Dalam usaha mengekang penghinaan terhadap agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan talian aduan khas yang beroperasi 24 jam mulai hari ini.
Menurut laporan Berita Harian, langkah ini diperkenalkan sebagai respons terhadap peningkatan insiden penghinaan yang dilaporkan terutama di laman media sosial.
Baca Juga:
- Premis Makanan Miliki Sijil Halal Dibenarkan Tulis Ucapan ‘Merry Christmas’ Pada Tempahan Kek – JAKIM
- JAKIM Sahkan Premis Minuman Herba Tular Hanya Memiliki Satu Produk Disijilkan Halal
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, mengumumkan bahawa talian aduan khas ini boleh diakses melalui WhatsApp di nombor 017-3234533 dan melalui emel, [email protected].
Beliau menegaskan bahawa talian ini akan dikelola oleh JAKIM dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).
Setiap aduan yang diterima akan diproses melalui penapisan oleh sebuah jawatankuasa teknikal yang dipimpin oleh JAKIM untuk memastikan kesahihan aduan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Mohd Na’im menjelaskan bahawa aduan yang melibatkan kesalahan jenayah syariah akan dirujuk kepada jabatan agama negeri berkenaan, manakala aduan yang berkaitan dengan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan akan disalurkan kepada pihak polis.
Beliau menambah bahawa tujuan utama talian aduan khas ini adalah untuk memastikan setiap aduan yang diterima ditangani dengan cepat dan berkesan, serta membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil.
Mohd Na’im menambah bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa memelihara kesucian serta ketinggian agama Islam di negara ini, dan mana-mana individu yang didapati melakukan tindakan menghina Islam akan dihadapkan ke pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak.