Jepun menerima tamparan hebat selepas tewas 1-2 di tangan Iraq pada aksi kedua kumpulan D Piala Asia 2023 yang berlangsung di Al Rayyan Stadium, Qatar sebentar tadi.

Kemenangan penting dilakarkan Iraq itu sekali gus mengesahkan kemaraan skuad Lions of Mesopotamia itu ke pusingan 16 terbaik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Malah, ia merupakan kemenangan pertama Iraq bertemu Jepun selepas kali terakhir menikmatinya pada November 1982.

Berdepan lawan yang merupakan pasukan ranking nombor satu Asia itu jelas tidak langsung menggentarkan semangat skuad kendalian Jesus Casas Garcia tersebut.

Ia dibuktikan apabila Ali Jasim Elaibi menguji gawang Jepun yang dikawal Zion Suzuki, tetapi rembatan dari luar kawasan penalti itu diselamatkan penjaga gol tersebut.

Kehampaan itu ditebus seminit kemudian apabila tumbukan Suzuki dalam usahanya untuk memintas hantaran lintang Ali Jasim terus ke kepala Aymen Hussein.

Aymen yang melonjak tinggi tidak berdepan masalah untuk membocori gawang Jepun untuk meletakkan Iraq dihadapan.

Meskipun Jepun mendominasi sebahagian besar permainan sejak dari mula, pertahanan Iraq cukup tenang dalam menyerap tekanan hebat diberikan.

Kekentalan jentera pertahanan itu menyaksikan Jepun langsung tidak berupaya untuk mendapatkan sebarang percubaan tepat pada separuh masa pertama.

Kealpaan Jepun sekali lagi dihukum pada masa kecederaan babak pertama apabila larian di belakang pertahanan dilakukan Aymen ketika menanti hantaran lintang Ahmed Yahya Al Hajjaj disudahkan dengan tandukan cantik penyerang tersebut bagi melebarkan kedudukan.

Tersentak dengan dua gol itu, Jepun menggandakan asakan ke kubu Iraq dan mereka hampir dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-56.

Bagaimanapun, sepakan tersebut dibatalkan selepas pengadil perlawanan, Khalid Saleh Alturais melakukan rujukan Video Assistant Referee (VAR).

Usaha berterusan Jepun membuahkan hasil pada minit ke-93 setelah Wataru Endo menanduk masuk bola ketika situasi sepakan penjuru yang diambil Reo Hatate.

Jaringan tersebut bagaimanapun tidak mampu untuk menghalang kemenangan bersejarah yang dilakarkan Iraq walaupun Jepun terus memberikan tekanan hebat pada lewat permainan.