Salam semua, hari ini aku nak kongsi pengalaman sepanjang 7 hari di Jepun. Aku nak kongsi jadual perjalanan, tempat, kos dan kesalahan terbesar yang aku lakukan untuk trip ini. Haha.

Route: KL – Osaka – Tokyo (Disneysea) – Takayama – Nara – Osaka – KL. Total RM3056 all in. Tarikh 8-14 Feb 2017.

1. Kesalahan

Tak kaji betul-betul pasal Japan train dan ingat JR Pass boleh beli terus di sana. Aku dengan yakinnya sampai Osaka dan nak beli JR Pass.

Tiba-tiba orang kaunter tu cakap JR Pass kena beli di luar Japan dan hanya boleh di tebus di Japan. Menung aku sekejap dekat depan pintu pejabat JR Pass tu. Sebab bawak duit cukup-cukup je dan bajet akan lari teruk kalau nak beli satu-satu laluan untuk berpindah randah.

Tapi nasib lah ada ketua Kampung Jack S Adli bagi idea untuk menaiki bas. Maka terjadilah trip menaiki bas sepanjang kami di sini.

2. Jadual Perjalanan Bas & Train

1. Osaka – Tokyo (bas lewat malam) : 8 Jam dari Stesen Osaka.
2. Tokyo – HidaTakayama : 6 Jam dari Stesen Shinjuku.
3. HidaTakayama – Kyoto : 4 jam 20 minit dari HidaTakayama dan ambik kereta api Kintetsu ke Nara.
4. Nara – Osaka dengan Kereta api Kintetsu.

Tapi pengalaman naik bas sangat lain. Pemandangan sangat cantik dan perjalanan sangat lancar. Mula-mula ingat tak selesa untuk perjalanan jauh, tapi selesa rupanya. Terima kasih Jack. Jasamu ku kenang.

Baca: Bakal Travel Ke Jepun? Ingat 14 Perkara Penting Ini Dulu

3. Kos dan perbelanjaan (Matawang = 1000Y = RM39.50)

KOS AWAL
Tiket kapal terbang Air Asia : RM515 dari KC
Bagasi = RM216 /22.5kg pergi balik
Insuran AXA = RM39

Wifi 7 hari (ambil dengan Travel Recommend) = RM 77/ 4 orang = RM20

Makanan dalam pesawat (pergi balik) = RM30
Makanan dari Malaysia = RM50
TOTAL = RM870

LAIN – LAIN BELANJA :

Keperluan lain di Japan (Barang Dapur / Kebab / Air / Lain-lain ) : RM200/per orang.
Makanan Rusa : 150¥ = RM6
TOTAL : RM206

KOS AWAL : RM870
Hari Pertama = RM207
Hari ke 2 = RM604
Hari ke 3 = RM542
Hari ke 4 = RM166
Hari ke 5 = RM290
Hari ke 6 = RM152
Hari ke 7 = RM19
Lain-lain Belanja = RM206
TOTAL = RM3056

4. Itinerari

Hari Pertama : (KLIA2 – Osaka – Tokyo) = 5220Y / RM207

Dari Kuala Lumpur ke Osaka, tapi terus ke Tokyo. Disebabkan  perjalanan sebelum ni dah pergi ke seluruh Osaka, maka ubah perjalanan ke Tokyo. Jangan tanya kenapa tak terus ke Tokyo. Haha. Sebab tiket murah dapat turun ke Osaka je. Jadi layan.

Disebabkan tiada JR Pass, maka kena naik bas untuk berjimat cermat. Tapi perancangan lari sikit sebab hari pertama hotel burn sebab tidur dalam bas. Tapi nasib baik tempah untuk dua hari.

Maka sehari lagi tidur di hotel. Pergi Tokyo sebab nak pergi Disneysea sahaja dan melihat sendiri Shibuya Crossing yang orang sibuk cerita tu. Hehe.

Kos : Bas tengah malam dari Osaka ke Tokyo = 5000¥ (8 jam) turun Stesen Shinjuku ( 10.20 malam – 6.00 pagi).

Dari Stesen Shinjuku – Hotel :
Shinjuku – Higashi Jujo 220¥
Ps : Sampai Stesen Shinjuku terus pergi kaunter tiket bas untuk ke Takayama (tingkat 4) takut tiket habis kalau nak beli terus.

Hari ke 2 ( Tokyo – Disneysea – Shibuya) = RM 604

Sampai dah pukul 6.00 pagi dan kami terus beli tiket bas ke Takayama untuk hari esok lantas daftar masuk ke hotel dan bersiap untuk ke Disneysea.

Hotel : Flexstay Inn Higashi Jujo (2 malam) = 26400¥/4 orang (Daftar masuk 8 pagi) = 6600¥/seorang.
Untuk tiket Disneysea memang dah beli atas talian di Travel Recommend. Murah sikit berbanding beli terus disana.

Disneysea : RM279/ seorang (atas talian)
1. Higashi Jujo – Mahama – 390¥
2. Mahama – Disneysea – 260¥
3. Disneysea – Maihama – 260¥
Selesai Disneysea kami terus jalan-jalan ke Shibuya .

Shibuya (Shibuya Crossing)
1. Maihama – shibuya – 400¥
2. Shibuya – Higashi Jujo – 310¥
Total : RM 279 + 8220¥ ( RM 325) = RM 604

Hari ke 3 ( Tokyo – Takayama) = 13720¥ (RM 542)

Masa beli tiket bas hari tu bas awal-awal dah habis terjual. Jadi terpaksa naik bas pukul 11.05 pagi . Jadual perjalanan lari sikit tapi layan je lah janji sampai. Pemandangan sepanjang ke sana Subhana Allah cantik sangat.

Salji mengiring sepanjang perjalan ke sana. Sempat lah meronda pekan di malam-malam tu. Tapi musim sejuk banyak kedai tutup awal. Jadi layan bergambar je lah.

Bas Tokyo – HidaTakayama : 6020¥ . 1105am – 0500pm (6 jam)

Hotel : K’s House Takayama : 30800¥/4 orang (2 malam) = 7700Y
PS : Sampai di Takayama terus tempah tiket ke Kyoto sebab takut habis.

Walaupun tempah dua hari awal, tapi tiket balik lambat dah habis terjual, tinggal pagi jadi terpaksa lah ambil juga, jadi kami terpaksa pilih sama ada nak ke Shirakawago atau Shin Hotaka pada hari esok dan kami putuskan ke Shirakawago.

Hari ke 4 ( Shirakawago and Old Town Takayama)= 4200Y (RM 166)

1. Bangun pagi salji turun dengan lebat yang lain macam. Tapi sebabkan ada satu hari penuh sahaja untuk ronda kami terus ke kaunter dan beli tiket.

Open tiket boleh pergi pukul berapa saja yang korang nak tapi kene beratur. Jadi bas kosong naik lah. Kalau penuh tunggu bas seterusnya, mudah. Nasib baik dapat naik bas pertama jam 8.50 pagi. Perjalanan satu jam lebih kurang.

Bas Shirakawago 4200¥ / seorang (setengah hari perjalanan sendiri).

Sampai di Shirakawago ya ampun salji tinggi kepala. Hahaha. Sejuk yang amat tapi sangat cantik. Salji turun tak berhenti, nak ambil gamba memang cabaran yang besar sebab sejuk. Haha.

Tapi demi gambar lawa layankan je. Kami lepak disini sampai pukul 1 tengah hari disebabkan terlampu sejuk, jadi tak lepak lama sangat.

2. Old town Takayama (walkaway)

Lepas Shirakawago, balik hotel panaskan badan dan masak makan tengah hari. Lepas tu sambung ronda di pekan lama Takayama sampai ke malam. Ambil gambar pekan tu memang cun lah. Jalan kaki je dari hotel.

Hari ke 5 (Takayama – Kyoto – Nara) = 7320Y (RM 290)

Disebabkan tiada bas terus ke Nara maka kami ambil bas ke Kyoto dan sambung menaiki kereta api. Nak keluar dari kelompok salji. Pengalaman salji di takayama lagi hebat dari masa aku pergi masa musim sejuk di Sapporo hari itu.

1. Bus dari Takayama – Kyoto : 4200¥ (9.10 pagi – 1.30 petang)
2. Kereta api Kintetsu . Kyoto – kintetsu Nara : 620¥ (1 jam anggaran)
3. Hotel Pagoda Nara : 10000¥/4 orang (1 malam) 10 minit berjalan dari station. = 2500¥.

Sampai hotel letak barang dan sambung jalan di Pekan Nara dan melihat kawasan sekeliling.

Hari ke 6 : (Nara Park – Osaka) = 3850¥ (RM152)

Memang tujuan asal nak ke Nara untuk bermanja-maja dengan Rusa tu. Sebab tu putuskan nak tidur sehari dekat sini. Kyoto pun dah pergi semua perjalanan yang lepas, jadi malas nak ulang. Setengah hari juga melayan rusa. Selesai di Nara kami terus pindah ke Osaka. Sampai Osaka jam 7 malam dan terus lepak di hotel sahaja. Ambil hotel paling dekat dengan lapangan terbang sebab malas nak bergegas, pesawat pagi tu pukul 11.00 pagi

Kintetsu Nara – Namba Osaka : 560¥
Namba (Nankai) – Izumisano : 590¥
Greenwood Hostel Izumisano : 10800¥/4 orang = 2700¥.

Hari ke 7 (Osaka – Kansai Airport- Kuala lumpur) =490¥ (RM19.00)

Pukul 8.00 pagi daftar keluar dan selamat tinggal Japan
Izumisano (Nankai) – Lapangan Terbang Kansai : 490¥ (10 minit dari hotel ke Lapangan Terbang). Goodbye Japan.

Baca lagi: Backpacker Dedah Lubuk Barang ‘Pre-Love’ Dan Lokasi Pakai Kimono Percuma Di Jepun