Sudah lama dinantikan ramai, kini Apple melancarkan barisan iPhone 15 terbaharu secara rasmi buat umum. Seperti tradisi biasa, iPhone 15 hadir dengan versi biasa dan Pro yang mana mempunyai beberapa perbezaan spesifikasi padanya.

Pasti ramai peminat Apple yang mahu mengetahui spesifikasi ini serba ringkas sebelum membuat pembelian. Terdapat pelbagai penaik tarafan yang sedia ditawarkan menerusi barisan iPhone 15 pada kali ini.

iPhone 15 dan iPhone 15 Plus

Sumber Gambar: Apple

Pada kali ini, Apple menampilkan skrin berukuran 6.1-inci dan 6.7-inci dengan panel OLED Super Retina XDR yang menyokong sokongan refresh rate 60Hz.

Seperti yang dijangkakan, ciri Dynamic Island turut disertakan untuk kesemua siri model iPhone 15. Malah, pada kali ini ciri Dynamic Island hadir dengan penambahan fungsi seperti paparan penghantaran barangan, waktu penerbangan dan juga panggilan masuk.

Sumber Gambar: Apple

Apple bagaimanapun masih mengekalkan penggunaan cip yang sama iaitu A16 bionic bersama memori 6GB RAM dan pilihan storan sehingga 512GB. Pada bahagian kerangka mempunyai kemasa matte yang tampil lebih premium.

Sumber Gambar: Apple

Kamera utama dinaik-taraf kepada sensor yang lebih baik iaitu 48MP, di samping mempunyai teknologi pengkomputeran yang bakal menawarkan gambar dan video yang lebih baik.

Malah, anda boleh merakam video dengan resolusi 4K60HDR yang pasti memberikan pengalaman videografi yang lebih profesional. Menariknya, Apple buat julung kalinya Apple membawakan port pengecasan USB-C buat semua model di bawah siri iPhone 15.

Sumber Gambar: Apple

Ciri lain termasuklah kalis air IP68, ciri UWB generasi kedua, rangkaian 5G dan sokongan bantuan satelit baharu. Bateri yang dibekalkan tampil pengurusan kuasa yang lebih efisien untuk menjamin jangka hayat yang lebih panjang.

Terdapat beberapa pilihan warna yang sedia ditawarkan pada kali ini seperti hitam, biru, hijau, kuning dan pink. Harga jualan rasmi adalah bagi Apple iPhone 15 bermula daripada RM4,399 manakala iPhone 15 Plus ditawarkan pada harga RM4,899.