Iran tidak akan menyertai Piala Dunia FIFA selepas Amerika Syarikat membunuh Pemimpin Tertinggi mereka, Ayatollah Ali Khamenei, kata Menteri Sukan negara itu, Ahmad Donyamali.

Kenyataan Ahmad Donyamali itu dibuat sehari selepas Infantino menyatakan bahawa Donald Trump memberikan jaminan bahawa pasukan bola sepak Iran dibenarkan masuk ke AS untuk bertanding di Piala Dunia.

Namun Iran sudah membuat keputusan bahawa mereka tidak akan menjejakkan kaki ke Piala Dunia yang dianjurkan negara yang menyerang mereka dan mengorbankan pemimpin tertinggi mereka.

“Dengan mengambil kira bahawa rejim korup ini (AS) telah membunuh pemimpin kami, dalam apa jua keadaan sekalipun kami tidak boleh menyertai Piala Dunia,” kata menteri itu kepada televisyen negara pada hari Rabu.

Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 FIFA World Cup bersama Canada dan Mexico. Namun semua perlawanan peringkat kumpulan Iran dijadualkan berlangsung di bandar-bandar di Amerika, termasuk Los Angeles dan Seattle.

Perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari telah mengorbankan 1,255 orang dan mencederakan lebih 12,000 orang.

Tehran membalas dengan melancarkan gelombang peluru berpandu dan dron ke arah Israel, beberapa pangkalan tentera di Timur Tengah yang menempatkan tentera Amerika, serta infrastruktur di rantau tersebut.

“Anak-anak kami tidak selamat dan pada asasnya keadaan seperti ini tidak memungkinkan kami untuk menyertai pertandingan,” kata Donyamali.

“Dengan tindakan jahat yang mereka lakukan terhadap Iran, mereka telah memaksa dua peperangan ke atas kami dalam tempoh lapan atau sembilan bulan dan telah membunuh serta mensyahidkan ribuan rakyat kami. Oleh itu, kami sama sekali tidak boleh hadir.”

Ini adalah kali pertama pegawai kerajaan Iran secara rasmi bercakap mengenai penyertaan negara itu dalam Piala Dunia sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, turut menyuarakan keraguan mengenai penyertaan pasukan mereka, namun tidak secara jelas mengatakan Iran akan memboikot kejohanan tersebut.

“Selepas serangan ini terhadap Iran, kita tidak boleh dijangka menantikan Piala Dunia dengan penuh harapan,” kata Taj pada 1 Mac di televisyen negara Iran.

“Jika Piala Dunia seperti ini keadaannya, siapa yang waras akan menghantar pasukan kebangsaan mereka ke tempat seperti itu?” katanya.