Lapan pasukan yang meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Liga Perak Sejahtera bagi merebut Piala Menteri Besar 2024/25 akan beraksi pada aksi suku akhir, 21 Februari nanti di Lenggong.
Seperti dilaporkan sebelum ini, lapan pasukan tersebut adalah terdiri daripada Kerian, Larut Matang & Selama, Gerik, Pengkalan Hulu, Ipoh, Batang Padang, Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Baca Juga:
- 8 Pasukan Yang Mara Ke Suku Akhir Piala Menteri Besar Perak 2024/25
- Liga Perak Sejahtera: 14 Pasukan Adu Kekuatan Rebut Piala Menteri Besar 2024/25
- Pejabat MB Perak Umum Kenaikan Tarif Air Selepas 18 Tahun
Pasukan-pasukan tersebut menamatkan saingan peringkat kumpulan melibatkan empat zon selaku juara dan naib juara.
Juara Piala Menteri Besar Perak 2024/25 bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 berserta piala pusingan dan medal manakala naib juara membawa pulang RM7,000.
Dalam usaha untuk mencari bakat baharu yang boleh diketengahkan, Piala Menteri Besar ini turut menarik minat kehadiran bekas-bekas pemain yang pernah beraksi bersama Perak dalam kancah Liga Super.
Berikut merupakan jadual penuh perlawanan suku akhir Piala Menteri Besar Perak 2024/25:
1) Kerian lawan Pengkalan Hulu
21 Februari – 4.45 Petang – Padang Astaka Bunga Raya
2) Ipoh lawan Bagan Datuk
21 Februari – 4.45 Petang – Padang MRSM Lenggong
3) Hilir Perak lawan Batang Padang
21 Februari – 4.45 Petang – Padang SMK Sultan Azlan
4) Gerik lawan Larut Matang & Selama
21 Februari – 9.00 Malam – Padang Astaka Bunga Raya
Aksi separuh akhir dan perlawanan akhir pula akan diadakan di Padang Astaka Bunga Raya, Lenggong.

Pertandingan yang julung kali diadakan sejak penggantungan keahlian Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) ditarik balik pada 10 Februari 2024 itu menampilkan 14 pasukan terdiri daripada ahli gabungan persatuan tersebut.
Baki enam pasukan lagi yang gagal melepasi peringkat kumpulan ialah Persatuan Bolasepak Melayu Perak, Lenggong, Kampar, Muallim, Manjung dan Kg. Gajah.