“Saya memang buat bariatrik (pembedahan) tapi urusan itu tak ada kena mengena dengan suami.

“Saya yang buat sendiri. Syed tak bagi buat, saya sendiri yang nak buat.”

Susulan dakwaan tular mengenai pembedahan bariatrik, Fatin Syazwani Ishak, 27, isteri kepada pempengaruh Prince Syed (Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 33), akhirnya membuka mulut.

Fatin mengesahkan bahawa pembedahan tersebut memang telah dijalankan di Ipoh, Perak pada 8 Oktober lalu, namun menegaskan ia adalah atas kerelaan diri sendiri, sekaligus menafikan sebarang unsur paksaan daripada suaminya lapor Harian Metro.

Menolak spekulasi liar di media sosial, Fatin Syazwani turut menegaskan bahawa suaminya, Prince Syed, sama sekali tidak pernah memaksa beliau menjalani pembedahan bariatrik demi tujuan menjual produk pelangsingan.

Justeru, Fatin Syazwani memohon agar orang ramai menghentikan sebarang tuduhan dan kecaman terhadap suaminya kerana prosedur yang dilakukan adalah murni atas kerelaan dan keputusannya sendiri.

“Fatin minta Syed kumpul duit (untuk menampung kos pembedahan).

“Tolong jangan serbu (serang) Syed…tolong sangat. Syed tak ada kena mengena.

“Saya nak tenang-tenang saja,” katanya menerusi satu kiriman video kepada media tersebut.

Selain menafikan paksaan, Fatin Syazwani meluahkan rasa kecewa dan penat apabila isu pembedahan bariatrik itu turut mengaitkan perkahwinannya hingga timbul dakwaan berlaku pergolakan rumah tangga. “Kenapa sampai macam itu? Kenapa lebih sangat… Jangan lebih dan melampau sangat. Kenapa orang tak puas hati daripada dulu? Penat, sumpah letih, kecewa,” luahnya.

Sementara itu, Prince Syed secara berasingan turut menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduh beliau menjadikan isterinya sebagai ‘tikus makmal’ dengan memaksa prosedur bariatrik.

Prince Syed menjelaskan, faktor utama isterinya, Fatin Syazwani, menjalani prosedur bariatrik adalah kerana tertekan akibat sering menjadi mangsa penghinaan bentuk fizikal atau ‘body shaming’, dan bukannya paksaan daripadanya.

Beliau menambah, keputusan untuk tidak menghebahkan pembedahan tersebut adalah demi menghormati permintaan peribadi Fatin Syazwani, dan ia tiada kaitan dengan dakwaan kononnya beliau cuba melarikan isterinya.

“Sebelum ini, isteri pernah luahkan hasrat nak buat (pembedahan bariatrik) dan saya tanya semula adakah dia sudah fikir betul-betul kerana saya tak sokong tapi tak halang.

“Namun isteri nekad dan saya akur malah menemaninya sepanjang di sana (pusat perubatan swasta yang menjadi tempat pembedahan) daripada awal hingga selesai.

“Saya siap solekkan wajahnya di atas katil sebelum nak keluar dari pusat perubatan itu selepas pembedahan jadi memang tak ada isu saya memaksa atau dia dipaksa.

“Cuma isteri saya dimasukkan ke sebuah hospital empat hari lalu kerana dehidrasi dan sudah melakukan satu sesi dialisis. Keadaannya stabil, bacaan pun cantik, tunggu waktu dibenarkan pulang ke rumah saja,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan pergolakan keluarga yang tular, Prince Syed menafikan sekeras-kerasnya tuduhan melarikan anak dan menghalang isteri serta cucu berjumpa ibu mentua. Beliau menegaskan, setiap kali ke utara tanah air, beliau, Fatin Syazwani dan anak-anak pasti akan singgah ke rumah mentua.

Selain itu, Prince Syed menjelaskan rumah yang tular dalam video ibu mentuanya itu adalah kediaman kakaknya, bukannya rumah peribadinya seperti yang didakwa.

Dakwaan tular daripada ibu mentuanya itu adalah yang sama menuduh beliau memaksa Fatin Syazwani melakukan bariatrik untuk tujuan pemasaran produk.