Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta ke atas Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad.
Hukuman itu berhubung sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Baca Juga:
Memetik Berita Harian, Mahkamah Rayuan sebelum ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, dengan tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.
Memetik laporan itu lagi, Mohd Isa didakwa menerima RM3.09 juta dalam bentuk suapan melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Ia sebagai ganjaran atas peranannya memudahkan kelulusan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, pada harga RM160 juta.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
