Alhamdulillah saya berpeluang travel cara backpacking ke Eropah pada hujung tahun 2016 selama 3 minggu. Sebagai seorang guru, cuti sekolah di akhir tahun adalah kesempatan yang ada untuk saya travel dalam tempoh yang lebih lama.

Berikut adalah kesimpulan dan sedikit tips yang dapat saya kongsikan.

1. Kos keseluruhan: RM6127.10 seorang

2. Tarikh 29 Nov- 24 Dis 2016 (26 hari) – pergi berdua

3. 12 negara: UK, Spain, Belgium, Hungary, Austria, Switzerland, Germany, Denmark, Netherlands, France, Italy dan Vatican City.

4. 18 bandar: London, Liverpool, Barcelona, Namur, Brussels, Budapest, Vienna, Innsbruck, Zermatt, Berlin, Copenhagen, Amsterdam, Paris, Florence, Pisa, Venice, Rome & Milan.

Paris

Butiran pecahan kos

1. Tiket flight Oman air KL-London ; Milan-KL RM1605.90
2. Pengangkutan antara bandar (penerbangan domestik, bas dan keretapi: RM1789.30)
3. Penginapan: RM1434.21
4. Duit poket (makan, subway/metro/tram dalam bandar, souvenir, pengangkutan dari/ke airport dan lain-lain): RM1192.69
5. Insuran Travel AXA: RM105

Penginapan

Penginapan, kos seorang, skor (per 10) dan review peribadi (RM1434.21). Semua penginapan ada wifi.

1. Barkston Room Earl’s London hostel dengan 8 katil sebilik (bilik air di luar). 7-8 min boleh  berjalan dari Earl Court Station. Harga RM52.42/1 malam. Rating 7/10. Agak selesa tapi tak berapa luas. Tandas tak banyak. Dekat dengan stesen. Book pada 1/11/2016.

2. St Christopher Barcelona hostel dengan 12 katil sebilik (bilik air di luar). 2-3 min boleh berjalan dari Catalunya station. Harga RM42.73/1 malam. Rating 9/10-selesa. Tiap katil ada tirai agar orang tak nampak kita. Dekat kawasan happening. Senang cari makan halal. Book pada 1/11/2016.

3. Escale Hostel Brussels hostel dengan 8 katil sebilik (bilik air dalam bilik). 7-8 min berjalan kaki dari Midi Station. Harga RM94.50/1 malam. Rating 9/10-selesa dan luas. Agak mahal (namun hostel kat Brussels memang rata-rata mahal. City tax sangat mahal).

Dekat dengan tempat tunggu bas pergi Brussel Charleroi Airport. Dekat dengan Midi Station, stesen kereta api terbesar di Brussels. Book pada 6/10/2016.

4. A&O Vienna HBF hostel dengan 6 katil sebilik(bilik air dalam bilik) 6-7 min walk dari Vienna HBF station. Harga RM47.25/1 malam. Rating 10/10. Luas, bersih, murah tapi bukan betul-betul kat pusat bandar.

Hotel ini sangat dekat dengan Vienna HBF Station iaitu stesen kereta api utama di Vienna. Senang nak gerak untuk teroka Vienna. Banyak international train dari sini. Highly recommended. Book pada 26/7/2016.

5. Nepomuk’s B&B Innsbruck bilik 2 katil (bilik air luar) termasuk sarapan. Betul-betul tengah Bandar Innsbruck old town. Harga RM118.13/1 malam. Rating
10/10.

Innsbruck boleh dikategorikan tempat yang mahal. Sini tak banyak hostel. Hostel yang popular Youth Hostel tapi jauh dari bandar. Akhirnya jumpa yang kat tengah bandar – walk in.

Sangat mengejutkan. Harga kategori ok sebab betul-betul tengah old town. Merupakan rumah yang cantik, bersih. Ada simple breakfast. Highly recommend. Walk in.

6. Youth Hostel Zermatt hostel dengan 8 katil sebilik termasuk sarapan. 15-18 min walk dari Zermatt Station. Harga RM396.90/ 2 Malam. Rating 10/10. Mengucap panjang kan tengok harganya? Haha.

Switzerland memang mahal. Kat sini lagi mahal. Tapi apa salahnya merasai pengalaman ini sekali kan? Tingkap lobi, dapur betul-betul menghadap gunung Matterhorn (gunung kat Coklat Toblerone).

Bangun pagi masa sarapan tengok view super indah. Bilik pun selesa cuma tak luas sangat macam A&O tapi bagi saya semuanya perfect. Kena naik tangga sikit untuk ke hostel ini. Kedudukannya membuatkan kita boleh melihat Matterhorn dengan jelas. Highly recommend. Book pada 22/3/2016.

7. Ottaviani Hostel Florence hostel dengan 4 katil sebilik. 5-7 min berjalan kaki dari Firenze SMN station. Harga RM68.51/1 malam. Rating 6.5/10. Agak sempit tapi tilam selesa. Jarak dengan tilam sebelah agak dekat. Book pada 11/11/2016

8. Prime B&B Pisa double room (bilik air luar) 8-10 min berjalan kaki dari Pisa Airport. 12 -15 min berjalan dari Pisa Centrale station. Harga RM66.15/1 malam. Rating 8/10.

Dekat dengan airport. Bilik besar dan selesa. Di sekitar Pisa Centrale station ada 2 kedai makan halal. Book pada 4/11/2016.

9. Sunflower Hostel Berlin bilik dengan 2 katil (bilik air luar). Harga RM45.56/1 malam
9/10. Hostel yang bersih, cantik, murah dan selesa. Kawasan hostel agak sunyi terutama malam tapi kalau jalan dalam 3-5 min dah jumpa supermarket, kedai-kedai dsb. Boleh berjalan dalam 15 min ke Tembok Berlin. Highly recommended. Book pada 9/8/2016.

10. Generator Hostel Copenhagen hostel dengan 8 katil sebilik. Harga RM92.74/1 malam. Rating 9/10 bersih, selesa, ada 2 bilik mandi + 1 tandas dalam bilik yang berkongsi 8 orang. Dekat dengan lokasi tarikan di Copenhagen. Harga agak mahal tapi berpatutan sebab Denmark pun negara yang agak mahal. Book pada 2/11/2016.

11. Princess Hostel Amsterdam hostel dengan 12 katil sebilik (bilik air di luar). Betul-betul depan tram stop (Overtoom). Harga RM24.95/1 malam. Rating 6/10. Sesuai untuk tidur je.

Sangat sempit tapi tilam selesa. Bilik air tak banyak. Receptionist sangat peramah. Hostel ni saya dapat 5.28 Euro je. Murah gila. Book malam sebelum pergi Amsterdam.

Tengok rata-rata Hostel kt Amsterdam harga 10-15 Euro kategori murah termasuk hostel ni. Kalau hostel ni tak turun harga ke 5 Euro, lebih baik cari lain. Nasib ada rezeki sebab memang masa ni nak jimat.

Highly recommended untuk sesiapa yang nak jimat. Jika dapat harga 5 Euro lah. Siapa nak bagi tempat bermalam hanya 5 Euro? Siap ada wi-fi. Siap bagi letak beg lepas check out. Dekat dengan lokasi tarikan pula tu. Book sehari sebelum check in.

12. Beautiful City Hostel Paris. Hostel dengan 6 katil sebilik(bilik air dalam bilik) termasuk sarapam. 8-10 min berjalan dari Belleville Metro Station. Harga RM141.91/ 2 malam. Rating 9/10.

Jauh dari centre Paris tapi accessible dengan Metro. Selesa, bersih, luas cuma bila dah nak sampai tu dalam 100m agak sunyi waktu malam tapi inshaAllah selamat.

Dekat dengan kedai nasi briyani halal 5 Euro. Banyak pula tu. Apa pun korang kena tahu Paris banyak scammer. Di sesetengah stesen rasa tak selamat. Pegawai stesen kat sana siap pesan hati-hati kat sini terutama bila bawa beg sandang. Btw kat mana-mana pun kena hati-hati. Book pada 2/11/2016.

13. Piave Hotel Venice (standard hotel with 2 breakfast). 7-8 min berjalan dari Venezia Mestre Train Station. Harga RM82.91/1 malam. Rating 9/10. Selesa, banyak pilihan makanan untuk sarapan, cantik. Harga pun boleh tahan.

Dekat dengan pasaraya harga murah.Tapi lokasi bukan di kawasan utama Venice. Lokasi sebelum jambatan menghubungkan kota utama. Cuma 1.25 Euro je dari sini (Venezia Mestre Station) ke Venezia St Lucia station. Kebetulan train saya ke Rome dari Mestre. Highly recommended. Book pada 3/11/2016.

14. Allesandro Downtown Hostel Rome hostel dengan 8 katil sebilik (bilik air di luar). 6-8 min dari Rome Termini Station. Harga RM94.50/2 malam. Rating 7/10. Murah. Tak perlu bayar citytax. Bersih, dalam 15 min berjalan kaki ke Coloseum.

Cuma depan hostel sunyi sikit. Jalan dalam 100m terus tiba kawasan happening. Wi-fi pun kurang stabil tapi bila dapat sangat laju. Asyik hilang-hilang dan tak dapat berhubung langsung tapi tak taulah masa datang memang wi-fi ada masalah. Boleh jadi hari lain ok agaknya. Book 2 hari sebelum menginap di sini.

15. New Generation Hostel Urban Citta Saudi Milan hostel dengan 8 katil sebilik. 8-10 min berjalan dari Piola Metro station. Harga  RM65.05/1 malam. Rating 6.8/10. Selesa, agak luas, bersih.

Sunyi dan agak gelap dari stesen nak ke hostel terutama di waktu malam. Kadang-kadang rasa tak selamat tapi setakat ni ok. Ada satu kedai halal betul-betul sebelah stesen. Wifi buat hal. Langsung tak boleh connect dari awal pagi hingga waktu check out. Malam sebelum tu laju. Book pada 23/3/2016

Pengangkutan

Harga-harga pengangkutan antara bandar/negara dan tiket penerbangan: RM3395.20

1. Nightbus Megabus London – Liverpool RM12 book pada 28/8/2016
2. Flight Ryan air Liverpool – Barcelona RM10.53 book pada 26/10/2016
3. Flight Ryan air Barcelona – Birmingham RM63.71 book pada 31/10/2016
4. Flight Ryan Air London – Luxembourg RM38.57 book pada 28/9/2016
5. Train Namur – Brussels RM42.53 walk-in
6. Flight Ryan Air Brussels – Budapest RM100.37 book pada 25/7/2016
7. Train Budapest – Vienna RM61 book pada 27/10/2016
8. Train Vienna – Innsbruck RM109.84 book pada 27/10/2016
9. Train Innsbruck – Zermatt RM153.88 book pada 25/7/2016
10. Train Zermatt – Visp RM165.38 walk in
11. Train Visp – Milan RM87.5 book pada 12/8/2016
12. Train Milan – Florence RM118.74 book pada 1/11/2016
13. Train Florence – Pisa RM41.586 walk in
14. Flight Ryan air Pisa – Berlin RM68.63 book pada 27/10/2016
15. Nightbus Flixbus Berlin – Copenhagen RM91.05 book pada 27/10/2016
16. Flight Norwegian air Copen – Ams. RM135.01 book pada 27/10/2016
17. Nightbus Flixbus Amsterdam – Paris RM115.75 book pada1/11/2016
18. Train Thellotrain Paris – Venice RM160.18 book pada 27/10/2016
19. Train Trenitalia Venice – Rome RM76.20 book pada 21/10/2016
20. Train Trenitalia Rome – Milan RM136.84 book pada 27/10/2016
21. Tiket Flight Oman Air RM1605.90 book pada 7/3/2016

Baca: 17 Lokasi Menarik Di Eropah Tengah Tapi Kurang Diketahui Oleh Ramai Traveller

Itinerari ringkas

28 Nov : Naik Oman Air ke London transit di Muscat

29 Nov : Tiba Heathrow Airport dalam pukul 6.00 pagi. Pergi Central London guna tube (zone 1-6). Pergi jalan-jalan antaranya Big Ben, Buckingham Palace, Masjid London. Malam Naik bas pergi Liverpool.
Makan- Subway tuna

30 Nov : Tiba pagi di Liverpool. Lepak Liverpool city sampai tengahari. Selepas itu, naik bas pergi Liverpool airport. Pukul 3.30 petang naik Ryan Air pergi Barcelona.

Tiba Barcelona pukul 6.50 petang. Guna T10 metro tiket pergi hostel St Christopher kat La Rambla (Catalunya station). Kawasan La Rambla merupakan jalan yang popular dengan kedai makan, souvenir dan ramai orang lepak.
Makan – Subway veggie/tuna.

1 Dec : Berjalan seharian di Barcelona. Antaranya La Sagrada Familia, Park Guell dan lepak kat La Rambla. Malam tidur dan lepak di Airport Barcelona Terminal 1.
Makan – kebab.

2 Dec : Naik Ryan Air pergi ke London semula tapi turun kat Birmingham sebab tiket flight murah. Dari Birmingham Airport terus naik train (2 jam) ke London.
Check in hostel kat area Earl Court. Lepas itu lepak kat Tower Bridge.
Makan – Maggi goreng

3 Dec : Lepak kat London. Petang naik bas pergi London Stansted Airport. Naik Ryan Air pergi Luxembourg Airport pukul 6.50 petang. Tiba 9.15 malam. Lepak Luxembourg Airport sebelum naik bas pergi Namur, Belgium pukul 3.45 pagi

Nota: Luxembourg airport tidak dibuka 24 jam. Tepat 12.00 malam kena halau keluar. Haha. Nasib baik ada parking kereta. Boleh lepak sebelum naik bas.
Makan- roti, kerepek.

4 Dec : Jalan-jalan Namur City. Cantik dan menarik. Kurang popular dan namanya jarang didengar tapi berbaloi untuk dilawati.Tengahari pula naik train 1 jam pergi Brussels. Check in hostel kat Brussels dan jalan-jalan tengah Bandar.
Makan- burger.

5 Dec : Naik Ryan Air pergi Budapest. Jalan-jalan kat Budapest. Malam tidur Stesen Budapest Keleti. Sepatutnya tidur hostel tapi ketuk pintu tak buka. Hostel lain pula suruh call pula. Hotel walk in mahal. Akhirnya simpan beg kat locker (24 jam) dan buat keputusan tidur stesen lagipun kesokkan harinya naik train pergi Vienna.
Makan- kebab.

6 Dec : Naik train pergi Vienna. Lepak dan jalan-jalan kat tengah Bandar Vienna. Check in kat hostel A&O.
Makan- Sarapan McD (roti dan telur tanpa keju) dan kebab plus di bawah ada nasi.

7 Dec : Naik train pergi Innsbruck. Jalan-jalan di Bandar Innsbruck. Sangat indah! Nikmati sungai dan gunung ganang indah sekelilingnya. Check in kat Nepomuk’s B&B.
Makan- kebab dan kerepek.

8 Dec : Naik train dari Innsbruck ke Zermatt. Melalui Arlberg Pass (kawasan Alps). Merupakan salah satu laluan kereta api tercantik! Memang indah. Ada transit jap kat Zurich.

Sempat keluar stesen tengok bandar. Bersih dan indah. Selain itu, pemandangan di dalam keretapi dari Visp ke Zermatt juga menakjubkan. Tiba Zermatt, check in kat Youth Hostel selama 2 malam.
Makan- roti

9 Dec : Merehatkan minda dan jalan santai sekitar Zermatt. Memang hebat, tenang dan mendamaikan. Tapi sini terlampau mahal. Zermatt lebih mahal dari bandar Switzerland yang lain.

Zermatt antara bandar termahal di dunia. Hotel standard room yang biasa boleh jejak RM1000. Hostel pula dekat RM200 per katil/semalam. AirBNB pula payah cari. Tapi ia pengalaman yang sangat berharga.
Makan- ada sarapan disediakan. Makan puas-puas dan makan Maggi.

10 Dec : Tengahari naik train pergi Florence via Milan. Tiba Florence 7.25 malam. Check in kat Ottaviani hotel.
Makan – pagi tu dah makan sarapan puas-puas.

11 Dec : Jalan-jalan sekitar old town Florence sebelum naik train sejam pergi Pisa. Tujuan utama pergi Menara Condong Pisa. Best! Check in kat Hotel Piave.
Makan – makan nasi lauk ayam ala dalca.

12 Dec : Naik Ryan air pergi Berlin. Check in kat Sunflower Hostel. Jalan sekitar Hostel.
Makan – kebab

13 Dec : Jalan sekitar Berlin dari pagi hingga malam. Antaranya Brandenburg Gate, Berliner Dom, Charlie Checkpoint, Berlin Wall.
11.45 malam naik night bas pergi Copenhagen.
Makan – kebab

14 Dec : Tiba pagi di Copenhagen. Check in di Generator Hostel. Mereka benarkan check in seawal pukul 10 pagi. Jalan-jalan sekitar bandar Copenhagen.
Makan – kerepek, roti

15 Dec : Pergi Little Mermaid antara landmark penting Denmark.
Pukul 3.00 petang naik Norwegian Air pergi Amsterdam. Check in kat Princess Hostel. Jalan-jalan sambil cari makan.
Makan – burger.

16 Dec : Seharian jalan-jalan di Amsterdam. Sangat cantik kota ini. Lebih best kalau jalan kaki je sebab banyak canal indah. Masjidnya pun cantik.
11.15 malam naik night bus pergi Paris.
Makan – Soto Jawa.

17 Dec : Tiba Paris pukul 5.30 pagi. Tunggu Metro beroperasi pukul 6.00 pagi dan terus pergi Beautiful City Hostel. Hostel benarkan check in awal sebab dia risau tambahan hari masih gelap. Kebetulan ada katil kosong. Syukur Alhamdulillah.

Lagi satu, hari ini semua pengangkutan adalah percuma sebab Paris nak kurangkan pencemaran. Rezeki yang tak disangka.

Tempat-tempat menarik seperti Eiffel Tower, Notre Dame, Arc de Triomphe, The Louvre sempat dikunjungi. Eiffel Tower dikunjungi siang dan malam dek kerana pengangkutan percuma.
Makan-roti dan maggi.

18 Dec : Berjalan-jalan sekitar hostel, Belleville area. Macam China Town sebab banyak kedai Cina dan orang Cina. Ada kedai halal murah juga di sekitar sini.
Makan puas-puas sarapan yang disediakan. Petang makan nasi briyani ayam.

19 Dec : Pergi masjid utama Paris. Jumpa orang Malaysia dan berborak. Lepak masjid dan di kawasan berdekatan.
Naik Thello night train pergi Venice. 14 jam! Tapi tak sedar sebab sleeper train boleh tidur nyenyak.
Makan – Sarapan makan puas-puas. Petang makan hamburger.

20 Dec : Tiba di Venice. Venice memang best. Bangunan macam filem Maze Runner, boleh sesat. Venice ni tak besar mana. Boleh berjalan kalau larat. Tambahan pula terlampau banyak tali air. Sesuai sangat bergambar.

Boleh elakkan naik boat atau feri. Sesiapa yang nak naik gondola, kena pandai-pandai sebab ada yang tak jujur. Check in kat Piave Hotel area Venezia Mestre Train Station.
Makan – Roti, pizza.

21 Dec : Naik train pergi Rome. Check in kat Allesandro Downtown hostel.
Makan – masa sarapan di hotel makan puas-puas. Malam makan nasi briyani.

22 Dec : Seharian jalan di Rome termasuk negara terkecil di dunia, Vatican City. Jalan kaki je. Attraction dekat-dekat.
Makan – nasi briyani.

23 Dec : Tengok-tengok cenderamata sebelum naik train pergi Milan waktu tengahari. Tiba Milan, Check in kat New Generation hostel.
Makan- kebab dan kentang goreng.

24 Dec : Pergi Duomo & kawasan berdekatan. Landmark utama Milan.
Naik bas pergi Milan Malpensa Airport. Balik Malaysia guna Oman air & transit di Muscat.

25 Dec : Tiba Malaysia.

Tips-tips tambahan

1. Rajin-rajinlah tengok website fly4free . Webiste ni selalu update promosi kapal terbang / bas / train. Qatar Airways, Oman air, Garuda Airlines pernah ada promosi serendah RM1200++ return ke Eropah Tengah. Turki dan Romania pernah serendah RM900++ return oleh Qatar Airways. Bergantung kepada rezeki masing-masing.

2. Book hostel melalui Booking.com dan Agoda.com. Banyak hotel yang kita boleh bayar di hostel atau hotel. Kekadang tengok-tengok juga website hotel dan hostel sebab ada masa ada promo seperti tawaran musim sejuk.

3. Banyak bas seperti Flixbus, Megabus, Ouibus dan keretapi  seperti Trenitalia, OBB Austria sangat murah kalau book awal. SBB Switzerland pun ada supersaver tiket.

Kalau lewat memang naik. Kalau walk in, sila standby duit yang banyak. Yang ni, ada juga saya book lambat sebab ada beberapa pertukaran itinerari tapi masih berjaya dapat harga yang berpatutan.

Nota: Saya ada cari juga tiket 1/2 pound atau Euro Megabus merentas Eropah sebab sebelum ni memang wujud. Memang ada tapi dalam UK je. Mulai bulan 8, Megabus yang beroperasi di luar UK diambil alih oleh Flixbus. Dah riki Flixbus berbulan-bulan, mereka tak gila murah macam Megabus. Contoh paling murah dari Amsterdam ke Paris 19 Euro. Lagipun bas mereka memang selesa.

4. Di Eropah banyak lokasi tarikan percuma. Contohnya tengok changing guard kat Buckingham Palace, ambil gambar kat I Amsterdam Sign, Brandenburg Gate, buat observation atas mural Berlin wall, berdiri di bawah Eiffel Tower, keliling Tower Bridge, keliling Colloseum, pergi Little Mermaid, pergi Pisa Tower (kalau masuk betul-betul dalam bangunan barulah bayar kan) dan banyak lagi.

Banyak benda boleh buat tanpa bayaran. Malah ada muzium yang boleh masuk percuma sepanjang masa atau hari Ahad pertama tiap bulan. Kalau memang dah minat dan memang nak naik Eiffel Tower, nak masuk Muzium Van Gogh, nak tengok Monalisa, nak masuk Coloseum ke sediakanlah duit. Ada yang boleh book awal dan dapat murah untuk elakkan berbaris panjang seperti coloseum.

Jadi korang jangan risau. Terlalu banyak perkara boleh dibuat tanpa masuk muzium itu ini. Sama je dengan kebanyakan traveler lain. Nikmati sepuasnya sebagai contoh berkelah depan Eiffel Tower sambil tengok bangunan dan berswafotolah pelbagai cara.

Ala macam kita juga ambil gambar depan KLCC tapi berapa kerat je yang dah naik sampai jambatan atas tu? Hehe. Apapun pilihan di tangan anda. Macam saya, saya utamakan tempat yang saya suka dan masuk. Melihat pelbagai budaya dan alam semulajadi sering jadi keutamaan saya.

5. Eropah memang banyak scammer terutama di Peranchis dan Italy. Kalau Spanyol terkenal dengan penyeluk saku. Sentiasa jaga barang berharga. Sentiasa berani dan tegas.

Contoh kat Paris, geng-geng Negro tarik tangan kita dan nak ikatkan tali gelang apa entah. Tolong tolak dengan tegas. Kat Milan pula seboleh-bolehnya paksa kita ambil makanan burung.

Sentiasa genggam tangan agar mereka tidak tabur terus makanan burung ke atas tangan kita. Kat Rome, ada kebarangkalian dihalang semasa berjalan dan ditanya  macam-macam soalan. Siap kejar lagi. Elakkan lalu di kawasan gelap terutama bila sorang-sorang.

6. Apapun jangan takut. Ini sekadar peringatan. Kat mana-mana pun kena sentiasa berhati-hati. Saya pun ada rasa takut-takut terutama di  Spain sebab banyak cerita buruk. Tapi Alhamdulillah tiada perkara buruk berlaku sepanjang 26 hari. Syukur.

Saya doakan kaki travel yang lain juga sentiasa selamat. InshaAllah.

7. Bangunan kat Eropah memang indah-indah. Alam semulajadi pun indah terutama di sekitar pergunungan Alps. Jadi, terokailah dan selamat datang ke Eropah. Saya doakan sesiapa yang belum sampai di sini, akan sampai akhirnya.

Nota: Kos boleh murah kalau korang keluarkan tempat mahal daripada itinerari seperti Switzerland. Tengok itinerari saya, 28% duit penginapan adalah di Switzerland sedangkan hanya 3 hari 2 malam. Tiket keretapi pun mahal.

Namun, saya berjaya elak daripada guna Swiss Pass yang hampir RM1000 untuk 3 hari. Itinerari saya tak sesuai guna Swiss Pass sebab hanya pergi satu tempat sahaja. Kalau pergi beberapa tempat baru berbaloi.

Lagipun saya berjaya guna cara lebih murah untuk masuk ke Switzerland (terus ke tempat yang dituju dan melibatkan beberapa transfer) : book via OBB Austria website. Kalau dari Italy, boleh guna saver tiket kat SBB CH (Switzerland) website.
Innsbruck, Copenhagen dan Brussels pun sama di mana penginapan agak mahal.

Tapi kesemua tempat ini memang best. Itinerari saya tak sempurna mana tapi inshaAllah boleh membantu korang. Walaupun banyak bandar saya singgah, saya tak ada rasa rushing sebab dah rancang dari awal nak pergi  kemana sebelum tu. Malah adakalanya saya santai-santai.

Baca lagi: Tip Kembara Dan Itinerari Ke 12 Negara Balkan Dengan Bajet RM3K Selama 32 Hari