Salah satu pokok getah yang pertama ditanam di Malaysia kini dilaporkan telah berusia lebih 100 tahun. Pokok tersebut masih berdiri tegap di Seremban, Negeri Sembilan.

Pokok tersebut ditanam pada tahun 1877 di Taman Tasik Seremban, pokok getah dengan ukur lilit berdiameter 4.5 meter dan ketinggian lebih 25 meter itu dianggarkan bernilai RM750,000.

Baca Juga:

Dibawa ke Tanah Melayu oleh Sir Henry Nicholas Ridley, perintis industri getah Malaya, benih getah untuk pokok itu adalah salah satu daripada 22 yang diimport dari Kew Gardens England pada Jun 1877.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata mengikut rekod, 11 daripada benih itu ditanam di Taman Botani Singapura, sembilan di Kuala Kangsar di Perak, dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

“Pokok getah yang berharga dan bersejarah ini adalah sebahagian daripada jejak warisan Seremban.

“Pengunjung terutama dari luar negeri perlu melihat pokok getah pertama dan tertua di Negeri Sembilan.

“Oleh kerana kepentingan sejarahnya, pokok itu tidak boleh ditukar ganti. Itulah sebabnya kita mesti melindungi dan memeliharanya bagi memastikan generasi akan datang dapat terus menghargai warisan penting ini,” katanya lagi.

Beliau berkata pokok itu bukan sahaja menjadi mercu tanda tempatan tetapi juga menyumbang kepada pelancongan.

Sementara itu, Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali berkata Jabatan Taman dan Landskap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertanggungjawab memelihara pokok getah bersejarah itu, dengan usaha pembersihan setiap hari bagi mengekalkan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata MBS juga mendapatkan kepakaran ahli arbor untuk menilai dan memantau risiko yang berkaitan dengan pokok itu.

“Ini bagi membantu kami menentukan status pokok, menyediakan inventori dan mendapatkan khidmat nasihat untuk pengurusan risiko.

“Para arborists telah mencadangkan rawatan, termasuk pemangkasan dan kawalan perosak, untuk mengekalkan daya hidup pokok dan memanjangkan jangka hayatnya,” tambahnya.

Sumber