Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk sandwich inti ‘ham and cheese’ yang tular tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pada masa sama syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM, petik Harian Metro.

Baca Juga:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai status halal produk sandwich inti ‘ham and cheese’ tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa produk berkenaan tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

“Oleh itu, tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah suatu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan tindakan undang-undang sudah diambil oleh KPDN,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama Datuk Dr Mohd Naim menasihatkan pengguna supaya sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal untuk memastikan produk-produk telah dipersijilkan halal oleh pihak yang berautoriti.

Sumber