Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial memaparkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih selamba membunyikan siren dan menyalakan lampu pandu arah (beacon) ketika mengharungi kesesakan jalan raya.

Tindakan itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen: “Eh, kereta biasa pun boleh pakai siren ke?

Susulan video berdurasi satu minit tiga saat itu, pihak polis tidak menunggu lama untuk menjalankan siasatan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, identiti pemilik MPV tersebut telah pun dikenal pasti.

Memetik Harian Metro, hasil semakan mendapati kenderaan itu bukanlah “saja-saja” mahu berlagak seperti pihak berkuasa.

Sebaliknya, ia merupakan kenderaan yang digunakan untuk tugas rasmi sebuah kementerian.

Penggunaan siren dan lampu beacon tersebut telah mendapat kelulusan sah daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tetap Dipanggil Untuk Pemeriksaan

Walaupun mempunyai surat kebenaran, pihak JSPT Kuala Lumpur tetap akan memanggil pemilik kenderaan tersebut dalam masa terdekat.

Langkah ini diambil bagi tujuan pemeriksaan lanjut bagi memastikan segala SOP penggunaan isyarat amaran dipatuhi sepenuhnya.

Sebelum ini, video terbabit mendapat perhatian ramai kerana nombor pendaftaran kenderaan yang tidak jelas, sehingga menimbulkan spekulasi mengenai penyalahgunaan aksesori amaran oleh orang awam.