Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM kesal dan bidas tindakan 3 penyampai radio yang mempersendakan agama lain dengan menjadikannya bahan ejekan dalam konten mereka.
JAKIM menerusi Ketua Pengarahnya, Dato Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee tampil dengan menyatakan pendirian mereka tidak menyokong sama sekali sebarang tindakan tidak menghormati agama lain.
JAKIM kesal tindakan 3 penyampai radio tak hormati agama lain
Dalam kenyataannya, JAKIM kesal dengan apa yang berlaku. JAKIM berkata: “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin menegaskan bahawa setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan, mahupun di platform media sosial.
“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia MADANI menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi, serta kesejahteraan bersama.
“Sikap memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat.”
JAKIM kesal kerana kesalahan yang dibuat oleh mereka yang terlibat adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
JAKIM meminta semua pihak menjaga sensitiviti kegamaan masyarakat majmuk di Malaysia.
JAKIM menambah: “Sehubungan dengan itu, JAKIM mengingatkan semua pihak agar menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan.
“Ini untuk mengelakkan daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain serta menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Islam sebagai sebuah agama yang menyuburkan kesejahteraan dan keharmonian telah mengajar kita melalui firman Allah dalam Surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

Demikianlah Kami memperelokkan pada pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
“JAKIM menyeru agar semua pihak sentiasa mengamalkan sikap saling memahami dan bertoleransi. Prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua harus dijadikan panduan bagi memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara di negara ini. Sekian, terima kasih.”
3 penyampai radio mohon maaf
Semalam 3 penyampai radio telah tampil membuat permohonan maaf di atas kekhilafan mereka selepas konten yang dianggap mempersendakan upacara keagamaan agama lain.
Stesen radio tersebut turut mengesahkan 3 penyampai radio itu direhatkan serta merta daripada tugasan mereka dan siasatan dalaman dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi radio tersebut.