aku sudah berjaya menyiapkan first draf chapter literature, methodology dan dapatan kajian. Proses ini aku lakukan berulang-ulang kerana penulisan memerlukan kemahiran yang tinggi lebih-lebih lagi diperingkat PhD.

Aku juga telah menetapkan pertemuan bersama promotor sebulan sekali dan 2 minggu sekali bersama daily supervisor. Sebelum mesyuarat berlangsung aku akan menyediakan agenda mesyuarat selewat-lewatnya 2 hari sebelum tarikh.

Semasa mesyuarat, sebarang perbahasan dan perbincangan akan direkodkan bagi tujuan rekod dan sekiranya ada dispute di kemudian hari. Usai bermesyuarat, minit mesyuarat akan ditulis dan diagihkan kepada semua komiti bagi tujuan ulasan atau tindakan lanjut.

Setiap 2 minggu, aku akan menghantar progress research aku dengan menggunakan gantt chart (Microsoft project), dengan menggunakan MS project dan setiap tugasan akan diberikan peratusan agar semua pihak dapat melihat progress aku dan dapat memberi ulasan yang sepatutnya mengikut masa yang ditetapkan.

Conference on the future of Open Building, Zurich, 2015.
Giliran saya lakukan pembentangan di Conference on the future of Open Building, Zurich, 2015.

Part 8 – Tahun ke-3 pengajian (2015)

Pada tahun ketiga, aku sudahpun menyertai dan membentangkan kertas kerja di Korea, Amerika Syarikat, Switzerland dan Jerman. Pada tahun ini juga, aku dilantik untuk mengetuai PhD council bagi membantu fellow PhD di fakultiku.

Aku juga aktif mempromosi ATLAS.ti (Qualitative Data Analysis software) kepada rakan-rakan seperjuangan dan diberi kepercayaan menawarkan kursus tersebut untuk melatih pelajar-pelajar PhD baru bagi memenuhi syarat daripada Graduate School.

Pihak Graduate School juga telah menawarkan kepadaku untuk menjadi PhD peers iaitu program senior PhD untuk membantu PhD junior dalam mengharungi dunia PhD. Ketika ini, aku sudahpun berjaya menghantar hampir 5 kali draf thesis bagi setiap chapter bagi tujuan penambahbaikan.

Perlu aku nyatakan, tanggapan menyatakan anda boleh mula menulis hanya pada tahun akhir adalah salah sama sekali. Proses ini mengambil masa lebih-lebih lagi bagi kita yang menggunakan English sebagai bahasa kedua.

Pada genap 3 tahun setengah (42 bulan) aku berjaya menghantar draft penuh salinan thesisku kepada pihak komiti. Ini bermakna aku ada baki 6 bulan lagi kerana pengajian di Eropah mengambil masa sekurang-kurangnya 4 tahun minimum.

Segalanya berkat perancangan awal dan usaha yang berterusan, ditambah dengan kerinduan kepada keluarga di tanahair. Doa dari mamaku yang tidak putus-putus untuk anaknya juga adalah punca bagaimana aku sampai ke tahap ini.

Baki 6 bulan ini aku habiskan dengan membuat pembetulan terakhir sebelum manuskrip akhir boleh dihantar ke Graduate School. Sistem di Eropah juga adalah berbeza dengan di UK mahupun di Malaysia. Prosesnya mengikut turutan adalah Draf-Pembetulan- Submit-Defense, berbanding di Malaysia yang menggunakan format Submit-Viva-Pembetulan-Graduasi. Pada bulan Julai 2017 juga isteriku berjaya mendapatkan skrol nya sebagai doktor pakar kecemasan dan trauma dan kini berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor.

Alhamdulillah segala ujian yang aku harungi sebelum ini ada hikmahnya, kini aku hampir ke penghujung #zackphdjourney. Walaupun kehidupan selepas PhD adalah permulaan hidup sebenarnya namun, PhD telah mengajar aku pelbagai perkara tentang kehidupan dan juga ragam manusia.

Setiap calon PhD juga mempunyai cerita, ujian dan halangan yang berbeza-beza. Namun kita haruslah tabah, cekal dan berusaha untuk mengharungi segala rintangan bagi mencipta satu kejayaan.

Defence ceremony pada 30 Jan 2017 #zackphdjourney.

Tips
1. Pesediaan untuk PhD bukan bermula 3 atau 6 bulan sebelum pengajian tetapi sebaiknya semenjak memulakan pengajian master lagi (purata persediaan 6 – 7 tahun).

2. Penguasaan Bahasa Inggeris haruslah berterusan dan mencapai level native speaker. Sekiranya bakal graduan PhD mengalami masalah untuk mendapatkan minimum IELTS 6.5, saya cadangkan lupakanlah hasrat untuk ke oversea dan sambunglah sahaja di Malaysia. Ia juga memadai.

3. PhD bukanlah jalan yang lurus. Seringkali kita menyangka jalan yang kita lalui itu sudah tepat, tapi selalulah merancang untuk berjaya dan bersedia sekiranya menemui kegagalan. Selalulah fikirkan one, two and three steps ahead untuk memastikan anda ada backup plan sekiranya sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

4. Don’t complex yourself, start the thesis formatting with the following sequence:
1. Content
2. Language
3. Remove wordiness
4. Improve structure

5. Extra hours during weekdays is ok, but avoid working during weekend. Weekend is for leisure and rejuvenate your mind and spirit.

6. Jangan lokek mengambil masa mempelajari dan mengadaptasi penggunaan perisian seperti Mendeley, Endnote dan sebagainya kerana ia sangat membantu mempercepatkan penulisan anda.

7. Gunakan sekurang-kurangnya 3 manuskrip pelajar PhD sebelum anda. Ia bagi mendapatkan panduan dari segi gaya penulisan, persembahan dan juga format bagi memudahkan penulisan manuskrip anda sendiri

8. Tulis, tulis dan terus menulis (dalam English) dan catatkan segala yang berkaitan dengan topik anda di dalam buku nota atau gunakan perisian seperti Evernote untuk merekod sebarang penemuan yang berkaitan.

Inilah kisah saya, inilah episod perjalanan PhD saya. Alhamdulillah segalanya telah selesai. Berikut video menceritakan penamat perjalanan #zackphdjourney. Ia satu kenangan manis bukan hanya buat saya tetapi juga mereka yang telah banyak berkorban untuk saya – isteri, mama, anak-anak, mertua dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Semoga ia turut memberi inspirasi buat anda.

Buat Zack, terima kasih atas perkongsian anda. Untuk pengetahuan, Zack telah berjaya menyiapkan thesis PhD dalam bidang senibina (architecture) pengkhususan di dalam Mencari Dan Penyelesaian Rumah Mampu Milik Di Malaysia.

Saya dimaklumkan Zack merupakan anak Melayu pertama berjaya menyiapkan PhD di dalam tempoh yang diberikan dan beliau juga berjaya habiskan pengajian sebelum tarikh akhir.

School of Architecture di Delft University of Technology,Netherlands menduduki tangga ke 3 ranking dunia selepas Massachusetts Institute of Technology (MIT), US dan The Bartlett School of Architecture, UK, sepertimana tersiar di Archdaily.com pada 7 Mach 2017.

Juga, jika anda yang berminat untuk menjalin usahasama dengan Zack bagi mencari penyelesaian rumah mampu milik di Malaysia, beliau boleh dihubungi di akaun Facebook Zack Zairul MN.

Oh ya, sebelum mengakhiri artikel ini, suka saya maklumkan Zack juga pernah berkongsi di Vocket bagaimana beliau buat 3 kerja sewaktu masih belajar di Netherland. Kisah beliau ini juga tak kurang menariknya dari segi inspirasi: Cemerlang Hingga Terima Anugerah Di Belanda, Pelajar PhD Ini Juga Buat 3 Kerja