Akaun instagram pengadil dari Oman, Ahmed Al Kaf tiba-tiba hilang selepas membuat keputusan kontroversi pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2016 antara Bahrain menentang Indonesia awal pagi tadi.

Perlawanan itu berlangsung dengan cukup dramatik apabila Bahrain berjaya menyamakan kedudukan di minit akhir menyaksikan Indonesia terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas mencatat keputusan seri 2-2.

Baca Juga:

Bagaimanapun, mutu pengadilan Ahmed Al Kaf dikritik hebat apabila membuat beberapa keputusan kontroversi termasuk tidak meniup wisel penamat ketika perlawanan sudah berlangsung melebihi masa tambahan 6 minit yang diberikan.

Disebabkan itu, Bahrain berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 90+9 menerusi  Mohamed Marhoon sekaligus mencetus pergaduhan antara pemain, jurulatih dan pegawai perlawanan.

Malah, pengurus Indonesia, Sumardji turut dilayangkan kad merah oleh Ahmed Al Kaf kerana melakukan bantahan terhadap jaringan penyamaan Bahrain.

Kesal dengan keputusan pengadil tersebut, netizen Indonesia bertindak menyerang akaun instagram Ahmed Al Kaf namun ia tidak boleh diakses selepas beberapa minit dipercayai telah ‘direport’ oleh penyokong yang marah.

Pengendali Indonesia, Shin Tae Yong menyifatkan pengadil perlawanan kali ini cukup memalukan dan pihaknya akan membuat surat bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Kedua-dua pasukan sudah melakukan yang terbaik sampai pengadil meniup wisel pada minit terakhir. Anda tahu beberapa hal yang memalukan.

“Jadi, kalau AFC mahu berkembang, mutu pengadilan juga harus diperbaiki. Jika ada yang baru sahaja menonton perlawanan ini, dan mungkin anda faham kenapa pemain kami marah.

“Waktu tambahan yang diberikan 6 minit, itu lebih dari 9 minit. Keputusan pengadil semua bias,” kata Shin Tae Yong dipetik dalam CNN Indonesia.