Seperti yang dinanti-nantikan setiap September, Apple hari ini melancarkan siri iPhone terbaru. Model asasnya, iPhone 17, tampil dengan pelbagai kemas kini spesifikasi dan penaiktarafan, namun masih mengekalkan rekaan ikonik yang sudah dikenali ramai.

Berikut adalah spesifikasi Apple iPhone 17 terbaharu yang ramai mahu ketahui dengan lebih lanjut.

iPhone 17

iPhone 17 Dengan Cip A19 Dan Sokongan 120Hz Pro Motion Dijual Bermula Harga RM3,999
Sumber Gambar: Apple

iPhone 17 kini tampil dengan skrin 6.3-inci Super Retina XDR yang menyokong ProMotion. Ini bermakna, anda akan menikmati visual yang lebih lancar, jelas, dan terang. Ia digerakkan oleh cip terbaru Apple, Apple A19 (3nm), yang memastikan prestasi terbaik untuk semua kandungan.

iPhone 17 kini menawarkan storan asas 256GB, bermula dengan kamera belakang dwi-lensa 48MP yang menyertakan sokongan 2x telefoto. Paling menarik, Apple memperkenalkan Center Stage pada kamera hadapan, memberikan pengalaman panggilan video yang lebih baik dengan fokus automatik pada pengguna.

Teknologi ini juga membolehkan pengguna merakam foto 18MP dan video 4K HDR, termasuk fungsi Dual Capture untuk merakam serentak menggunakan kamera hadapan dan belakang.

Di samping cip pemprosesan yang pantas, iPhone 17 turut menampilkan cip rangkaian N1 keluaran Apple. Cip ini membuka pintu kepada teknologi sambungan generasi akan datang seperti Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6. Keseluruhan pengalaman pengguna diperkemas dengan iOS 26, sistem operasi baharu yang diperkenalkan dengan rekaan Liquid Glass yang lebih moden.

Bagi pengguna di Malaysia, pra-tempahan boleh dibuat mulai 12 September 2025, manakala jualan rasmi bermula 19 September 2025. Harga jualan adalah RM3999 untuk model asas 256GB.