Iran terus mengetatkan peraturan berpakaian bagi wanita yang tidak mengenakan hijab atau menutup aurat dengan membuka klinik khusus untuk ‘pemulihan’, lapor The Telegraph.

Klinik yang dinamakan Clinic for Quitting Hijab Removal di Tehran ini dirangka sebagai pusat rawatan untuk “merawat” wanita yang memilih untuk tidak menutup aurat, terutama dalam kalangan remaja, belia, dan wanita muda.

Projek ini dikatakan bertujuan untuk mempromosikan “kesopanan, kehormatan, dan identiti Islam.”

Pengarah klinik tersebut, Mehri Talebi Darestani, menyatakan bahawa pusat ini menawarkan rawatan “psikologi dan saintifik” yang dapat membantu wanita membina semula identiti sosial dan Islam mereka.

Walaupun ia diiklankan sebagai “pilihan sukarela,” ramai yang percaya bahawa klinik ini sebenarnya merupakan usaha sistematik kerajaan untuk menekan kebebasan wanita dalam berpakaian.

Langkah terbaru ini dilaksanakan oleh Headquarters for Enjoining the Good and Forbidding the Evil, badan kerajaan yang bertanggungjawab menguatkuasakan kod agama di Iran.

Jabatan ini diketuai oleh Mohammed Saleh Hashemi Golpayegani, seorang tokoh penting yang dilantik langsung oleh Ayatollah Ali Khamenei.

Malah, jabatan ini telah dikenakan sekatan oleh negara-negara Barat, termasuk UK, atas tuduhan penyalahgunaan hak asasi manusia, khususnya dalam menganiaya wanita yang menolak peraturan berpakaian ketat Iran.

Sejak kebangkitan protes “Wanita, Kehidupan, Kebebasan” yang tercetus pada 2022 selepas kematian Mahsa Amini di tangan polis moral Iran, kerajaan Iran semakin menguatkuasakan sekatan terhadap wanita.

Pengawasan kini diperketatkan, kehadiran polis moral bertambah, dan wanita yang tidak memakai hijab dilarang memasuki tempat awam, termasuk pusat beli-belah dan taman.

Kebangkitan protes selepas kematian Mahsa Amini membawa kepada peningkatan suara penentangan terhadap pemakaian hijab secara paksa.

Baru-baru ini, seorang pelajar di Universiti Islam Azad Tehran bertindak berani dengan menanggalkan pakaian sehingga ke pakaian dalam sebagai simbol protes terhadap kewajipan berhijab.

Dia dilabel “mengalami masalah mental” dan dihantar ke hospital psikiatri.

Malah, selebriti-selebriti yang memuat naik gambar mereka tanpa hijab juga dikenakan tindakan undang-undang dan diarahkan menghadiri sesi kaunseling.

Bagi pelakon seperti Afsaneh Bayegan, Azadeh Samadi, dan Leila Bolukat, tindakan termasuk pembekuan akaun bank dan larangan perjalanan turut dikenakan.