Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 mencetuskan keraguan awam.
Siasatan RCI mengesahkan bahawa pengurusan TH pada tempoh tersebut tetap membayar hibah yang tinggi walaupun kedudukan kewangan berada dalam defisit kritikal.
Menerusi perkongsian Tinta Mufti oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, daripada sudut Fiqh Muamalat, status wang hibah yang diterima pendeposit sepanjang tempoh defisit tersebut adalah halal dan sah.
“Kontrak yang berlaku antara pendeposit dan TH ialah kontrak Wadi’ah Yad Dhamanah (Simpanan Berjaminan). Dalam kerangka fiqh muamalat, TH dianggap meminjam wang daripada pendeposit untuk digunakan bagi tujuan pelaburan dan lain-lain.
“Oleh itu, TH tidak boleh menjanjikan sebarang keuntungan, sebaliknya pulangan yang diberikan oleh TH kepada pendeposit berstatus hibah yang bersifat sukarela. Maka, apabila sesuatu hibah yang diisytiharkan telah dimasukkan ke dalam akaun pendeposit, maka ia dianggap telah berlaku qabd dan hukumnya sah menjadi hak milik pendeposit,” jelas Mufti Wilayah Persekutuan, S.S. Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil.
Hukum asal sesuatu harta yang diterima melalui sebab pemilikan yang diiktiraf oleh Syarak kekal sebagaimana asalnya sehingga terdapat perkara yang mengubah hukum tersebut.
Menurut beliau lagi, menyedari lompang tadbir urus dan risiko salah faham ini, langkah Tabung Haji beralih kepada kontrak Wakalah bermula Disember 2019 adalah satu tindakan yang amat tepat.
“Wang hibah yang telah diterima oleh para pendeposit pada tahun-tahun defisit tersebut adalah sah sebagai milik mereka. Wang tersebut tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah yang wajib dipulangkan kerana penerimaannya berasaskan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahannya.
“Selain itu, mana-mana jemaah yang telah menunaikan ibadah haji menggunakan wang hibah pada tempoh berkenaan, ibadah haji mereka adalah sah dan tidak terjejas.
“Di samping itu, segala isu salah tadbir urus akaun, ketidakpatuhan akta dan pelaporan perakaunan kreatif menjadi beban tanggungan pihak pengurusan pada ketika itu, bukannya bebanan pendeposit atau orang awam yang tidak mengetahui realiti kedudukan kewangan dalaman,” petik kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan.