Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah keluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla utnuk menangguhkan atau tidak mengundang penceramah, Don Daniyal Biyajid atau Ustaz Don untuk mengajar agama Islam di premis masing-masing.

Memetik hantaran Facebook JAIS, arahan itu telah dikeluarkan sejak 21 Jun 2024 lalu.

Baca Juga:

Ketetapan tersebut dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat berkenan dan menekankan kepada para pemegang tauliah agar umat Islam di Negeri Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan itu, Jais perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS telah memutuskan Ustaz Don Daniyal Bin Don Biyajid perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa terhadap beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat olehnya selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.

Memetik kenyataan rasmi itu lagi, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal Bin Don Biyajid di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atas sebab beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS.

“JAIS amat berharap agar semua pihak di Negeri Selangor dapat berkerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan melibatkan Ustaz Don Daniyal Bin Don Biyajid sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS,” terang JAIS.

Terdahulu, Ustaz Don menerima kritikan daripada pelbagai pihak setelah membuat beberapa perkongsian yang dianggap bercanggah.

Sumber