Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM akan memanggil pelawak veteran Harith Iskander berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina dan mempersenda agama Islam.
Sebelum ini pelawak tersebut telah membuat lawak tentang perkataan ‘Ham’ dan menegaskan bahawa dia menjadi keliru melihat Ham Sap Kopi.
Sindiran kepada kes melibatkan ham yang tidak halal baru baru ini dijual di sebuah premis.
Seterusnya di ruangan komen ada pengikut tegar Harith yang mempersenda nama Nabi Muhammad SAW dengan mengaitkan baginda dengan perkataan ‘ham’.
Harith menulis: “Saya sangat keliru. Imam saya tergugat. Kopi ini akan membuatkan saya menyimpang dalam banyak cara.
“Bukan sahaja cuba menarik saya untuk menjadi hamsap, juga mengelirukan saya dengan perkaan ‘ham’ di dalamnya.
“Ini untuk minum atau makan? Saya harus membuat laporan polis kerana saya sangat lemah dan hilang keupayaan menggunakan logik akal.
“Ada sesiapa lagi yang keliru?”
JAKIM kecewa dengan Harith Iskander
JAKIM terkilan dengan perbuatan Harith Iskander. Jabatan tersebut telah mengambil tindakan ke atas Harith Iskander.
Dipetik dari sumber Berita Harian, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee mengesahkan JAKIM sudah membuat laporan polis ke atas Harith.
Sirajuddin berkata: “Selain itu, JAKIM juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan tersebut.”
Beliau mengingatkan semua pihak, bahawa JAKIM tidak sesekali akan berkompromi dengan mana mana pihak yang cuba menyentuh sensitiviti umat Islam dan mempersendakan kesucian agama Islam.
Sirajuddin juga meminta semua pihak menyemak kembali kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan negara Malaysia.
Jadi, wajar untuk agama Islam dihormati oleh semua pihak dan bukannya cuba mencetuskan suasana tidak harmorni dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Sebelum ini seorang lagi pelawak, Shahrol Shiro telah membuat laporan polis ke atas Harith dan individu yang memberikan komen jelik itu.
Demi Agama, Shahrol Shiro buat laporan polis
Shahrol menulis di Facebook miliknya: “Sebagai pelawak tidak semua sudut pandang boleh dijadikan bahan lawak kita.
“Adakala kita patut lebih sensitif lebih lagi melibatkan agama kita.”
“Apabila saudara Harith Iskander membuka ruang agama dijadikan satu bahan yang boleh dipersenda maka pengikut juga akan ikut serta dengan meninggalkan komentar mempersenda agama kita.
“Perkara ini sudah melampau dan satu laporan polis akan dibuat mengenai perkara ini.”
Lantas dia membuat laporan polis ke atas seorang lagi individu bernama Cecelia Yap yang meninggalkan komen yang sangat tidak sopan tentang Nabi Muhammad.
Netizen bengang dan meningatkan Cecelia agar tidak sesekali bermain dengan nama nabi Muhammad.
Tindakan Shahrol itu mendapat sokongan daripada ramai pihak. Kerana menurut mereka perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku.
Bagi mereka, Shahrol Shiro sudah menunaikan tanggungjawabnya. Selebihnya terserah kepada pihak berkuasa untuk menentukan tindakan ke atas individu yang terbabit.