Nota Editor: Penulisan ini ditulis oleh Dr Khairul Hafidz Alkhair, iaitu seorang Doktor (Pegawai Perubatan) di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dan diterbitkan semula di Vocket dengan kebenaran beliau. Semoga penulisan ini membantu masyarakat memahami hakikat sebenar isu doktor lelaki membantu persalinan di hospital-hospital kerajaan.
Bicara mengenai isu doktor lelaki membantu persalinan, adalah satu isu yang sangat sensitif, perlu dibahas dengan baik, supaya tidak menimbulkan salah faham dan fitnah. Status kali ini akan lebih panjang daripada biasanya.
Isu ini bukan isu baharu, bahasnya sudah lama, sudah banyak pandangan mengenai isu ini, dan di sini saya ingin utarakan beberapa.
Dari sudut pandang kami doktor dari hospital kerajaan:
Pertama, tidak mungkin kami dapat menyediakan doktor perempuan pada setiap masa, kena faham bahawa, doktor juga punya jadual bekerja, ada sistem penggiliran, terutamanya waktu on-call, kadang-kala doktor lelaki yang bertugas. Mereka tetap kena jalankan tugas mereka.
Kedua, mahu tak mahu, hospital kerajaan juga berfungsi sebagai hospital mengajar, khusus buat mahasiswa dan doktor latihan siswazah. Mereka juga perlu mempunyai kemahiran untuk membantu persalinan TERUTAMANYA persalinan yang punya KOMPLIKASI.
Kena faham, PERSALINAN NORMAL boleh dibantu bidan, tetapi yang ada komplikasi PERLU DIBANTU DOKTOR. Dan harus digarisbawahi, mereka ini punya skil dan pengatahuan, cuma perlu latihan (dengan pengawasan) untuk mempertajam kemahiran.
Jadi, bagaimana doktor, tidak kira lelaki atau perempuan boleh belajar jika tiada pendedahan? Bila mereka di hospital daerah, siapa yang akan bantu mereka?
Ketiga, masyarakat selalu mengatakan timbulnya syahwat apabila doktor lelaki melihat kemaluan wanita.
Pecayalah, kami doktor lelaki tidak pernah sikitpun merasa nafsu melihat alat sulit wanita yang mahu bersalin. Tak percaya, tanyalah doktor walau belajar perubatan di Mesir dan juga seorang hafiz sekalipun, mereka akan beri jawapan yang sama.
Dari sudut pandang agama, melalui pembacaan, setakat ini ada banyak pendapat, ada yang menolak (tetapi membenarkan dengan syarat ianya dalam keadaan darurat) dan ada yang membenarkan doktor lelaki boleh membantu persalinan. (Saya tidak bahaskan dari sudut agama kerana saya bukan ahlinya dan saya takut fatwa/terjemahan yang saya bawa itu lari dari makna yang sebenarnya)
Sedikit buah fikiran semua, masyarakat selalu menolak doktor lelaki merawat wanita bersalin, tetapi tidak ada pula lelaki yang menolak untuk diperiksa oleh seorang doktor perempuan. Prosedur seperti masukkan tiub kencing dan sebagainya yang mempelihatkan alat sulit lelaki, tiada protes.
Mengapa?
Apa bezanya?
Atau diskriminasi?
Sewaktu isteri saya bersalin tempoh hari, doktor yang membantu persalinan adalah seorang doktor lelaki, jika ikutnya, saya seorang doktor, isteri saya juga doktor, berada dalam satu profesi pasti lebih segan. Tapi kami benarkan juga kerana kami tahu doktor yang membantu hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab.
Konklusinya, untuk datang ke hospital kerajaan itu PILIHAN, bukan PAKSAAN.
Kami dari hospital kerajaan punya keterbatasan, jika waktu yang mereka datang, ada doktor perempuan dan mereka minta, kami tiada masalah, kami masih lagi memegang prinsip autonomi pesakit, mereka ada hak untuk meminta.
Jika tiada, mereka punya PILIHAN untuk pergi ke HOSPITAL SWASTA, dan mereka sentiasa menyediakan doktor wanita untuk persalinan. Tetapi PILIHAN ada HARGANYA, ianya BUKAN PERCUMA.
Dan jika pesakit ingin datang ke hospital kerajaan, kami sentiasa menerima dengan tangan terbuka, kerana pesakit dan anak yang akan lahir punya hak untuk mendapat perkhidmatan yang terbaik.
#MasyarakatKenaTahu
BACA: Ini Mungkin Jawapan Terbaik Kenapa Klinik Dan Hospital Kerajaan Masih Lebih Baik
BACA Lagi: Rakaman GoPro Lelaki Ini Memandu Laju Keretanya Ke Hospital Membawa Isteri Yang Sarat Mengandung