Pada Sabtu lalu Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung respon Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer yang tidak profesional dalam menjawab pertanyaan salah seorang kakitangannya.
Hari ini, Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia menjelaskan bahawa Charles Brewer tidak bermaksud merendahkan mana-mana kakitangan Pos Malaysia.
Baca Juga:
- CEO Pos Malaysia Minta Maaf, Janji Respons Kepada Pekerja Lebih Empati
- Warga Tempatan Teruja Pertama Kali Dapat Lihat Motosikal Elektrik Pos Malaysia Di Jalan Raya
- Sayu Lihat Dilelong, Ramai Berminat Dapatkan Motosikal Lama Pos Malaysia
Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan Facebook Pos Malaysia, pihak kesatuan telah mendapatkan penjelasan daripada CEO Pos Malaysia sehari selepas isu tersebut tular.
CEO Pos Malaysia Minta Maaf, Janji Respons Kepada Pekerja Lebih Empati
“Kesatuan memahami bahawa bukan maksud beliau untuk memperlekehkan kakitangan tersebut, cuma terdapat salah faham dan beliau sendiri telah mengakui kesilapan tersebut.
“Kesatuan menyeru agar isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan salah faham terhadap niat sebenar beliau,” petik kenyataan itu.
Menurut pihak kesatuan lagi, sepanjang tempoh perkhidmatan Charles Brewer, beliau telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendekati kakitangan di pelbagai peringkat.

Beliau turut berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli kesatuan dan kakitangan dengan turun padang bagi memahami serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi.
Kesatuan menegaskan beliau mempunyai hubungan yang amat baik dengan pihak Kesatuan yang sentiasa harmoni serta terbuka tanpa sebarang pertikaian. Pihak Kesatuan juga berdiri teguh menyokong kepimpinan beliau.
Isu pembekalan pakaian seragam baharu Pos Malaysia
Dalam kenyataan rasmi itu juga, pohak Kesatuan menjelaskan bahawa semua kakitangan telah diberitahu pakaian seragam baharu akan dibekalkan.
Namun berlaku kelewatan pada tahun ini kerana proses penambahbaikan dari segi bahan dan kualiti yang digunakan. Ini supaya kakitangan dapat memakainya dengan sesuai dan selesa.
“Sebagai penyelesaian sementara bagi mengatasi kelewatan pakaian seragam, pihak Pengurusan Operasi akan mengedarkan jersi Pos Malaysia kepada anggota-anggota Kesatuan yang terlibat.
“Proses pengedaran ini akan dilaksanakan secara bersama di antara pihak Kesatuan dan Pengurusan.
“Di samping itu, demi menjaga keselamatan kakitangan di unit penghantaran, pihak Syarikat telah memberi komitmen utnuk menambah keperluan keselamatan seperti kasut keselamatan dan sarung tangan kepada posmen serahan,” kata pihak Kesatuan lagi.
Sehubungan itu juga, pihak Kesatuan merakamkan penghargaan kepada pihak Syarikat kerana terdapat penambahbaikan dan komitmen berterusan demi menjaga keselamatan kakitangan serta kesediaan untuk membekalkan jumlah baju yang melebihi daripada peruntukan di dalam Perjanjian Bersama — satu langkah yang jelas menunjukkan keprihatinan dan sokongan berterusan kepada kakitangan barisan hadapan.
Demi kepentingan dan kebajikan bersama, pihak Kesatuan dan Pengurusan terus menjalin kerjasama erat dalam menangani isu ini secara berterusan.