Sebuah rang undang-undang yang dicadangkan oleh Parlimen Iraq telah mencetuskan kontroversi besar apabila ia mencadangkan untuk menurukan umur sah perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan kepada hanya sembilan tahun, lapor Economic Times.
Usul ini, yang diperkenalkan oleh Kementerian Keadilan Iraq, bertujuan untuk meminda Undang-Undang Status Peribadi yang kini menetapkan umur minimum perkahwinan pada 18 tahun.
Jika diluluskan, undang-undang ini akan membenarkan kanak-kanak perempuan seawal usia sembilan tahun dan kanak-kanak lelaki seawal usia 15 tahun untuk berkahwin.
Perubahan ini telah menimbulkan kebimbangan tentang peningkatan kes perkahwinan kanak-kanak dan eksploitasi.
Pelbagai organisasi hak asasi manusia, kumpulan wanita, dan aktivis masyarakat telah menentang rang undang-undang ini.
Mereka memberi amaran bahawa undang-undang ini akan memberi kesan negatif terhadap pendidikan, kesihatan, dan kesejahteraan kanak-kanak perempuan.
Ini termasuk peningkatan kadar mereka yang tidak bersekolah, hamil awal, dan keganasan rumah tangga.
Menurut UNICEF, 28 peratus kanak-kanak perempuan di Iraq sudah pun berkahwin sebelum mencapai usia 18 tahun.
Selain itu, rang undang-undang ini juga mencadangkan agar rakyat Iraq dibenarkan memilih antara pihak berkuasa agama atau kehakiman sivil untuk urusan keluarga.
Pengkritik bimbang bahawa ini boleh menghakis hak-hak berkaitan pusaka, perceraian, dan hak penjagaan anak.
Penyokong rang undang-undang pula berpendapat ia akan menyeragamkan undang-undang Islam dan melindungi kanak-kanak perempuan daripada “hubungan tidak bermoral”.
Pada akhir Julai, Parlimen telah menarik balik cadangan ini akibat bantahan daripada ramai ahli parlimen.
Namun begitu, rang undang-undang ini muncul kembali dalam sesi Parlimen pada 4 Ogos setelah mendapat sokongan daripada blok-blok Shia.
Rang undang-undang ini turut menetapkan bahawa pasangan suami isteri mesti memilih antara mazhab Sunni atau Shia bagi “semua urusan status peribadi”.
Sekiranya berlaku pertikaian antara pasangan mengenai doktrin yang menjadi asas kontrak perkahwinan mereka, kontrak itu akan dianggap sah di bawah doktrin suami melainkan dibuktikan sebaliknya.