Kerajaan Perancis telah menerbitkan peraturan baru mewajibkan pengimport dan peruncit untuk melabel produk yang berasal dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diceroboh.
Menurut laporan dalam akhbar Haaretz, pemberitahuan itu yang disiarkan pada 24 November, berbunyi “Notis kepada operator ekonomi (peniaga) mengenai label barangan yang berasal dari wilayah yang dicerobohi oleh Israel sejak Jun 1967.”
Memetik garis panduan Suruhanjaya Eropah pada November 2015, “agar tidak menipu pengguna”, undang-undang baru kerajaan Perancis menyatakan keperluan melabelkan tempat asal produk-produk secara tepat, dan tidak melabel barangan hanya sekadar sebagai produk Israel.
Haaretz menulis bahawa “peraturan ini bertujuan untuk mengelakkan situasi di mana pengguna tersalah anggap dan berfikir mereka membeli barang-barang Palestin dari Tebing Barat atau Jerusalem Timur.”
Sebagai tindak balas, jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahason berkata: “Israel mengutuk keputusan kerajaan Perancis untuk melaksanakan garis panduan Suruhanjaya Eropah November 2015 untuk menandakan barangan Israel yang berasal dari luar ‘sempadan 67’.”
“Kami kesal kerana Perancis, yang mempunyai undang-undang anti boikot, memajukan langkah-langkah yang dilihat sebagai memberi lampu hijau kepada gerakan radikal dan boikot terhadap Israel.”
Beliau menambah: “Tanpa sebab munasabah lagi merisaukan, Perancis memilih untuk double standard apabila ianya melibatkan Israel, dalam masa yang sama mengabaikan 200 konflik wilayah yang berlaku di seluruh dunia, termasuk (yang berlaku) di depan pintu mereka sendiri.”